Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – “Penggunaan bahasa Melayu yang santun dan berhemah perlu dipupuk bermula dari rumah kerana bahasa mencerminkan keperibadian serta jati diri seseorang.”
Demikian pernyataan oleh wartawan dan penyampai berita TV9, Encik Mas Zharif Zhafri Aziz Desa selaku panel bagi program Bicara Berhikmah: Santun dan Sopan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 yang berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Program yang dikendalikan oleh Pemantun Terbaik Pesta Pantun DBP – Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026, Encik Muhammad Syukri Khairulannuar menegaskan bahawa kesantunan bahasa Melayu perlu dipertahankan kerana merupakan asas kepada pembentukan nilai masyarakat beradab.
Beliau turut menyatakan bahawa penggunaan bahasa yang sopan bukan sahaja mencerminkan pendidikan seseorang, malah turut memberikan kesan terhadap cara individu itu dilihat atau dinilai oleh masyarakat sekeliling.
Beliau juga menekankan bahawa pada era digital hari ini, penggunaan bahasa yang tidak terkawal dalam media sosial semakin membimbangkan.
Menurutnya, budaya penggunaan bahasa kasar, slanga yang berlebihan dan bahasa rojak perlu ditangani agar tidak menjadi norma dalam kalangan generasi muda yang sedang membesar dalam dunia tanpa sempadan ini.
“Pada era digital hari ini, bahasa mudah menjadi kasar apabila tiada kawalan dalam komunikasi media sosial,” ujar beliau.
Sementara itu, Encik Mas Zharif Zhafri Aziz Desa berkongsi pengalaman beliau sebagai wartawan dan penyampai berita yang sering berdepan dengan pelbagai lapisan masyarakat ketika bertugas di lapangan.
Beliau menjelaskan bahawa pemilihan kata yang tepat dan berhemah amat penting dalam memastikan komunikasi berjalan dengan lancar tanpa menyinggung perasaan mana-mana pihak.

Beliau turut menyentuh berkaitan dengan pengalaman bekerja di lapangan yang telah mengajarnya nilai empati dalam berbahasa, khususnya ketika menemu bual individu yang berdepan dengan situasi sukar seperti kehilangan orang tersayang atau tekanan emosi.
Selain itu, beliau turut berkongsi cabaran dunia kewartawanan yang terdedah kepada kritikan dalam media sosial, termasuklah mendapat maklum balas dengan menggunakan bahasa yang kasar dan kecaman melampau daripada pengguna.
Situasi ini, menurutnya, boleh memberikan kesan kepada kesihatan mental serta mencerminkan tahap kesantunan masyarakat dalam berkomunikasi secara digital.
“Bahasa yang baik mampu mencerminkan keperibadian seseorang, manakala penggunaan bahasa kasar boleh memberikan persepsi negatif terhadap diri individu tersebut,” ujar beliau.
Beliau juga menegaskan bahawa penggunaan bahasa Melayu yang baik bukan sahaja memudahkan penyampaian maklumat, tetapi dapat membantu membina hubungan yang lebih harmoni antara individu dalam pelbagai situasi sosial dengan golongan profesional.
Menurutnya, kesantunan bahasa perlu bermula dari rumah, iaitu melalui didikan ibu bapa serta amalan membaca yang konsisten agar anak-anak lebih terdedah kepada penggunaan bahasa yang betul bermula dari kecil.
“Pendidikan bahasa tidak hanya berlaku di sekolah, tetapi bermula dari rumah melalui komunikasi harian yang santun dan berhemah,” ujar beliau.
Perkara ini penting bagi membentuk generasi yang lebih yakin dan beradab semasa berkomunikasi.

Akhir sekali, beliau menegaskan bahawa bahasa Melayu perlu terus dimartabatkan sebagai lambang perpaduan dan identiti bangsa, dengan sokongan semua pihak termasuklah keluarga, institusi pendidikan serta masyarakat secara keseluruhan.
Yang turut hadir ialah Ketua Editor Bahagian Majalah DBP, YBrs. Dr. Rosmani Omar; Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP, Puan Roziah Md Yunus; dan Pengurus Besar Bahagian Pemasaran dan Pengedaran DBP, Puan Faizah Hashim.