Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangManusia secara fitrahnya sangat suka akan kecantikan dan tidak menjadi satu kehairanan apabila masyarakat sering mencantikkan diri dengan memakai perhiasan. Barang perhiasan biasanya menjadi pelengkap kepada set pemakaian dalam acara keramaian tertentu seperti adat istiadat diraja, kenduri kahwin dan keraian lain.
Menurut Kamus Dewan Perdana (KDP, 2020), perhiasan tergolong sebagai kata nama bagi merujuk sesuatu yang digunakan untuk berhias atau menghias. Definisi ini menjelaskan bahawa perhiasan merupakan alat yang boleh mengemaskan dan mencantikkan imej diri sehingga mampu mewujudkan seri wajah dan tarikan yang menawan daripada orang sekeliling. Lazimnya, penggunaan barang perhiasan diperagakan pada anggota badan seperti di atas kepala, telinga, jari-jemari, pergelangan tangan dan kaki.
Penggunaan barang perhiasan dalam hikayat atau sastera Melayu lama wujud sebagai kosa kata klasik yang menjadi sebahagian daripada khazanah bahasa. Menurut Aminudin Mansor dalam “Akal Budi Melayu dalam Pantun dan Sajak” (2012) ada menyatakan bahawa akal budi itu terpancar melalui cara hidup dan bahasa, khususnya karya sastera sesuatu bangsa. Oleh yang demikian, makalah ini meninjau beberapa kosa kata klasik perhiasan yang mencerminkan perkembangan bahasa dan budaya masyarakat Melayu pada zaman dahulu.
Menurut Awang Sariyan dalam naskhahnya bertajuk Kesinambungan Bahasa dalam Kesusasteraan Melayu (1998), Bahasa Melayu Klasik bermula pada abad ke-13 hingga abad ke-19. Bahasa ini dipercayai berada pada tahap ketiga dalam periodisasi bahasa Melayu, iaitu selepas Bahasa Melayu Purba dan Bahasa Melayu Kuno. Bahasa Melayu Klasik wujud setelah kedatangan Islam dengan penggunaan tulisan Jawi yang merupakan adaptasi huruf Arab untuk menulis bahasa Melayu. Bukti awal kewujudan tulisan ini dapat dilihat pada Prasasti Terengganu yang bertarikh 1303 Masihi.
Berdasarkan KDP, perkataan klasik perlu dilihat kepada beberapa pengertian, antaranya termasuklah merujuk kepada reka bentuk, bahasa dan muzik yang bersifat lama atau tradisional. Begitulah juga hal yang berkenaan karya, cerita dan sebagainya yang bernilai tinggi dengan ciri-ciri keistimewaan tertentu. Begitulah jua hal yang merujuk kepada pakaian, yang biasanya mempunyai gaya sederhana namun masih mengekalkan ciri-ciri tradisional. Selain itu, perkataan klasik juga boleh dilihat pada maksud atau makna yang mempunyai ciri-ciri atau sifat-sifat yang lazim.
Kata klasik yang berasal dari bahasa Melayu Klasik ini mudah dikenal pasti menerusi entri yang ditandai dengan singkatan kl sebagai kata klasik atau sl yang merujuk sastera lama. Hal ini membuktikan bahawa kosa kata klasik, termasuk yang berkaitan dengan perhiasan terus dipelihara dalam dokumentasi bahasa melalui kamus ekabahasa yang terkini terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Hal ini membuktikan adanya kesinambungan warisan Melayu daripada generasi terdahulu kepada generasi kini melalui bahasa.
Kesemua pengertian ini saling berkait rapat dengan warisan budaya lama masyarakat Melayu yang terpancar melalui bahasa. Bahasa bukan sekadar medium komunikasi, tetapi turut berfungsi sebagai wadah cerminan budaya, nilai dan identiti kolektif bangsa. Antara unsur yang jelas terpancar ialah kosa kata klasik perhiasan yang wujud dalam bahasa Melayu klasik itu sendiri.
Antara contoh kosa kata klasik perhiasan yang tercatat dalam KDP ialah kencana atau dalam bahasa Melayu moden dikenali sebagai emas. Perkataan ini merupakan kata klasik pinjaman daripada bahasa Sanskrit, iaitu kancana. Dalam masyarakat Melayu tradisional, kencana bukan sekadar merujuk logam berharga, tetapi juga memiliki makna simbolik tertentu. Penggunaan kencana dapat dikesan dalam karya sastera Melayu seperti yang berikut:
Kalau tuan tombak kencana,
Lipan bara di dalam beras;
Kalau tuan bijak laksana,
Apa binatang belakang keras.
(Pantun Kurik Kundi Merah Saga, 1990)
Berdasarkan pantun tersebut, terdapat frasa “tombak kencana” yang bermaksud tombak yang diperbuat daripada logam yang sangat kuat dan berharga, iaitu emas. Tombak ini biasanya digunakan dalam peperangan atau upacara rasmi. Maka, tidak hairanlah bahawa “tombak kencana” boleh membawa maksud lambang keberanian, kekuasaan dan kebesaran yang ada pada seseorang seperti pahlawan atau pemimpin yang berani. Hal ini bermaksud kencana dijadikan simbol status dan kehormatan kepada seseorang disebabkan logam ini sangat bernilai dan hanya dimiliki oleh golongan tertentu pada zaman dahulu.
Namun, pada masa kini, kencana atau emas banyak dimiliki dan dijadikan sebagai koleksi atau milik peribadi, khususnya dalam kalangan wanita. Malah, dapat dikatakan bahawa wanita dan emas tidak dapat dipisahkan kerana hampir setiap wanita memiliki sekurang-kurangnya satu bentuk perhiasan emas pada tubuh mereka. Perhiasan emas juga hadir dalam pelbagai bentuk seperti cincin, kalung, loket, anting-anting, subang, gelang tangan dan gelang kaki. Selain itu, emas sering dihasilkan dengan corak yang beraneka, seperti berbentuk hati, bunga atau geometri dan menjadikannya sesuai untuk semua lapisan umur.
Dari segi kesesuaian penggunaan, kencana atau emas boleh dipakai pada bila-bila masa oleh mana-mana kaum wanita. Dalam Islam, pemakaian emas bagi wanita adalah diharuskan, bahkan digalakkan sebagai perhiasan diri. Pemakaiannya juga tidak menjejaskan mana-mana rukun ibadah seperti solat, haji atau umrah selagi perhiasan tersebut tidak digunakan secara berlebihan menurut syarak. Maka, kencana bukan sahaja bernilai dari sudut ekonomi tetapi juga memiliki kedudukan istimewa pada si pemakai sejak dari zaman dahulu.
Selain itu, kosa kata klasik perhiasan dalam KDP ialah acaram, iaitu cincin yang diberikan oleh pihak lelaki kepada pihak perempuan sebagai tanda pertunangan dan persetujuan untuk berkahwin. Acaram ini dikenali sebagai cincin tanda atau cincin tunang. Perkataan ini merupakan kata pinjaman daripada bahasa Tamil, iaitu assaram yang bermaksud jaminan atau bayaran pendahuluan. Penggunaan acaram ini dapat dikesan dalam Sulalatus Salatin mengenai bab perkahwinan Sultan Mansur Shah dengan Puteri Hang Liu. Melalui karya tersebut, disebutkan bahawa sultan memberikan cincin sebagai simbol ikatan sebelum perkahwinan. Istilah acaram tidak disebut secara literal dalam teks tersebut, namun fakta ini menunjukkan bahawa pemberian cincin pertunangan telah lama menjadi amalan dalam adat tradisi Melayu sebagai lambang ikatan dan persetujuan daripada kedua-dua belah pihak.
Sejak dari dahulu, terdapat pelbagai jenis cincin pertunangan seperti cincin belah rotan, cincin bermata satu atau cincin berhias batu permata. Dalam majlis pertunangan, cincin ini lazimnya akan disarungkan pada jari manis pengantin perempuan oleh bakal ibu mentua sebagai tanda ikatan hubungan antara kedua-dua belah pihak. Hal ini menandakan persetujuan untuk meneruskan langkah seterusnya, iaitu perkahwinan. Dalam adat Melayu, cincin ini menjadi bukti bahawa seseorang wanita sudah berpunya dan tidak boleh lagi dipinang oleh orang lain. Sehingga ke hari ini, amalan menyarungkan acaram pada jari manis masih dipelihara walaupun reka bentuk dan nilai cincin telah banyak berubah mengikut peredaran zaman.
Dalam khazanah bahasa Melayu klasik, terdapat juga batu permata sebagai perhiasan untuk melambangkan keagungan dan kecantikan kepada si pemakai. Dalam hal ini, tiga kosa kata klasik perhiasan telah dikenal pasti merangkumi ratna, nilakandi dan jauhar. Walaupun ketiga-tiganya tergolong dalam kelompok batu permata, namun makna bagi setiap jenis batu permata ini memperlihatkan perbezaan yang unik. Definisi bagi setiap jenis batu permata ini diterangkan dalam KDP seperti yang berikut:
| Jenis permata | Ratna | Nilakandi | Jauhar |
| Definisi | – Intan
– Berasal daripada bahasa Sanskrit |
– Batu permata yang berwarna biru | – Permata
– Berasal daripada bahasa Arab, iaitu Jawhar yang bermaksud mutiara, batu permata |
Batu permata yang pertama ialah ratna yang berasal daripada bahasa Sanskrit. Berdasarkan KDP (2020), penerangan berkaitan ratna diberikan contoh batu perhiasan seperti intan atau batu permata yang indah. Dalam dunia geologi, ratna lazimnya dikaitkan dengan intan, iaitu batu permata paling keras dengan tahap kekerasan 10 pada skala Mohs. Kekerasannya tidak dapat dipotong atau digores kecuali sesama intan sahaja. Kilauan batu permata tulen ini menjadikan ratna dianggap sebagai raja segala permata sepanjang zaman. Dalam kesusasteraan Melayu klasik, istilah ratna “mutu manikam” sering digunakan untuk menggambarkan kemegahan istana, pakaian kebesaran dan hiasan diraja yang ditatah dengan permata pelbagai warna. Nilai sentimental ini meletakkan ratna pada kedudukan yang istimewa dalam budaya manusia sejak berabad-abad lamanya.
Batu permata yang kedua merujuk nilakandi yang lebih khusus kepada batu nilam, iaitu sejenis permata berwarna biru daripada kumpulan korundum. Dari sudut geologi, nilam memiliki tahap kekerasan sembilan pada skala Mohs, iaitu kedua tertinggi selepas intan. Warna biru nilam ini dipercayai terhasil daripada kehadiran unsur besi (Fe) dan titanium (Ti). Keindahan warna biru pada batu permata nilakandi yang mendalam menjadikannya antara batu permata paling berharga di dunia. Dalam kepercayaan budaya masyarakat dahulu, nilakandi dianggap sebagai simbol kebijaksanaan, kesetiaan dan perlindungan. Kepercayaan ini menjadikan nilakandi sering dihiaskan pada cincin, pending atau hadiah pertunangan dalam kalangan bangsawan pada zaman dahulu.
Berbeza pula dengan jauhar yang berasal daripada bahasa Arab, iaitu Jawhar yang bermaksud mutiara atau batu permata. Dalam konteks ini, jauhar merujuk semua jenis permata berharga secara umum termasuklah mutiara, akik, berlian, delima, firus, jed, zamrud dan intan. Kesemua batu permata ini mempunyai tahap kekerasan yang berbeza pada skala Mohs, iaitu bermula daripada 2.5 bagi mutiara sehinggalah 10 bagi intan yang merupakan bahan semula jadi paling keras di dunia. Melalui penjelasan berkaitan jauhar, dapat dirumuskan bahawa ratna dan nilakandi secara tidak langsung termasuk dalam kategori batu permata yang dikenali sebagai jauhar dalam Bahasa Melayu Klasik.
Selain itu, terdapat kosa kata perhiasan yang dikenali sebagai pontoh. KDP mendefinisikan pontoh sebagai gelang besar yang berukir dengan naga, ular dan sebagainya yang dipakai di lengan sebelah atas. Pontoh merupakan sejenis perhiasan tradisional Melayu yang lazimnya diperbuat daripada logam seperti emas, perak dan tembaga. Terdapat juga pontoh yang dihiasi dengan batu permata halus bagi menunjukkan lambang kemewahan kepada si pemakai. Penggunaan pontoh kekal relevan dari dahulu sehingga kini serta dikenali sebagai alat-alat kebesaran diraja. Misalnya, Pontoh Bernaga merupakan sepasang gelang emas berkepala naga yang disarungkan di lengan kanan dan kiri Paduka Seri Sultan. Seterusnya, Pontoh Ular Lidi yang merujuk sepasang gelang emas berbentuk kepada ular lidi dipakai di kedua-dua belah lengan Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri.
Kedua-dua jenis pontoh ini merupakan alat-alat kebesaran diraja negeri Perak yang akan dipakaikan oleh sultan dan raja permaisuri dalam Istiadat Rasmi Kebesaran Negeri seperti Istiadat Pertabalan Sultan, Istiadat Menyambut Hari Keputeraan Sultan dan Istiadat Perarakan Diraja. Pemakaian pontoh oleh sultan melambangkan kedaulatan, kekuasaan dan kesinambungan tradisi diraja yang diwarisi sejak turun-temurun. Situasi ini memperlihatkan bahawa pontoh mengandungi nilai simbolik yang mempertautkan seni pertukangan halus dengan adat politik dalam pemerintahan Melayu. Hal ini sekali gus menjadikan pontoh sebagai kosa kata klasik perhiasan yang sarat dengan makna budaya dan sejarah Melayu.
Kesimpulannya, perhiasan bukan sahaja berfungsi sebagai pelengkap penampilan diri, malah menjadi lambang nilai estetika, budaya dan identiti masyarakat Melayu sejak dari zaman dahulu. Kosa kata perhiasan klasik seperti kencana, acaram, ratna, nilakandi, jauhar dan pontoh bukan sekadar berbentuk fizikal, malahan memperlihatkan makna simbolik sama ada berkaitan dengan status, kemuliaan, keagungan serta adat istiadat Melayu. Kewujudan kosa kata perhiasan klasik dalam KDP membuktikan bahawa bahasa mampu merakam warisan budaya dan menyampaikannya kepada generasi masa kini. Oleh itu, kosa kata klasik perhiasan seharusnya terus diaplikasikan dalam komunikasi lisan mahupun penulisan agar warisan bahasa Melayu kekal bernilai, dihargai dan dimartabatkan di pentas dunia.