Diterbitkan pada 4 Mei 2026, 21:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Merbok – Bahasa yang bermaruah merupakan asas utama bagi pembentukan bangsa yang bermartabat kerana penggunaan bahasa yang terpelihara dan betul mencerminkan jati diri, identiti serta tahap ketamadunan sesuatu masyarakat.

Demikian kenyataan yang menjadi inti pati penting dalam Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ke-70 Peringkat Zon Utara yang berlangsung di Dewan Perdana, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kedah, hari ini.

Majlis perasmian ini disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah (Bahagian Pengurusan), YBhg. Dato’ Haji Muhamad Mahazi Haji Ibrahim yang mewakili Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, YB Dato’ Seri Haji Norizan Khazali. 

Dalam ucapan perasmiannya, beliau menekankan bahawa bahasa Melayu merupakan tonggak utama bagi pembinaan jati diri bangsa dan kedaulatan negara. 

Menurut beliau, sepanjang tujuh dekad penubuhan DBP sejak tahun 1956, DBP telah memainkan peranan besar dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu melalui pelbagai inisiatif termasuklah pembinaan istilah, penerbitan karya serta pembangunan sastera.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah (Bahagian Pengurusan), YBhg. Dato’ Haji Muhamad Mahazi Haji Ibrahim ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun DBP ke-70 Peringkat Zon Utara yang berlangsung di Dewan Perdana, UiTM Cawangan Kedah, hari ini.

Beliau turut menyifatkan bahawa tema sambutan kali ini, iaitu “Restu Jiwa Pahlawan” sebagai satu simbol perjuangan berterusan demi mempertahankan bahasa Melayu. 

Menurut beliau,

Dalam konteks semasa, perjuangan tersebut tidak lagi tertumpu di medan fizikal, sebaliknya beralih ke medan pemikiran yang menuntut kesedaran dan komitmen seluruh masyarakat.

Pahlawan bahasa ialah mereka yang berani mempertahankan bahasa kebangsaan dalam pelbagai keadaan. Sebagai rakyat Malaysia, kita tidak boleh berkompromi tentang isu bahasa dan perlu menggunakannya dengan betul serta penuh tanggungjawab.

Sementara itu, dalam ucapan penghargaan yang disampaikan oleh Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, DBP, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa yang mewakili Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari menyatakan bahawa sambutan ulang tahun DBP ke-70 ini merupakan detik bersejarah yang mencerminkan kesinambungan perjuangan memartabatkan bahasa Melayu sejak penubuhan DBP pada tahun 1956.

“Perjuangan bahasa bukan sekadar warisan, tetapi amanah yang perlu dipikul oleh generasi hari ini agar bahasa Melayu terus relevan dan berwibawa untuk mendepani cabaran masa hadapan termasuk pada era kecerdasan buatan (AI),” ujarnya.

Tambah beliau, sambutan yang dilaksanakan mengikut zon pada tahun ini memberikan peluang yang lebih luas kepada masyarakat di pelbagai negeri untuk bersama-sama meraikan dan menghargai peranan DBP dalam pembangunan bahasa dan sastera negara.

Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, DBP, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa semasa menyampaikan ucapan penghargaan dalam Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun DBP ke-70 Peringkat Zon Utara.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk UiTM Cawangan Kedah atas kerjasama erat demi menjayakan program tersebut, sekali gus memperkukuh usaha memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang menjadi lambang jati diri rakyat Malaysia.

Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Rektor UiTM Cawangan Kedah, YBrs. Profesor Madya Dr. Mahazir Ismail; Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBhg. Profesor Dr. Goh Sang Seong; Pengarah DBP Wilayah Utara, YBrs. Encik Sharrul Rizal Hashim; YBhg. Sasterawan Negara (SN) ke-13, Datuk Dr. Zurinah Hassan; dan Ketua Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, YBrs En Wan Nor Azman Zainol @ Abdullah.

Kredit Foto: Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi