Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – “Bahasa bukan sekadar alat komunikasi, malah merupakan jambatan yang menghubungkan perbezaan budaya, sejarah dan pandangan dunia.”
Demikian ucapan perasmian yang disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBhg. Sasterawan Negara (SN) Dato. Dr. Anwar Ridhwan ketika Majlis Penutupan Kem Interaksi Bahasa dan Budaya Belia China – Malaysia 2026 yang berlangsung di Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Wisma DBP, hari ini.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa bahasa berperanan sebagai wahana pemikiran, pembawa nilai serta jambatan yang menghubungkan perbezaan budaya, sekali gus memperkukuh hubungan antara Malaysia dengan China melalui pendekatan diplomasi budaya yang halus tetapi berkesan.
Beliau turut menjelaskan bahawa penguasaan bahasa Melayu oleh peserta dari China memberikan nilai tambah yang besar, termasuk membuka peluang pendidikan, kerjaya serta memperkukuh kefahaman budaya antara kedua-dua negara.
“Apabila saudara dan saudari mempelajari bahasa Melayu, anda bukan sekadar mempelajari bahasa, tetapi menyelami budaya dan mendekati jiwa bangsa Malaysia itu sendiri,” ujarnya.
Sepanjang beberapa hari program berlangsung, pelbagai aktiviti seperti syarahan tokoh, sesi interaksi budaya dan lawatan ilmiah telah diadakan. Hal ini sekali gus memberikan pengalaman pembelajaran secara langsung kepada para peserta.
Beliau juga menekankan bahawa program ini berlandaskan semangat peribahasa Melayu, iaitu “tak kenal maka tak cinta” yang menjadi asas bagi pembinaan persefahaman, penghormatan dan penghargaan antara budaya.

Pada masa yang sama, DBP kekal komited untuk memperkukuh kedudukan bahasa Melayu di persada antarabangsa melalui kerjasama strategik dengan pelbagai institusi pendidikan dan organisasi berkaitan.
Sementara itu, Dekan Pusat Pengajian Melayu, Beijing Foreign Studies University (BFSU), China merangkap Ketua Delegasi Kem Interaksi Bahasa dan Budaya Belia China – Malaysia 2026, YBhg. Profesor Dr. Su Yingying menyifatkan bahawa program ini sebagai platform penting bagi memperkukuh interaksi peradaban antara belia bagi kedua-dua negara.
Beliau menyatakan bahawa sepanjang lima hari program berlangsung, bahasa telah dijadikan wahana, manakala budaya menjadi jambatan yang menyatukan peserta dalam suasana dialog yang inklusif.
“Dalam kepelbagaian dialog budaya, kita menemukan persefahaman, manakala dalam proses saling belajar, kita memperkukuh persahabatan,” ujar beliau.

Menurut beliau, pengisian seperti forum universiti, dialog media, penghayatan seni budaya dan perbincangan akademik telah berjaya mencetuskan idea serta mengeratkan hubungan antara peserta.
Interaksi yang terjalin ini bukan sahaja memperkukuh persahabatan, malah menjadi manifestasi sebenar pertukaran peradaban yang digerakkan oleh generasi muda.
Beliau turut menegaskan bahawa penutupan kem ini bukanlah pengakhiran, sebaliknya titik permulaan baharu dalam usaha memperluas kerjasama dan hubungan antara Malaysia dengan China, khususnya melalui peranan belia sebagai penggerak utama masa hadapan.