Diterbitkan pada 28 Mei 2025, 23:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur –  Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerbitkan 21 judul buku dalam siri buku Cakaplah Sayang dan buku Panduan dan Terapi Pelat sebagai inisiatif bagi membantu kanak-kanak yang mengalami masalah pertuturan.

Majlis pelancaran buku tersebut yang dianjurkan oleh Bahagian Buku Bahasa, DBP bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa, Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Wong Kah Woh.

Dalam ucapan perasmian Majlis Pelancaran Siri Buku Cakaplah Sayang dan Buku Panduan dan Terapi Pelat, YB Wong Kah Woh menzahirkan rasa bangga terhadap pihak DBP sebagai penerbit ulung di negara ini. Menurut beliau, DBP wajar dipuji atas inisiatifnya dalam menerbitkan buku panduan dan pemulihan bagi membantu golongan berkeperluan khas yang mengalami kecelaruan bahasa.

Timbalan Menteri Pendidikan, YB Wong Kah Woh ketika menyampaikan ucapan perasmian dalam Majlis Pelancaran Siri Buku Cakaplah Sayang dan Buku Panduan dan Terapi Pelat.

Ujar beliau,

Kerajaan MADANI memberikan fokus terhadap Pendidikan Khas dalam sistem pendidikan kita, Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga telah melancarkan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) bagi membantu dan memberikan peluang pendidikan sama rata untuk murid yang berkeperluan khas.

Tambahan pula, penerbitan buku ini merupakan usaha murni pihak DBP bagi membantu kanak-kanak yang mengalami masalah pelat dan kelewatan bahasa. Hal ini sekali gus menyokong pemulihan bahasa melalui bahan bercetak yang berimpak tinggi sebagai panduan untuk guru, ibu bapa, dan ahli terapi.

Sementara itu, dalam ucapan alu–aluan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, YBrs. Tuan Haji Md. Johari bin Hasan merakamkan penghargaan kepada YB Wong Kah Woh atas kesudian beliau menyempurnakan majlis dan mengucapkan tahniah kepada penulis buku, YBrs. Dr. Noormala binti Anuar Ali atas kejayaan pelancaran buku 21 judul siri Cakaplah Sayang dan buku Panduan dan Terapi Pelat pada hari ini.

Menurut beliau, pelancaran ini telah membuka peluang bagi pihak DBP untuk membantu dalam perkembangan bahasa terutama bagi kanak–kanak yang mengalami masalah pertuturan.

YBrs. Tuan Haji Md. Johari bin Hasan semasa menyampaikan ucapan alu-aluan dalam Majlis Pelancaran Siri Buku Cakaplah Sayang dan Buku Panduan dan Terapi Pelat.
Gimik pelancaran yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, YB Wong Kah Woh.

Yang turut hadir dalam majlis tersebut termasuklah Ketua Editor Bahagian Majalah DBP yang menjalankan tugas Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, YBrs. Dr. Rosmani binti Omar, Ketua Bahagian Buku Bahasa DBP, Puan Noraini Abd Shukor dan penulis siri buku Cakaplah Sayang dan buku Panduan dan Terapi Pelat, YBrs. Dr. Noormala binti Anuar Ali.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi