Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangDalam percakapan sehari-hari, kita sering mendengar masyarakat Malaysia menggunakan istilah “jakun” untuk menggambarkan seseorang yang “kekok, tidak berpengalaman, atau ketinggalan zaman”. Sebagai contoh,
“Engkau ini jakunlah, tak pernah tengok telefon pintar sebegini sebelum ini!”
“Serius tak pernah nampak bangunan seunik ini? Jakun betullah engkau ini!”
Namun, tahukah kita semua bahawa “Jakun” sebenarnya merujuk satu daripada etnik kaum Orang Asli di Malaysia? Penggunaan istilah ini dalam konteks negatif boleh menimbulkan stereotaip yang tidak adil terhadap komuniti Orang Asli. Makalah ini akan membincangkan tentang mengapa kita perlu menghentikan normalisasi penggunaan istilah “jakun” sebagai bahan ejekan dan beralih kepada bahasa yang lebih bersifat menghormati.
Perkataan “Jakun” sebenarnya berasal daripada nama etnik Jakun yang kemudian disalahertikan dengan konotasi negatif seperti mundur, kolot, ketinggalan zaman, ortodoks, tidak progresif, kuno, atau primitif. Hal ini juga dianggap sinonim dengan sifat jumud. Normalisasi ini berpunca daripada fakta bahawa masyarakat Jakun merupakan kelompok pedalaman dan tergolong dalam komuniti Orang Asli. Oleh itu, sifat seperti keterlaluan dalam meluahkan rasa terkejut serta sikap kolot sering disamakan dengan stereotaip terhadap kaum tersebut.
Masyarakat Orang Asli merupakan sebuah komuniti yang pelbagai, dipecahkan kepada tiga etnik besar sebelum dibahagikan lagi kepada 18 pecahan lain. Setiap etnik mempunyai bahasa, budaya dan persekitaran yang berbeza-beza. Orang Asli yang tinggal di negeri Johor menuturkan bahasa yang sama, iaitu bahasa Jakun daripada rumpun Melayu Proto. Jakun merupakan satu daripada kelompok Orang Asli yang tinggal di Johor, Pahang, dan sebahagian Selangor. Mereka mempunyai budaya, bahasa, dan tradisi unik yang telah wujud sejak turun-temurun. Pada suatu masa dahulu, sebelum terdedah terhadap pembangunan, sudah menjadi menjadi kebiasaan masyarakat bukan Orang Asli menggunakan istilah tersebut secara tidak tepat.
Walaupun penutur mungkin tidak berniat buruk, penggunaan istilah etnik secara negatif termasuk dalam bentuk diskriminasi halus. Penggunaannya mungkin kelihatan kecil, tetapi jika berulang-ulang akan memberikan kesan kumulatif yang mendalam terhadap emosi dan keyakinan diri individu daripada kalangan komuniti berkenaan. Misalnya, seorang remaja Jakun yang selalu mendengar rakan sekelas ketawa apabila gurunya menyebut “dasar jakun” untuk menggambarkan seseorang yang kolot mungkin merasakan dirinya dan keluarganya dipandang rendah. Asosiasi negatif ini berpunca daripada stereotaip terhadap masyarakat Jakun sebagai kelompok pedalaman. Oleh sebab mereka hidup secara tradisional dan kurang terdedah dengan arus pembangunan pada suatu masa dahulu, masyarakat bandar mula menggunakan istilah “jakun” untuk menggambarkan sikap keterujaan berlebihan, kekolotan, atau kehairanan terhadap perkara baharu. Dengan menggunakan istilah ini sebagai ejekan, secara tidak langsung memperlekeh identiti mereka. Penggunaan istilah ini mengukuhkan tanggapan bahawa masyarakat Orang Asli bersifat “mundur” atau “terkebelakang”, sedangkan realitinya, mereka juga berhak mendapat penghormatan dan peluang yang sama rata.
Selain itu, penggunaan istilah etnik seperti “jakun” dalam konteks negatif atau sebagai bahan ejekan bukan sekadar kesilapan bahasa biasa. Penggunaannya membawa implikasi psikologi dan sosial yang mendalam, terutama kepada komuniti yang terlibat. Apabila nama sesuatu etnik dijadikan bahan sindiran atau ejekan, hal ini secara langsung memberikan mesej bahawa identiti mereka dianggap “lucu”, “pelik”, atau “kurang bernilai”. Hal ini boleh menimbulkan perasaan terluka dan dipinggirkan dalam kalangan komuniti berkenaan. Apabila sesuatu istilah etnik selalu dikaitkan dengan sifat negatif (seperti “terkebelakang” atau “kekok”), lama-kelamaan hal tersebut menjadi stereotaip automatik dalam minda masyarakat. Masyarakat mungkin mula mengaitkan seluruh komuniti tersebut dengan sifat negatif itu tanpa disedari.
