Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pendekatan pembelajaran bahasa Melayu secara digital dan interaktif menerusi Kuiz Kahoot BITASUWA berjaya menarik perhatian lebih 100 pengunjung sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 sekali gus membuktikan bahawa aktiviti kebahasaan mampu disampaikan secara kreatif, moden dan menyeronokkan.
Program anjuran Bahagian Penyelidikan Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu berlangsung dari jam 6.00 petang hingga 7.30 malam di reruai DBP, Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.
Program tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan penggunaan bahasa Melayu yang betul dan berkesan di samping memperkukuh kedudukan bahasa kebangsaan sebagai wahana ilmu, komunikasi dan pembinaan jati diri negara.
Melalui penggunaan platform Kahoot!, peserta berpeluang menguji serta memperkukuh penguasaan bahasa Melayu dalam suasana santai, kreatif dan interaktif.
Pendekatan pembelajaran berasaskan permainan (game-based learning) yang digunakan turut membuktikan bahawa aktiviti kebahasaan mampu disampaikan secara moden serta relevan dengan perkembangan teknologi semasa.
Suasana di reruai DBP sepanjang program berlangsung amat meriah dengan kehadiran pengunjung daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang.
Peserta yang terdiri daripada murid sekolah hingga golongan dewasa menunjukkan semangat yang tinggi ketika bersaing menjawab soalan kuiz berkaitan dengan bahasa Melayu yang dipaparkan secara langsung melalui aplikasi Kahoot!.
Setiap soalan diberikan had masa tertentu bagi menguji ketepatan, kepantasan berfikir dan penguasaan bahasa peserta.

Bagi meningkatkan lagi tahap cabaran dan pelibatan peserta, kuiz interaktif tersebut dilaksanakan menerusi lima pusingan yang mengandungi pelbagai soalan berkaitan dengan bahasa Melayu.
Sorakan dan keterujaan peserta sepanjang sesi kuiz berlangsung turut menghangatkan suasana sekali gus menjadikan aktiviti tersebut antara tarikan utama di reruai DBP.
Sebagai tanda penghargaan atas penyertaan, lima peserta terbaik bagi setiap pusingan menerima cenderamata berupa produk terbitan DBP.
Sambutan yang diterima jelas mencerminkan minat masyarakat terhadap aktiviti kebahasaan yang disampaikan secara kreatif dan inovatif.
DBP berharap agar program seumpama ini dapat terus diperluas sebagai usaha berterusan untuk menyemarakkan penggunaan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian serta memperkukuh penguasaan bahasa kebangsaan dalam kalangan masyarakat.
Program tersebut turut dihadiri oleh Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, Puan Fauzilahyatun Mustafa; Ketua Editor Bahagian Majalah DBP, Puan Rosmani Omar; serta Ketua Bahagian Harta Intelek DBP, Puan Murjana @ Norjanah binti Yusof.