Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSeiring dengan perkembangan pesat teknologi dan media digital, komunikasi telah menjadi nadi yang melengkapi segenap kehidupan manusia. Kewujudan komunikasi ini membolehkan maklumat disampaikan dan disebarkan ke serata pelosok dunia. Dalam konteks komunikasi yang semakin dipacu oleh teknologi digital, media sosial memainkan peranan yang sangat penting dalam usaha membentuk corak interaksi dan penggunaan bahasa masyarakat kini, khususnya dalam kalangan Generasi Z (Gen-Z).
Artikel ini ditulis dari perspektif seorang anak muda yang membesar dalam dunia digital yang serba canggih, dikelilingi oleh media sosial dan aliran media digital yang sentiasa mengalir tanpa henti. Sebagai individu yang mengalami sendiri perkembangan pesat media sosial, penulis menyaksikan bagaimana medium ini telah membawa perubahan besar pada cara manusia berkomunikasi, khususnya dalam kalangan Gen-Z. Platform media sosial seperti Facebook, Instagram, Tiktok, X, WhatsApp, Telegram dan sebagainya bukan sahaja berfungsi sebagai medium hiburan dan perkongsian maklumat, malah menjadi ruang utama interaksi sosial harian. Gen-Z pada masa ini cenderung menggunakan bahasa yang lebih santai, ringkas dan penuh ekspresi untuk pembaca memahami apa-apa yang ingin disampaikan selaras dengan keperluan konteks, situasi serta identiti sosial pengguna. Namun begitu, situasi ini telah mencetuskan pelbagai pandangan. Adakah penggunaan bahasa dalam media sosial oleh Gen-Z membawa kepada pencemaran bahasa atau mencerminkan perkembangan bahasa yang selari dengan peredaran zaman?
Fenomena ini telah menimbulkan persoalan sama ada penggunaan bahasa di media sosial oleh Gen-Z telah menjejaskan mutu bahasa Melayu atau sebaliknya mencerminkan perkembangan semula jadi bahasa selari dengan keperluan komunikasi moden. Oleh itu, artikel ini akan meneliti penggunaan bahasa dalam media sosial oleh Gen-Z dan membincangkan sama ada fenomena ini membawa kepada pencemaran bahasa atau merupakan satu bentuk perkembangan bahasa dalam era digital kini.
Gen-Z dilihat gemar dan kerap menggunakan media sosial seperti Instagram, Tiktok, dan Facebook sebagai sebahagian daripada cara komunikasi dalam kehidupan harian mereka. Kewujudan media sosial ini diibaratkan seperti “dayung sudah di tangan, perahu sudah di air” yang memberikan peluang kepada generasi muda untuk berkomunikasi dan berkongsi maklumat dengan pantas dan tanpa batasan.
Dalam konteks media sosial, Gen-Z cenderung untuk tidak menggunakan bahasa yang terlalu formal kerana medium ini dianggap tidak menuntut pematuhan terhadap konvensi komunikasi rasmi. Mereka lebih memilih bentuk bahasa yang mudah difahami dan cepat disampaikan tanpa terlalu menitikberatkan ketepatan struktur bahasa selagi maksud dan emosi yang ingin disampaikan dapat difahami bersesuaian dengan konteks komunikasi digital mereka. Satu daripada kebimbangan utama dalam perbincangan tentang penggunaan bahasa Gen-Z di media sosial ialah penggunaan bahasa tidak baku yang semakin meluas dan dibiasakan dalam komunikasi harian.
Satu daripada perubahan ketara dalam cara Gen-Z berbahasa dalam media sosial adalah kecenderungan menggunakan bahasa rancu atau lebih dikenali sebagai bahasa rojak yang merujuk bahasa yang tidak teratur dan bercampur aduk. Dalam landskap komunikasi digital pada masa ini, sikap acuh tidak acuh Gen-Z terhadap penggunaan bahasa yang baik dianggap remeh dan berisiko menjejaskan keutuhan bahasa Melayu. Lama-kelamaan, cara berbahasa ini menjadi kebiasaan dalam komunikasi harian dan membentuk corak bahasa Gen-Z. Hal ini sekali gus menjejaskan struktur dan ketepatan bahasa Melayu yang menjadi kebimbangan oleh pencinta bahasa apabila penggunaan bahasa rancu ini semakin dijadikan kelaziman dan menular dalam interaksi di media sosial.
Selain itu, kemunculan Gen-Z sebagai pengguna aktif media sosial telah menghasilkan budaya singkatan baharu khususnya dalam interaksi dan komunikasi digital harian. Gen-Z lebih cenderung menggunakan singkatan untuk berkomunikasi di media sosial bagi menyampaikan maklumat ataupun pendapat dengan segera, secara santai dan mempunyai keinginan untuk kelihatan moden dalam kalangan pengguna media sosial. Bahasa yang singkat, pendek dan bersahaja yang digunakan oleh golongan ini di media sosial telah memberikan kesan yang amat ketara terhadap penggunaan bahasa Melayu standard.
Setelah bertahun-tahun dididik tentang tatabahasa dan keindahan bahasa di sekolah, bahasa singkatan akhirnya menjadi pilihan Gen-Z untuk berkomunikasi di media sosial. Apabila kebiasaan ini berterusan tanpa kawalan konteks, akan timbul kebimbangan bahawa mutu dan ketepatan bahasa Melayu akan terhakis dalam jangka masa yang panjang.
Pada kebiasaannya, golongan ini menggunakan singkatan lazim seperti sy untuk menggantikan perkataan “saya”, yg untuk menggantikan perkataan “yang” dan dkt untuk menggantikan perkataan “dekat”. Mereka menggunakan bahasa singkatan ini untuk memudahkan dan mempercepatkan komunikasi dalam media sosial.
Namun demikian, bahasa singkatan ini boleh berkembang menjadi barah dalam komunikasi harian yang akan menyebabkan kekeliruan maklumat kepada penerima jika mereka tidak faham bahasa singkatan tersebut. Sekiranya Gen-Z menjadikan penggunaan bahasa singkatan ini sebagai amalan dalam komunikasi harian, standard bahasa Melayu dan ketetapan tatabahasa akan terhakis. Pada akhirnya, usaha untuk membendung dan mengekalkan standard penggunaan bahasa Melayu yang tepat dan betul akan menjadi semakin sukar.
Walau bagaimanapun, bahasa tidak pernah bersifat statik. Penggunaan bahasa Melayu berubah dan berkembang seiring dengan perubahan landskap komunikasi digital dan penggunaan media sosial. Dalam konteks semasa, kemunculan media sosial telah mempercepatkan perkembangan bahasa dengan mewujudkan bentuk bahasa baharu yang selari dengan keperluan komunikasi digital sekali gus membuktikan bahawa bahasa sentiasa berkembang mengikut perubahan zaman. Penggunaan bahasa yang lebih ringkas dan santai oleh Gen-Z bukan dilihat sebagai tanda pengabaian dan pencemaran bahasa semata-mata, sebaliknya mencerminkan keperluan untuk menyampaikan mesej secara cepat dan berkesan dalam ruang digital yang terhad.