Diterbitkan pada 15 April 2026, 16:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Serdang – Usaha memperkasakan peradaban bangsa melalui bahasa Melayu terus diperkukuh menerusi Seminar Antarabangsa Linguistik dan Pembudayaan Bahasa Melayu ke-12 (SALBPM XII) yang berlangsung di Auditorium Za’ba, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.

Seminar kebahasaan itu dirasmikan oleh Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Sabah, YB Datuk Dr. Maijol Mahap, JP yang hadir bagi mewakili Menteri Penempatan dan Perumahan Sabah, YB Datuk Seri Panglima Dr. Haji Mohd Arifin Haji Mohd Arif. 

Dalam ucapan perasmiannya, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan penganjuran seminar ini serta menegaskan kepentingan memperkukuh pembudayaan bahasa Melayu pada peringkat nasional dan antarabangsa.

Menurut beliau, seminar yang dianjurkan sejak tahun 2005 itu merupakan kesinambungan usaha memperkasakan bahasa Melayu, selaras dengan tema tahun ini, iaitu “Bahasa dan Peradaban Bangsa”. 

Menurut beliau,

Bahasa Melayu bukan sekadar alat komunikasi, malah pernah berperanan sebagai bahasa diplomasi, perdagangan dan ilmu yang mendasari kegemilangan tamadun Melayu di rantau ini.

Apabila kita berbicara tentang peradaban, kita sebenarnya berbicara tentang ketinggian pemikiran dan budi pekerti yang dizahirkan melalui bahasa. Justeru, pemerkasaan bahasa ialah prasyarat bagi pembinaan bangsa yang beradab.

Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Sabah, YB Datuk Dr. Maijol Mahap, JP semasa berucap mewakili Menteri Penempatan dan Perumahan Sabah, YB Datuk Seri Panglima Dr. Haji Mohd Arifin Haji Mohd Arif dalam Majlis Perasmian SALBPM XII.

YB Datuk Dr. Maijol Mahap, JP turut menegaskan bahawa bahasa Melayu mempunyai potensi besar sebagai bahasa antarabangsa dengan jumlah penutur yang melebihi 300 juta orang serta sejarahnya yang sangat unggul sebagai bahasa perantaraan pada zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka.

Dalam menghadapi era digital dan kecerdasan buatan (AI), beliau menyatakan bahawa bidang linguistik perlu terus berkembang secara dinamik agar bahasa Melayu kekal relevan tanpa kehilangan identiti asalnya melalui penggunaan konsep sains dan teknologi.

Pemerkasaan bahasa Melayu pada era digital boleh ditambah baik melalui bidang penterjemahan dan penulisan dengan memperkaya bahasa secara interaksi sosial dan penulisan ilmiah, sekali gus memudahkan proses komunikasi antara bahasa,” jelas beliau.

Sementara itu, dalam ucapan alu-aluan Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), UPM, YBhg. Profesor Dr. Shamsul Bahri Hj. Md Tamrin menyatakan bahawa tema “Bahasa dan Peradaban Bangsa” amat signifikan kerana bahasa bukan sahaja berfungsi sebagai alat komunikasi, malah mencerminkan akal budi, jati diri dan ketinggian peradaban sesuatu bangsa.

Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), UPM, YBhg. Profesor Dr. Shamsul Bahri Hj. Md Tamrin ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya, hari ini.

Menurut beliau, seminar tersebut bertujuan mendedahkan penemuan terkini dalam bidang linguistik dan pembudayaan bahasa Melayu yang mampu menyumbang secara langsung terhadap kemajuan dan peradaban bangsa, selain menjadi medium untuk meluaskan pemerkasaan bahasa, sastera dan budaya Melayu.

Usaha pembudayaan bahasa bukan sahaja perlu melangkaui aspek linguistik semata-mata, sebaliknya merangkumi kelestarian budaya dan pemantapan sahsiah bangsa yang berteraskan ilmu pengetahuan, sejajar dengan peranan UPM sebagai sebuah universiti penyelidikan yang komited memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu,” tegas beliau.

Tambahnya lagi, seminar ini mengangkat pelbagai subtema merangkumi linguistik jati dan terapan, kesusasteraan dan seni kreatif, bahasa dan pemikiran, bahasa dan masyarakat, serta penerokaan baharu dalam bidang bahasa, teknologi dan AI.

Beliau turut menjelaskan bahawa antara matlamat utama seminar ini termasuklah memperkukuh penyelidikan linguistik Melayu serta merancakkan pembudayaan bahasa melalui penerbitan hasil kajian yang berkualiti. 

Usaha pendokumentasian dan penerbitan ilmiah berimpak tinggi amat penting bagi memastikan dapatan ilmu yang dihasilkan dapat dimanfaatkan dan dirujuk oleh generasi akan datang. Hal ini sekali gus menjamin kelestarian bahasa Melayu dalam dunia akademik global.

Para peserta dan pembentang bergambar kenangan bersama-sama tetamu kenamaan dalam Majlis Perasmian SALBPM XII.

SALBPM XII yang berlangsung pada 15 April dan 16 April 2026 merupakan seminar antarabangsa anjuran Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera serta Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Infak (WAZAN), UPM. 

Seminar antarabangsa ini menghimpunkan kira-kira 100 naskhah kertas pembentangan oleh ahli akademik dan pakar bahasa dari dalam mahupun luar negara.

Yang turut hadir dalam majlis tersebut termasuklah Timbalan Dekan Akademik dan Pelajar, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM, YBrs. Profesor Madya Dr. Adi Yasran Abdul Aziz dan Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP, YBrs. Puan Roziah Md Yunus.

Kredit Foto: Mohamad Firdauz Abdul Radzak
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi