Diterbitkan pada 25 Mac 2026, 11:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Fonologi ialah bidang yang mengkaji bunyi bahasa sesuatu bahasa dan fungsinya dalam sistem bunyi bahasa tersebut (Kamus Linguistik, 1997). Antara penelitian yang diperihalkan dalam bidang fonologi termasuklah struktur fonotaktik sesuatu bahasa. Struktur fonotaktik ialah kajian tentang cara kombinasi antara bunyi yang wujud dalam sesuatu kata. Hal ini terkait dengan aspek kekangan fonotaktik dalam sesuatu bahasa.

Penutur jati atau penutur natif bagi sesuatu bahasa mengetahui bahawa setiap leksikal yang wujud dalam bahasanya itu memiliki struktur fonotaktik yang menepati bahasanya atau tidak walaupun secara tidak sedar. Keadaan ini banyak dibahaskan oleh ahli fonologi. Dalam perbincangan ini, leksikal “klinik”, “strok”, “makan” dan “masak”, dibincangkan.

Terdapat cara untuk mengenal pasti empat leksikal ini, sama ada kata jati Melayu atau tidak, iaitu melalui kajian struktur fonotaktik dalam sesuatu bahasa. Seseorang penutur jati mengetahui sistem nahu bahasanya yang merangkumi aspek fonologi, leksikon, struktur dan makna. Oleh itu, penutur jati Melayu mengetahui bahawa leksikal “klinik” dan “strok” bukan kata asli Melayu, manakala leksikal “makan” dan “masak” pula ialah kata asli Melayu.

Dalam leksikal “klinik” dan “strok”, wujud rangkaian konsonan yang dikenali sebagai konsonan rangkap pada awal kata. Dari segi sistem fonologi bahasa Melayu, konsonan rangkap tidak wujud pada awal kata dalam suku kata yang sama. Pembentukan suku kata bahasa Melayu berdasarkan sistem fonologinya hanya terdiri daripada gabungan antara V (vokal) dan K (konsonan) atau V (sahaja) dalam satu suku kata, seperti kata “ibu”, “emak”, “emas” dan sebagainya. Hal ini menunjukkan kekangan fonotaktik yang tidak membenarkan sebarang konsonan rangkap muncul pada awal kata asli Melayu.

Selain itu, struktur fonotaktik bahasa Melayu mengekang kewujudan struktur urutan vokal dan konsonan pada suku kata yang sama, seperti *mmakan, *nnasi, *aiyam, *aular. Simbol bintang (*) dalam ilmu linguistik ialah simbol bagi pembentukan kata atau ayat yang tidak gramatis. Oleh itu, semua contoh berkenaan tidak menepati sistem fonologi bahasa Melayu sama sekali.

Pengetahuan tentang peranan sistem fonetik dan fonologi sesuatu bahasa mungkin tidak disedari oleh orang biasa yang tidak mempelajari ilmu linguistik. Namun begitu, ilmu ini tetap tersimpan dalam pengetahuan tanpa sedar penutur jati. Tugas ahli linguistik pula ialah sebagai pemerihal tentang apa-apa yang ada dalam sistem bahasa yang berkaitan. Oleh itu, ahli linguistik perlu meneliti segala fenomena yang berlaku dalam bahasa secara empiris dan berpada dan menjadikannya keutamaan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi