Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Bharu – Penulis rencana disaran memberikan perhatian serius terhadap pemilihan tajuk dan pengenalan karya kerana kedua-duanya menjadi kunci utama untuk menarik perhatian editor serta menentukan peluang sesebuah karya diterbitkan.
Editor majalah Dewan Bahasa, Puan Siti Zubaidah binti Sekak menegaskan bahawa tajuk dan pengenalan yang memukau mampu menambat hati editor serta memberikan nilai tambah bagi sesebuah artikel.
Pembaca dan editor sering terikat dengan kesan pertama. Tajuk ialah pintu masuk yang mesti cukup kuat, manakala pengenalan berperanan sebagai pemikat agar pembaca mahu terus menghayati isi karya tersebut. Sebagai contoh, jika penulis berjaya mengetengahkan kupasan bahasa dengan mengaitkannya dengan bidang neurosains, hal ini menjadikan karya itu luar biasa menarik.
Demikian menurut beliau dalam sesi Bengkel Pemerolehan Bahan dalam Bidang Bahasa untuk Penerbitan Majalah di Sekolah Kebangsaan Kubang Kerian 3, semalam.
Sementara itu, penulis prolifik YBrs. Dr. Abdullah Yusoff yang merupakan pembimbing undangan bagi bengkel tersebut mengingatkan peserta supaya meneliti laras bahasa, kandungan dan tema penulisan sebelum menghantar karya kepada mana-mana editor.
“Jika penulisan menggunakan laras bahasa Melayu yang rendah, karya tersebut lebih sesuai dihantar ke majalah Dewan Pelajar atau Dewan Siswa. Namun, jika ditulis dengan laras bahasa Melayu persuratan, naskhah itu wajar dihantar ke majalah Dewan Sastera, manakala tulisan tentang isu keagamaan sesuai diterbitkan dalam majalah Dewan Tamadun Islam,” jelasnya.
Beliau turut berkongsi petua agar penulis dapat mengelakkan “brek kecemasan” pada penghujung perenggan.
Menurutnya, kesinambungan atau aliran idea mesti sentiasa mempunyai koheren dan kohesi dengan penggunaan penanda wacana pada awal ayat bagi memastikan kelancaran wacana.
Secara umum, penulisan rencana untuk majalah memerlukan sekitar tiga atau empat halaman majalah atau kira-kira 20 perenggan. Setiap perenggan sebaik-baiknya mengandungi lima hingga enam ayat. Kesimpulan pula mestilah berperanan sebagai pemusatan pemikiran dan harapan penulis, bukannya sekadar penutup tergesa-gesa.
Tambah YBrs. Dr. Abdullah, para peserta disarankan agar menjadikan buku Tatabahasa Dewan sebagai rujukan utama bagi memastikan pembinaan ayat yang gramatis serta mengekalkan mutu bahasa yang tinggi.
Bengkel anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Majalah dengan kerjasama Gabungan Penulis-penulis Muda Negeri Kelantan (GEMA) dan DBP Wilayah Timur (DBPWT) itu menghimpunkan penulis baharu dan mapan daripada pelbagai latar bangsa dan kerjaya, sekali gus memperkaya landskap penulisan negara.
Hasil penulisan berkualiti daripada peserta akan dinilai kesesuaiannya untuk disiarkan melalui platform digital JendelaDBP atau majalah bercetak terbitan DBP.