Diterbitkan pada 9 Mei 2026, 19:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Seberang Takir – Bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ke-70, program Wacana 70 Tahun DBP bertemakan “Restu Jiwa Pahlawan: Memaknai 70 Tahun Perjuangan DBP” telah diadakan bertempat di Dewan Dato’ Seri Dr. Ahmad Razif, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks Seberang Takir, Terengganu hari ini bagi membincangkan perjuangan bahasa Melayu sebagai asas pembinaan tamadun, jati diri dan identiti bangsa.

Program yang menghimpunkan tetamu kenamaan, guru, pelajar dan masyarakat setempat itu dikendalikan oleh Pengarah Jabatan Penyiaran Kelantan, YBrs. Encik Ivan Toh Swee Ming selaku moderator bersama-sama dengan tiga ahli panel yang berwibawa, iaitu Ahli Lembaga Pengelola, DBP merangkap Presiden Persatuan Linguistik Malaysia (PLM), YBhg. Prof. Dr. Nor Hashimah Jalaluddin; Ahli Lembaga Pengelola, DBP merangkap Pensyarah Fakulti Undang-undang, Universiti Multimedia, YBhg. Prof. Dr. Ramalinggam Rajamanickam; dan Ahli Lembaga Pengelola, DBP merangkap Pegawai Perubatan Hospital Sultanah Nur Zahirah, YBrs. Dr. Ahmad Fadhlil Mohamad Pakarul-Razy.

Pada sesi wacana tersebut, Prof. Dr. Nor Hashimah Jalaluddin menyatakan bahawa masyarakat perlu memahami bahawa bahasa Melayu telah berkembang sebagai bahasa tamadun sejak berabad-abad lamanya dan bukan hanya bermula selepas negara mencapai kemerdekaan.

Beliau menjelaskan bahawa kewujudan Batu Bersurat Terengganu serta kegemilangan kerajaan Johor-Riau-Lingga membuktikan bahawa bahasa Melayu telah lama wujud sebagai bahasa ilmu, undang-undang dan peradaban.

Tegas beliau lagi, bahasa berkembang secara hidup melalui masyarakat, dialek dan budaya penuturnya, bukannya dibentuk secara paksaan.

Bahasa tidak pernah salah kerana berdasarkan kata-kata Noam Chomsky, “native speaker is never wrong,” maknanya bahasa itu hidup bersama-sama dengan masyarakat,” ujar beliau.

Ahli Lembaga Pengelola, DBP merangkap Presiden Persatuan Linguistik Malaysia (PLM), YBhg. Prof. Dr. Nor Hashimah Jalaluddin sedang membentangkan hujahnya semasa program Wacana 70 Tahun DBP yang bertemakan “Restu Jiwa Pahlawan: Memaknai 70 Tahun Perjuangan DBP”.

Pada masa yang sama, beliau memetik pandangan Syed Muhammad Naquib al-Attas bahawa bahasa mempunyai hubungan langsung dengan akal budi dan pemikiran sesuatu bangsa.

Beliau menyeru generasi muda supaya memperbanyak pembacaan bagi memahami perjuangan bahasa dan memperkukuh jati diri bangsa.

Kalau saudara tidak membaca, tidak peduli kepada bahasa sendiri, saudara tidak akan faham tentang perjuangan bahasa,” ujarnya.

Sementara itu, Prof. Dr. Ramalinggam Rajamanickam dalam hujahnya menegaskan bahawa kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah termaktub secara jelas dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, namun isu ini masih terus dipersoalkan sehingga hari ini.

Menurut beliau, isu bahasa kebangsaan tidak sepatutnya diperdebatkan selepas lebih enam dekad negara mencapai kemerdekaan kerana bahasa Melayu merupakan lambang identiti negara dan penyatuan rakyat Malaysia. 

Kalau bunuh manusia, matinya seorang. Kalau bunuh bahasa, matinya satu bangsa,” ujar beliau.

Ahli Lembaga Pengelola, DBP merangkap Pensyarah Fakulti Undang-undang, Universiti Multimedia, YBhg. Prof. Dr. Ramalinggam Rajamanickam ketika menyampaikan hujahnya.

Menurut beliau, bahasa Melayu tidak pernah rendah nilainya, sebaliknya kelemahan terletak pada sikap masyarakat yang gagal membudayakan penggunaan bahasa mereka dalam kehidupan harian.

Dr. Ahmad Fadhlil Mohamad Pakarul-Razy pula melihat sastera sebagai medium penting untuk merawat emosi masyarakat moden yang semakin tertekan dengan kepantasan dunia digital.

Beliau menyatakan bahawa sastera mempunyai hubungan erat dengan fitrah manusia kerana unsur keindahan bahasa telah lama wujud sejak masyarakat terdahulu. 

Sastera memberikan kerehatan daripada kecepatan itu. Apabila masyarakat terlalu penat dengan lambakan maklumat, sastera datang memberikan kelegaan secara emosi dan fikiran, ujarnya.

Menurut beliau, unsur puisi, bahasa puitis dan karya berbentuk emosi masih mendapat tempat dalam kalangan anak muda kerana manusia secara semula jadinya akan tertarik kepada keindahan bahasa yang boleh merehatkan emosi dan memberikan kelembutan jiwa kepada mereka.

Ahli Lembaga Pengelola, DBP merangkap Pegawai Perubatan Hospital Sultanah Nur Zahirah, YBrs. Dr. Ahmad Fadhlil Mohamad Pakarul-Razy semasa memberikan pandangan beliau berkaitan dengan sastera dan generasi kini.

Tambah beliau, perkembangan teknologi tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman kepada sastera, sebaliknya sebagai ruang baharu untuk memperluas karya bahasa dan mendekatkan generasi muda dengan dunia kesusasteraan.

Program Wacana 70 Tahun DBP bertemakan “Restu Jiwa Pahlawan: Memaknai 70 Tahun Perjuangan DBP” ini merupakan antara pengisian bagi Karnival Kembara MADANI dan Lestari Bahasa bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun ke-70 Dewan Bahasa dan Pustaka Peringkat Zon Timur, di Seberang Takir, Terengganu.

Yang turut hadir dalam program tersebut ialah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara (SN) Dato’ Dr. Mohd. Anuar Haji Rethwan; Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, DBP, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa; Pengarah DBP Wilayah Timur, YBrs. Puan Ariza Che Ismail; dan Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembangunan Murid di Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, YBrs. Encik Haji Mohd Zulkafli Jusoh.

Kredit Foto: Syafiq Selamat
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi