Diterbitkan pada 26 Jun 2025, 19:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

“Obor Semangat Nan Abadi”, suatu ungkapan bicara yang menawan perasaan kerana hakikat kaitannya dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Malaysia. Ada frasa ungkapan penting dalam lagu korporat DBP, selain “Obor Semangat Nan Abadi”, iaitu “Api dari suatu zaman” dan “Kesaktian lidah rakyat”. Cuba teliti seni kata lagu Dewan Bahasa yang berbunyi:

Dewan Bahasa tenaga jiwa bangsa

            Nama dari suatu sejarah

            Api dari suatu zaman

            Kesaktian lidah rakyat

 

    Dewan Bahasa kau obor kebangsaan

            Restu dari jiwa pahlawan

         Nyala membakar semangat rakyat

            Kau abadi dan keramat

 

            Dipayungi langit tanah air

            Diusap angin pantai permai

            Dilindungi pohon nan menghijau

            Dijunjung tanah tempat berpijak

 

         Dewan Bahasa tenaga jiwa bangsa

            Nama dari suatu sejarah

            Api dari suatu zaman

            Obor semangat nan abadi.

 

Agenda Perjuangan Rakyat

“Obor Semangat Nan Abadi” itu menunjukkan betapa agungnya suatu agenda rakyat dalam perjuangan memartabatkan dan memperkasakan satu bahasa negara, laksana obor yang terang menyala dan semestinya kekal nyala merentasi zaman. Itulah jua gambaran betapa saktinya lidah rakyat atau api dari suatu zaman. Lagu korporat DBP tersebut hasil gubahan Saiful Bahri dan seni katanya oleh SN Usman Awang. Lagunya cukup puitis, penuh semangat dan daya juang, sehingga DBP lahir sebagai sebuah institusi kebahasaan dan pesuratan pada 22 Jun 1956 yang juga menandakan api perjuangan zaman gerakan rakyat

DBP lahir satu tahun lebih awal dari tarikh kemerdekaan Tanah Melayu (1957) menunjukkan kerajaan telah menerima gagasan rakyat berdasarkan resolusi Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ke-III (1956) yang meletakkan satu gagasan dan wawasan masa hadapan pembinaan negara bangsa (nation state) mengabadikan satu bahasa negara. Memang benar bahawa DBP itu telah disuluhi sinar ‘Obor Semangat Nan Abadi’ dan muncul dengan satu nama khusus baginya. Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa Bahasa Melayu (BM) adalah Bahasa Kebangsaan. Perkara status BM tersebut merupakan salah satu pancang kenegaraan yang mengabadikan Wasiat Raja-Raja Melayu dalam Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu 1957. Pancang-pancang utama yang lain ialah Islam sebagai agama negara, kedudukan Raja-raja Melayu dan institusi Yang di-Pertuan Agong, kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera serta perkara kerakyatan.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menjadi ‘Obor Semangat Nan Abadi’, abadi atau tidak terserah kepada warga institusinya dan para pejuang bahasa. DBP lahir pada tahun yang sama (1956) dengan tahun penggubalan Perlembagaan oleh Suruhanjaya Reid. Perlembagaan itulah yang menjadi teras kepada pokok perjuangan DBP. Biarlah ‘Obor Semangat Nan Abadi’ itu kekal di jiwa warga DBP dan rakyat yang kekal menerangi setiap daya juang bangsa demi agama, bangsa dan watan. Pada 10 Julai 1957, Pejabat Karang Mengarang yang ditubuhkan pada tahun 1924 sebagai jabatan di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) Tanjung Malim telah dipindahkan  kepada DBP. Perhatian kepada kerja-kerja menulis, menterjemah dan menyunting buku-buku pelajaran dilakukan oleh pejabat ini.

Buku-buku sekolah dalam siri ‘The Malay School Series’ dan buku-buku kesusasteraan ringan untuk bacaan umum dalam ‘The Malay Home Library Series’ adalah antara peranan yang dijayakan. Pengambilalihan dan pemindahan kepada DBP itu ialah bagi tujuan penerbitan buku-buku sekolah Melayu dan mengeluarkan bahan-bahan bacaan untuk masyarakat umum. DBP telah berkembang memajukan bahasa, mengembangkan sastera dan penerbitan bagi mengisi kepustakaan Melayu.

DBP melaksanakan tugas pembakuan bahasa atau proses standardisasi bahasa, menetapkan perkara-perkara ejaan, sebutan, istilah, tatabahasa secara sistematik bagi pemodenan, pembinaan dan pengembangan bahasa Melayu. Hal ini sudah lama berlaku. Sejak penubuhannya, DBP berjaya melaksanakan tugasnya dengan sempurna, suatu kesinambungan dari perkembangan kemajuan yang sudah sekian lama, pengukuhan suatu kekuatan berabad-abad lamanya yang dirempuhi bahasa Melayu. Pengkajian, bitara kesarjanaan dan pengajian terhadap bahasa ini bukan suatu omongan nostalgia tetapi kebenaran dan keadilan yang nyata.

Senario Sejarah dan Perjuangan Bangsa

Dalam sejarah awal abad ke-20, atau tempoh dua dekad  sejak 1940an hingga penghujung 1950-an (1940-1960) kita telah dapat menyaksikan suatu suasana pergolakan politik, ekonomi dan sosiobudaya di Tanah Melayu. Bermula awal dekad 1950-an itu gerakan politik, ekonomi, sosial dan kebudayaan dianjurkan oleh orang Melayu memperjuangkan kemerdekaan. Pihak Inggeris bersetuju melepaskan Tanah Melayu dengan bersyarat. Satu kontrak sosial diusulkan dan seperti memaksa kepimpinan Melayu, di bawah teraju Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj untuk menerima keturunan manusia dari bangsa China dan India diberikan taraf kerakyatan. Maka sebuah Perlembagaan Persekutuan digubal oleh Suruhanjaya Reid dan memasukkan Wasiat Raja-Raja Melayu dalam syarat kontrak sosial. Kontrak maknanya suatu perjanjian yang boleh terbatal jika berlaku sebarang keingkaran atau penolakan pancang-pancang kenegaraan tadi.

Dalam tempoh menjelang kemerdekaan, orang Melayu bangkit dengan kesedaran kebangsaan dan kenegaraan yang tinggi tidak henti-henti. Mereka mengadakan perhimpunan dan kongres misalnya Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu, Kongres Kebudayaan Melayu dan forum-forum politik, ekonomi, sosial dan kebudayaan di serata penjuru Tanah Melayu. Kegiatan itu dijadikan arah tuju pedoman hakikat berbangsa dan bernegara bagi sebuah negara merdeka. Untuk itu, kita lihat Dasar Pelajaran Kebangsaan (DPK) digubal melalui Penyata Razak 1956 dan Penyata Rahman Talib 1960, manakala penubuhan DBP pada 22 Jun 1956 bertujuan membangun dan mengembangkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara, selain tanggungjawabnya terhadap kesusasteraan kebangsaan, persuratan dan kepustakaan melalui penerbitan.

Sesudah 1960-an dan apabila terbentuknya Malaysia pada 16 September 1963 dengan kemasukan Sabah dan Sarawak menyertai Persekutuan, maka segala dasar digubal termasuk Rancangan Lima Tahun Malaysia menggantikan Rancangan Pembangunan Tanah Melayu (RTM) sebelum itu. Dasar Pelajaran Kebangsaan (DPK), Dasar Bahasa Kebangsaan (DBK), Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK), Rukun Negara, Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan bermacam program diperkenalkan kerajaan. Itulah hakikat citra lanjutan pengisian kemerdekaan dari suatu zaman. Rupanya ‘Obor Semangat Nan Abadi’ itu tidak terbatas hanya kepada DBP, jika kita mahu perluaskan liputan sinaran cahayanya yang kepada bidang-bidang kehidupan yang lain sama.

Tanah Melayu ada sejarahnya yang tersendiri. Rakyat seharusnya tidak melupakan sejarah asalnya hatta sejak dari zaman prasejarah, zaman kedatangan pengaruh Hindu-Buddha di dunia Melayu, zaman kegemilangan pemerintahan kesultanan Melayu Melaka, zaman kedatangan penjajah barat, peristiwa perang dunia dan zaman kemerdekaan. Rakyat asal atau bukan rakyat asal hendaklah selalu ingat akan laluan sejarah kenegaraan ini dan sedia hidup bersama dalam aman sejahtera dan makmur.

Rakyat Malaysia wajib mempunyai kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada raja dan negara serta menjunjung keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang yang dijadikan prinsip-prinsip Rukun Negara. Sejarah pahit Peristiwa 13 Mei 1969 yang hampir memusnahkan negara dan citra  kenegaraan hendaklah dijadikan pengajaran untuk Malaysia melangkah ke hadapan. Perombakan dan penggubalan dasar-dasar baru misalnya rasional Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilaksanakan itu perlu dihayati.

Citra Senario Bahasa

Bahasa Melayu adalah bahasa terbesar di Asia Tenggara, dituturkan oleh kira-kira hampir 400 juta manusia. Bahasa ini terdapat dalam versi dan variasi berbeza, dikenali sebagai bahasa Indonesia, bahasa Melayu Brunei, bahasa Melayu Singapura, bahasa dialek Melayu Kelantan-Pattani, dialek Minangkabau, dialek utara Semenanjung dan lain-lain. Hakikat sebenarnya bahasa Melayu itu adalah satu. Ia terbahagi kepada beberapa variasi dialek Melayu atau bahasa-bahasa daerah yang lain seperti yang terdapat di Mindanao, Sulu di selatan Filipina, dialek Champa di Kemboja, dialek Melayu bahagian tenggara Myanmar, di barat daya Vietnam dan kumpulan beberapa bahasa daerah di kepulauan. Bahasa ini menjadi alat komunikasi utama manusia dan penyampaian ilmu pengetahuan di rantau ini.

Kedatangan Islam ke Alam Melayu telah merobah rupa dan jiwa umat Melayu. Seawal abad ke-13 di Samudera Pasai dan abad ke-15 pada zaman pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka, Islam  tersebar melalui bahasa Melayu dari Tanah Melayu sehingga ke Ternate atau di bahagian timur Indonesia. Pada zaman Empayar Kesultanan Melayu Melaka, peranan bahasa Melayu amat luas digunakan dalam pemerintahan, urusan pentadbiran, perdagangan, bahasa maritim dan lingua franca yang meluas. Sifatnya yang demokratis dan akomodatif menyebabkan bahasa Melayu mengambil kedudukan sebagai bahasa terbesar di Asia Tenggara.

Bahasa itu asas pembinaan tamadun atau peradaban. Bahasa Melayu namanya yang asal atau kemudiannya bahasa Indonesia (1945) untuk Indonesia sekian lama mengambil fungsi dan peranan yang sama. Kita tahu bahawa pemodenan sesuatu bahasa mengambil masa yang lama termasuk, kesempurnaan bahasa Inggeris seperti keadaannya masakini. Juga ada kepupusan bahasa seperti bahasa Latin atau Sanskrit yang sudah berkubur itu. Dalam dunia kesarjanaan ada disebutkan bahawa pada masa akan datang mana-mana bahasa yang tidak sampai satu (1) juta penuturnya, dijangka akan pupus kerana perubahan kemajuan zaman. Perkara ini, pada hemat saya tidak mungkin terjadi kepada Bahasa Melayu-Indonesia yang jumlah penuturnya kini ratusan juta jiwa.

Di dunia Melayu atau Asia Tenggara, BM Melayu adalah bahasa utama yang tergolong sebagai bahasa Austronesia di kepulauan Pasifik dan barat Lautan Hindi dalam geobudaya Malayo-Polinesia atau Malayonesia. Dalam suatu kesedaran tinggi, tidak mustahil bahasa Melayu dengan potensinya yang besar akan menjadi bahasa komunikasi di Asia Tenggara (di negara-negara ASEAN) dan bahasa komunikasi antarabangsa, jika ada perancangan strategik bersama oleh negara-negara Nusantara. Pusat-pusat pengajian asing di Asia Timur, Rusia dan beberapa negara di Eropah sudah sedia ada pengajiannya. UNESCO pada tahun 2023 telah mengisytiharkan bahasa Indonesia (nama versi yang berakarkan kepada BM) sebagai salah satu bahasa persidangannya. Maka DBP jangan berlepas tangan lagi kerana ‘obor’ itu ada di tangan anda. Lakukan tindakan bersama dengan DBP Brunei Darussalam serta Pusat Pembinaan dan Pengembagan Bahasa Indonesia dalam proses pengantarabangsaan BM ini.

Dalam beberapa abad silam, bahasa Melayu menjadi bahasa penulisan kitab-kitab dari bahasa komunikasi rantau selain fungsi-fungsi bahasa maritim, hubungan antarabangsa atau sebagainya seperti di atas tadi. Orang yang buta sejarah atau tidak celik budaya akan gagal melihat bahawa semua tamadun mana-mana bangsa itu terbina melalui bahasa sendiri. Tamadun atau kebudayaan itu cukup relatif tidak boleh diungkapkan sepenuhnya dengan bahasa asing, hatta bahasa Inggeris sekalipun belum sepenuhnya lengkap sekiranya mahu mengungkapkan segala perkara tentang peradaban Melayu besar. Ada ribuan kosa kata bahasa Melayu, misalnya di bidang flora dan fauna, kebudayaan dan kesenian sahaja pun yang tidak kedapatan dalam bahasa Inggeris atau bahasa asing yang lain disebabkan perbezaan faktor geografi dan sosiobudayanya. Maka tamadun bagsa Malaysia itu sanya hanya boleh dibina melalui bahasa Melayu.

Di Malaysia, dasar dan sistem persekolahan menggunakan bahasa kebangsaan belum terlaksana sepenuhnya seperti mana gagasan Penyata Razak 1956 dan Penyata Rahman Talib 1960. Pada tahun 1983, Malaysia kelihatan berada di suatu puncak awal kejayaan pelaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan (DPK). BM digunakan sebagai pengantar hingga ke institusi pengajian tinggi (IPT) pada tahun 1983. Pada dekad 1980-an, tahap perpaduan rakyat terlihat kuat terutama dalam kalangan generasi muda. Negara berjaya melahirkan golongan profesional bumiputera dalam pelbagai bidang kepakaran dan profesionalisme, adanya keseimbangan pencapaian kaum dalam konteks menyusun semula masyarakat dan menghapuskan kemiskinan di bawah matlamat Dasar Ekonomi Baru (DEB) 1971-1990, walaupun tidak di dalam semua bidang tetapi ternyata wujud citra perpaduan bangsa disebabkan pelaksanaan sistem pendidikan kebangsaan.

Jika Malaysia mahu melihat kekukuhan perpaduan, keperibadian dan jati diri bangsa Malaysia terserlah di mata dunia dan lahirnya keseimbangan kehidupan antara nilai kemanusiaan dan kerohanian dengan pembangunan fizikal, maka peranan dan fungsi bahasa tidak boleh dipinggirkan. Itulah suatu kewajipan yang kena dipikul bersama. Rakyat juga perlu berkongsi nilai-nilai sosiobudaya bersama.  Semua pihak ada tanggungjawab Perlembagaan untuk memikul peranan mendaulatkan bahasa kebangsaan dan bahasa negara.

Artikel disesuaikan berdasarkan syarahan penulis dalam Wacana Peradaban Perkara 152: “Obor Semangat Nan Abadi” bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun ke-69 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Malaysia pada 25 Jun 2025 anjuran DBP Wilayah Timur bertempat di Maktab Sultan  Ismail (SIC),  Kota Bharu.

Kredit Foto: Penulis
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi