Diterbitkan pada 9 November 2025, 12:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Morfem ialah unit terkecil yang digunakan dalam bentuk kata, iaitu unit yang tidak dapat dipecahkan kepada unit yang lebih kecil lagi. Selain itu, morfem mempunyai makna leksikal atau mendukung tugas nahuan.  Dari segi bentuk, terdapat dua jenis morfem, iaitu morfem bebas  dan morfem terikat. Morfem bebas ialah morfem yang dapat berdiri secara bebas sebagai kata, manakala morfem terikat ialah bahagian kata yang memerlukan kehadiran morfem bebas atau morfem terikat yang lain untuk membentuk kata.

Dari segi jenis, terdapat morfem leksikal dan morfem nahuan. Morfem leksikal ialah morfem yang mempunyai makna, iaitu morfem kata utama seperti morfem bebas jenis kata nama, kata kerja dan kata adjektif. Morfem nahuan ialah morfem jenis kata tugas, iaitu morfem yang mempunyai tugas tatabahasa dalam ayat.

Morfem berbeza daripada suku kata. Morfem berkaitan dengan morfologi atau proses pembentukan kata, manakala suku kata berkaitan dengan fonologi, iaitu pemenggalan kata berdasarkan kehadiran bunyi vokal atau diftong dalam hubungan dengan konsonan bagi struktur tertentu. Sebagai contoh, kata “menanti mempunyai tiga suku kata, iaitu me (KV – konsonan + vokal), nan (KVK – konsonan + vokal + konsonan) dan ti (KV – konsonan + vokal), tetapi mempunyai satu morfem terikat “meN”- dan satu morfem bebas “nanti”.

Menurut Asmah Haji Omar dalam bukunya, Nahu Melayu Mutakhir, morfem terikat meliputi morfem terikat satuan, morfem terikat terbahagi dan morfem terikat kompleks.  Morfem terikat satuan ialah morfem terikat yang utuh dan tidak dapat dipisah-pisahkan bahagiannya.  Morfem terikat ini meliputi bentuk imbuhan dan bentuk akar kata.

Morfem terikat satuan jenis awalan adalah seperti beR-, teR-, meN-, ke- dan se-, dan jenis akhiran adalah seperti -an, -i dan -kan.  Bagi morfem terikat satuan bentuk akar kata, contohnya termasuklah akar kata “tani”, “juang”, “guam”, “tiap”, “kadang”,”tapa” dan “tangis. Morfem terikat terbahagi ialah morfem terikat yang dipisahkan oleh kata dasar. Sebagai contoh apitan ke-…-an dan peR-…-an. Morfem terikat kompleks terdiri daripada gabungan dua morfem terikat atau lebih. Sebagai contoh gabungan dua awalan meN- dan peR- pada kata “memperalat”, gabungan awalan meN- dan akhiran -kan dalam kata “mencantikkan atau gabungan dua awalan meN- dan peR- dengan satu akhiran -kan dalam kata “memperisterikan. Walau bagaimanapun, apitan meliputi morfem terikat terbahagi dan sesetengah morfem terikat kompleks.

Morfem terikat satuan bukan imbuhan ialah akar kata yang dapat membentuk kata dalam keadaan berikut:

  • Bergabung dengan imbuhan. Sebagai contoh, akar kata “tapa dalam kata “bertapa”, akar kata “mudi dalam kata “kemudi”, dan akar kata “tawa dalam kata “tertawa”.
  • Bergabung dengan kata tunggal. Sebagai contoh, akar kata “guam dalam kata majmuk “anak guam, akar kata “tani dalam kata majmuk “pasar tani dan akar kata “tangis dalam kata majmuk “suara tangis.
  • Bergabung dengan kata tunggal dalam kata ganda. Sebagai contoh akar kata “mayur dalam kata ganda “sayur-mayur, akar kata “bingar dalam kata ganda “hingar-bingar dan akar kata “bilau dalam kata ganda “kacau-bilau”.
  • Bergabung dengan akar kata dalam kata ganda. Sebagai contoh akar kata “porak” dan “peranda” dalam kata ganda “porak-peranda”, serta akar kata “hiruk” dan “pikuk” dalam kata ganda “hiruk-pikuk”.
  • Mengalami penggandaan semu. Sebagai contoh akar kata “tiap” pada kata ganda “tiap-tiap”, akar kata “kadang” pada kata ganda “kadang-kadang”, akar kata “anai” pada kata ganda “anai-anai”, dan akar  kata “masing” pada kata ganda “masing-masing”.

Seterusnya, terdapat morfem terikat bahagian kata yang merupakan gandaan bagi kata ganda separa. Sebagai contoh gandaan te- dalam kata ganda separa “tetikus”, gandaan pe- dalam kata ganda separa “pepijat”, dan gandaan ke- dalam kata ganda separa “kekisi.

Terdapat juga bentuk terikat yang hanya boleh wujud dalam ayat selepas bergabung dengan kata tetapi bukan morfem terikat kerana tidak terlibat dalam proses pembentukan kata.  Sebaliknya, bentuk terikat itu mempunyai fungsi sintaksis yang tersendiri dalam ayat. Sebagai contoh bentuk terikat penegas -kah dalam kata “bilakah dan bentuk terikat -lah dalam kata “hendaklah. Selain itu, terdapat bentuk terikat penekan dan pembenda   -nya yang bukan morfem terikat.

Morfem terikat dan morfem bebas dapat bergabung untuk membina kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata tugas. Sila lihat contoh yang berikut:

Golongan Kata Contoh Morfem terikat Morfem Terikat Morfem Bebas
Kata Nama pesawah pe- sawah
  belanjawan -wan belanja
  semangat juang juang semangat
  layang-layang layang- -layang
  kuih-muih -muih kuih
  pemudi pe- -mudi
   tetupai te tupai
Kata Kerja melompat me- lompat
  bertapa ber- tapa
  berpindah-randah ber- -randah pindah
Kata Adjektif terbaik ter- baik
  budiman -man budi
  hingar-bingar -bingar hingar
  porak-peranda porak- -peranda
Kata Tugas setiap se- -tiap
  ribuan -an ribu
  masing-masing masing- -masing
  setelah se- telah

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi