Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTanpa disedari, Malaysia sudah pun bebas daripada cengkaman penjajah selama 67 tahun. Pembangunan yang pesat dan rancak dapat dilihat melalui pembinaan bangunan pencakar langit, pelaksanaan pelbagai projek mega serta penetapan wawasan negara yang jelas, iaitu menjadi sebuah negara yang progresif dan berdaya saing mengikut acuan sendiri. Kini, negara Malaysia sudah mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara maju yang lain di pentas antarabangsa berkat kecemerlangan yang dicapai dalam bidang politik, ekonomi dan sosial. Namun begitu, adakah bahasa kebangsaan negara Malaysia, iaitu bahasa Melayu juga sudah berjaya dimartabatkan seiring dengan pembangunan yang dicapai selama ini?
Persoalan sama ada bahasa Melayu sudah berjaya dimartabatkan merupakan isu yang kompleks dan bergantung pada sudut pandangan yang berbeza. Dari sudut dasar kerajaan dan perundangan, bahasa Melayu sememangnya telah dimartabatkan secara rasmi. Hal ini dikatakan demikian kerana Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan bagi negara Malaysia. Pengiktirafan tertinggi terhadap status bahasa Melayu ini telah menjadi asas bagi pelaksanaan pelbagai dasar bahasa di Malaysia.
Selain itu, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 telah memperkukuh pelaksanaan Perkara 152 dengan menetapkan bahawa bahasa Melayu mestilah digunakan dalam urusan rasmi kerajaan termasuklah dokumen surat-menyurat dan komunikasi rasmi agensi kerajaan. Kedudukan bahasa Melayu juga diperteguh melalui pelaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang menetapkan bahawa bahasa Melayu ialah bahasa pengantar utama di sekolah kebangsaan dan di institusi awam.
Sementara itu, penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merupakan satu daripada langkah pragmatik yang diambil oleh kerajaan untuk memartabatkan bahasa Melayu. Matlamat penubuhan DBP untuk membina dan memperkaya bahasa kebangsaan dalam semua bidang termasuklah bidang sains dan teknologi; memperkembang bakat sastera dalam bahasa kebangsaan; mencetak, menerbitkan atau membantu dalam usaha penerbitan buku, majalah, risalah dan bentuk kesusasteraan lain dalam bahasa kebangsaan dan bahasa lain; membakukan ejaan dan sebutan serta membentuk istilah yang sesuai dalam bahasa kebangsaan; menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul; serta menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan supaya digunakan secara meluas bagi segala maksud mengikut undang-undang yang sedang berkuat kuasa. Secara tuntasnya, bahasa Melayu sudah dimartabatkan secara rasmi melalui dokumen hitam putih.
Namun begitu, dari sudut sosial pula, bahasa Melayu masih belum dapat dimartabatkan dengan sepenuhnya. Hal ini dapat dibuktikan apabila bahasa Inggeris dan bahasa ibunda kaum tertentu seperti bahasa Cina dan bahasa Tamil lebih diutamakan berbanding dengan bahasa Melayu. Sebagai contoh, segelintir ibu bapa lebih rela menghantar anak-anak belajar di sekolah antarabangsa, bukannya di sekolah kebangsaan kerana berpendapat bahawa bahasa Inggeris mempunyai nilai ekonomi yang lebih tinggi daripada bahasa Melayu. Anggapan bahawa bahasa Inggeris lebih berprestij dan mampu membawa peluang kerjaya yang lebih luas, terutamanya dalam bidang profesional mengakibatkan bahasa Melayu dipandang enteng. Bukan itu sahaja, penggunaan bahasa rojak dengan mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris dalam kalangan masyarakat kian membimbangkan. Trend ini semakin popular dalam kalangan masyarakat bandar, khususnya generasi muda sehingga menghakis identiti bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Pendek kata, bahasa Melayu sukar dimartabatkan selagi masyarakat Malaysia lebih mementingkan bahasa lain, terutamanya bahasa Inggeris atas dasar globalisasi, prestij dan peluang kerjaya.
Dari sudut ilmu dan teknologi, bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan kebangsaan. Misalnya, buku teks dan bahan pengajaran di sekolah rendah dan menengah kebangsaan menggunakan bahasa Melayu. Di samping itu, mata pelajaran teras seperti Sejarah dan Pendidikan Moral diajarkan sepenuhnya dalam bahasa Melayu. Hal ini membuktikan bahawa usaha pemartabatan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu pada peringkat sekolah berjalan dengan lancarnya.
Walau bagaimanapun, pada peringkat pengajian tinggi (kolej dan universiti), bahasa Inggeris adalah lebih dominan, terutamanya dalam jurusan yang melibatkan sains, teknologi, kejuruteraan dan perubatan. Hal ini dikatakan demikian kerana kebanyakan rujukan, jurnal dan bahan penyelidikan utama diterbitkan dalam bahasa Inggeris. Segala hasil kajian yang dilakukan oleh para penyelidik tempatan juga perlu diterbitkan dalam bahasa Inggeris agar diterima pada peringkat antarabangsa. Keadaan ini menyebabkan bahasa Melayu kurang digunakan oleh ahli akademik sekali gus membantutkan usaha kerajaan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang berdaya saing pada peringkat global.
Selain itu, bahasa Melayu masih belum berupaya untuk menjadi bahasa utama dalam dunia digital. Hal ini dikatakan demikian kerana banyak perisian dan aplikasi yang dihasilkan masih menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama. Hanya sebilangan kecil daripada perisian dan aplikasi yang dicipta menyediakan pilihan bahasa Melayu untuk penggunanya. Tambahan pula, kandungan yang berkaitan dengan teknologi, maklumat dan komunikasi yang dimuat naik dalam media sosial seperti YouTube dan Facebook lazimnya dalam bahasa Inggeris. Hal ini sudah tentunya menyukarkan pengguna bahasa Melayu untuk mengakses ilmu teknologi melalui Internet. Walaupun bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa ilmu pada peringkat asas, bahasa Melayu tetap menghadapi cabaran sebagai bahasa utama dalam bidang sains, teknologi dan penyelidikan.
Secara keseluruhannya, bahasa Melayu telah dimartabatkan sebagai identiti nasional, tetapi masih belum berjaya dimartabatkan secara sepenuhnya dalam semua aspek kehidupan, terutamanya dalam sektor swasta, akademik dan antarabangsa. Oleh itu, gemblengan kudrat daripada semua pihak diperlukan untuk mengangkat martabat bahasa Melayu secara menyeluruh kerana George Bernard Shaw, iaitu seorang tokoh yang terkemuka pernah mengatakan bahawa “Tidak ada kemajuan tanpa perubahan dan orang yang tidak sudi mengubah pemikirannya tidak akan mengubah apa-apa pun pada akhirnya.”