Sebagai masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, kita perlu menyebarkan kesedaran tentang maksud sebenar “Jakun”, sekali gus menghormati kepelbagaian budaya dengan tidak menggunakan istilah etnik sebagai ejekan. Dalam masa yang sama, kita menegur rakan atau keluarga untuk berhenti menggunakannya dalam konteks negatif. Perkataan yang digunakan mencerminkan nilai dan sikap kita. Andainya hal ini terus menormalisasi “jakun” sebagai ejekan, ejekan itu secara perlahan-lahan mengekalkan stereotaip terhadap Orang Asli.
Penyalahgunaan istilah ini sememangnya jelas bertentangan dengan aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 10 yang menekankan pengurangan ketidaksamaan dalam dan antara negara. SDG 10 diwujudkan untuk mengurangkan atau menghapuskan diskriminasi sosial, ekonomi dan budaya terhadap kumpulan minoriti serta komuniti peribumi. Amalan ini juga jelas tidak selari dengan konsep Malaysia MADANI yang menekankan prinsip hormat, ihsan, keadilan sosial dan keterangkuman dalam masyarakat majmuk. Dalam kerangka Malaysia MADANI, bahasa bukan sekadar alat komunikasi, tetapi cerminan adab, pemikiran dan sikap terhadap sesama manusia. Sehubungan dengan itu, penggunaan istilah yang tepat, beretika dan berlandaskan penghormatan adalah tanggungjawab bersama bagi memupuk perpaduan dan keadilan budaya di Malaysia.
Apabila istilah etnik digunakan sebagai ejekan atau label pejoratif, hal ini secara tidak langsung melebarkan jurang sosial dan persepsi hierarki budaya. Dari sudut pendidikan dan pembinaan wacana awam, penggunaan bahasa yang inklusif dan beretika adalah selari dengan prinsip keadilan sosial serta penghormatan terhadap kepelbagaian budaya. Memartabatkan istilah Jakun sebagai identiti etnik yang sah dan bermaruah merupakan langkah kecil, tetapi signifikan ke arah memperkukuh kesedaran masyarakat tentang kepentingan kesaksamaan dan pengiktirafan hak komuniti peribumi dalam kerangka pembangunan lestari.
Persepsi masyarakat terhadap penggunaan istilah “Jakun” dapat diperbetulkan melalui pendekatan pendidikan dan kesedaran yang konsisten. Hal ini termasuklah penjelasan bahawa Jakun ialah satu daripada komuniti yang benar-benar wujud di Malaysia, khususnya di negeri Johor,serta memiliki sejarah, bahasa dan identiti budaya yang tersendiri. Justeru, istilah tersebut tidak wajar disempitkan maknanya sebagai ejekan atau label yang merendahkan martabat. Pendedahan melalui pendidikan formal, media arus perdana, penulisan umum dan kandungan digital yang menggunakan istilah “Orang Asli Jakun” secara tepat dan bermaruah berpotensi membetulkan semula salah faham yang berpunca daripada ketidaktahuan, khususnya dalam kalangan generasi masa ini.
Pada masa yang sama, hal ini turut memberikan ruang kepada masyarakat Jakun itu sendiri untuk menyuarakan pengalaman dan realiti kehidupan mereka agar dapat memupuk empati serta kefahaman yang lebih mendalam dalam kalangan masyarakat umum. Pendekatan yang berhemah bagi menegur tentang penggunaan istilah yang tidak sensitif berlandaskan nilai hormat, ihsan dan keterangkuman sebagaimana yang digariskan dalam gagasan Malaysia MADANI, mampu mengubah persepsi masyarakat daripada stereotaip kepada penghormatan dan pengiktirafan terhadap kepelbagaian budaya.
Sehubungan itu, sudah tiba masanya kita meninggalkan kebiasaan menggunakan istilah “jakun” sebagai kata celaan. Sebagai ganti, gunakan perkataan yang lebih tepat seperti “ketinggalan zaman” jika merujuk fikiran yang kolot, “kurang terdedah” jika merujuk kurang pengetahuan, atau “tradisional” sekiranya merujuk cara lama. Dengan menghentikan penggunaan istilah ini, kita bukan sahaja menghormati masyarakat Orang Asli, tetapi juga membina masyarakat Malaysia yang lebih informatif, adil, dan beradab, selari dengan Rukun Negara kelima, iaitu kesopanan dan kesusilaan.