Diterbitkan pada 10 Mac 2026, 09:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Dalam kerangka fikir masyarakat Melayu, bahasa bukan sekadar alat komunikasi mekanikal, tetapi merupakan cerminan terhadap kehalusan jiwa dan ketinggian peribadi. Ungkapan “bahasa jiwa bangsa” meletakkan darjat penguasaan dan penggunaan bahasa sebagai kayu ukur kemuliaan sesuatu komuniti. Apabila kita melangkah ke dalam madrasah Ramadan, terutamanya pada sepuluh malam terakhir yang menjanjikan malam al-Qadar, satu dimensi bahasa yang sering terlepas pandang ialah bagaimanakah malam kemuliaan ini sebenarnya berfungsi sebagai agen restorasi terhadap kesantunan bahasa dan akal budi manusia.

Malam al-Qadar bukan sekadar fenomena alamiah atau ritualistik, tetapi merupakan satu puncak pertemuan antara hamba dengan Penciptanya melalui wasilah bahasa. Di sinilah letaknya titik pertemuan antara linguistik dan teologi; bagaimana seorang hamba menyusun aksara, memilih diksi, dan mengatur retorika dalam doa agar selari dengan sifat Tuhan yang Maha Indah.

Artikel ini akan menelusuri bagaimana Malam al-Qadar mendidik kita untuk lebih berbudi bahasa, bermula daripada adab berdoa sehinggalah kepada manifestasi akhlak dalam interaksi sosial.

Doa sebagai Komunikasi Transendental Paling Tertib

Dalam ilmu linguistik, doa boleh dikategorikan sebagai satu bentuk komunikasi transendental, iaitu komunikasi antara makhluk (manusia) dengan pencipta (Tuhan). Namun, tidak seperti komunikasi harian yang sering kali bersifat santai atau tidak formal, komunikasi dalam doa menuntut tahap kesantunan yang paling tinggi.

Apabila Nabi Muhammad SAW mengajarkan doa khusus buat Saidatina Aisyah r.a. untuk dibaca pada malam-malam al-Qadar yang bermaksud, “Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, Engkau mencintai pengampunan, maka ampunilah aku”. Doa ini dilihat sebagai sebuah struktur bahasa yang sangat harmoni. Doa ini menerapkan strategi pujian sebelum memohon (meminta ampun) kerana dimulakan dengan pengiktirafan terhadap sifat Tuhan.

Dalam budaya berbudi bahasa, kita tidak terus menerjah dengan permintaan. Kita mulakan dengan penghormatan. Hal ini merupakan “budi bahasa langit” yang mengajar kita bahawa permohonan terhadap sesuatu memerlukan kita mendahulukan adab dengan memuji dan menghargai terlebih dahulu. Menurut pakar bahasa Arab, pemilihan diksi “keampunan” (afwu)  bermaksud penghapusan dosa sehingga tidak meninggalkan kesan, berbeza dengan maghfirah (penutupan dosa).

Pemilihan kata ini menunjukkan betapa telitinya bahasa wahyu bagi menyampaikan hasrat. Hal tersebut mendidik kita untukmembuat pemilihan kata yang paling tepat agar maksud hati tersampai dengan sempurna.

Merunduk dalam Kata-kata

Satu daripada rintangan terbesar untuk berbudi bahasa ialah kesombongan atau ego. Seseorang yang sombong selalunya menggunakan bahasa yang tinggi, mendongak, dan autoritatif. Namun, pada malam malam al-Qadar, setiap hamba dipaksa secara spiritual untuk melakukan dekonstruksi terhadap ego mereka. Apabila kita bersujud pada waktu tengah malam, bahasa yang lahir ialah bahasa perhambaan. Kita menggunakan kata ganti nama diri yang paling kerdil. Dalam tradisi bahasa Melayu klasik, penggunaan kata seperti “patik”, “hamba”, atau “pacal” di hadapan raja menunjukkan hierarki adab. Maka itu, di hadapan Tuhan pada malam seribu bulan, bahasa kita sangat “merunduk”.

Malam al-Qadar melatih kita membuang segala gelaran duniawi dan kembali kepada status “hamba”. Kesedaran linguistik ini sangat penting kerana jika kita mampu merendah diri di hadapan Tuhan dengan bahasa yang paling santun, mengapakah kita gagal melakukannya sesama manusia? Hal ini merupakan tamparan hebat terhadap akal budi kita yang sering kali “terlepas laku” sewaktu berbahasa apabila berhadapan dengan orang yang kita anggap lebih rendah kedudukannya.

Malam al-Qadar dan Restorasi Akal Budi Melayu

Masyarakat Melayu sangat mementingkan konsep “tahu adab, tahu bahasa”. Malam al-Qadar hadir sebagai tempoh bertenang (cooling-off period) daripada segala hiruk-pikuk lidah yang tajam. Selama sebulan berpuasa dan kemuncaknya pada sepuluh malam terakhir, lidah dipenjarakan daripada berkata yang sia-sia (lagha).

Dalam konteks sosiolinguistik, fenomena ini dipanggil sebagai linguistic purification atau penyucian bahasa. Kita membersihkan kosa kata kita daripada unsur maki hamun, fitnah, dan sindiran tajam. Malam al-Qadr yang digambarkan sebagai “salam” (sejahtera) sehingga terbit fajar memberikan satu isyarat bahawa bahasa yang dominan pada malam tersebut adalah bahasa kesejahteraan. Apabila jiwa seseorang itu sudah sebati dengan kedamaian malam al-Qadar, maka itu, akal budi yang terhasil juga akan menjadi lebih bermutu. Orang yang berbudi bahasa bukan sekadar orang yang pandai menyusun kata, tetapi orang yang akalnya mampu mengawal lidahnya daripada menyakiti orang lain. Malam al-Qadar memacu transformasi ini dengan memaksa kita berfikir sebelum berkata-kata, kerana setiap kalimah pada malam tersebut dianggap sebagai ibadat.

Satu lagi dimensi budi bahasa yang jarang dibincangkan ialah “bahasa kesunyian” atau the language of silence. Malam al-Qadar sering dicari pada keheningan malam. Kesunyian itu sendiri adalah satu bentuk bahasa, iaitu bahasa pengabdian yang tidak memerlukan bunyi. Dalam falsafah bahasa, kesunyian selalunya lebih bermakna daripada ribuan kata-kata yang kosong. Berbudi bahasa juga merangkumi kebolehan untuk diam pada tempat yang betul. Malam al-Qadar mengajar kita bahawa ada ketikanya, hubungan paling akrab dengan Pencipta (dan sesama insan) dicapai melalui sapaan batin dan kebisuan yang sarat dengan makna. Hal ini memperlihatkan tahap kesantunan yang paling tinggi apabila kita tidak lagi memerlukan hiasan bahasa untuk menunjukkan keikhlasan.

Peranan Bahasa dalam Usaha Meraih Sakinah

Sakinah atau ketenangan menjadi objektif utama malam al-Qadar. Dalam perspektif psikolinguistik, penggunaan bahasa yang baik dan santun secara langsung dapat memberikan kesan terhadap ketenangan jiwa. Kata-kata yang kasar bukan sahaja menyakitkan pendengar, tetapi juga meracuni hati penuturnya. Malam al-Qadar mendidik kita untuk memperbaik doa demi memperbaik jiwa.

Apabila diri dibiasakan dengan bahasa doa yang indah, saraf otak akan terbiasa dengan getaran positif. Hal ini membolehkan individu yang meraih malam al-Qadar kelihatan lebih tenang, lebih berbudi, dan lebih disegani pertuturannya. Mereka telah melalui proses “format semula” terhadap sistem linguistik mereka sepanjang Ramadan.

Hari ini, kita berhadapan dengan krisis bahasa. Masyarakat terbelenggu dengan bahasa ringkas, bahasa slanga yang kasar, dan penggunaan kata-kata hormat (seperti tuan, puan, encik, kakak, abang) yang semakin menipis. Malam al-Qadar dilihat sebagai momen terbaik untuk menilai kembali sejauh manakah kita telah menghancurkan estetika bahasa.

Dengan merenung kembali betapa agungnya malam tersebut, kita diingatkan bahawa Tuhan menghargai keindahan. Jika al-Quran itu sendiri diturunkan pada malam al-Qadar dalam bahasa Arab yang paling mukjizat dan indah sasteranya, hal ini merupakan  isyarat bahawa kita juga harus memuliakan bahasa kita. Menghina bahasa atau menggunakan bahasa dengan semberono adalah satu bentuk ketidakpatuhan terhadap nilai keindahan yang ditekankan oleh malam tersebut.

Sebagai kesimpulan, malam al-Qadar bukan sekadar pencarian cahaya di langit, tetapi pencarian cahaya dalam diri melalui wasilah bahasa. Situasi ini merupakan waktu apabila “budi” dan “bahasa” bertemu dalam satu titik sujud yang paling dalam. Seseorang yang benar-benar menemukan malam al-Qadar akan dikenali melalui lisan dan budi pekertinya dengan menjadi individu yang paling santun bicaranya, paling terjaga butir katanya, dan paling mulia akhlaknya. Marilah kita kembali kepada fitrah bahasa yang menyatukan, menghormati, dan memuliakan kerana pada akhirnya, doa yang paling makbul ialah doa yang lahir daripada hati yang suci dan lidah yang berbudi.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi