Diterbitkan pada 4 Jun 2026, 22:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Buku Bahasa telah menganjurkan program Wacana Buku Insan Berkeperluan Khas bagi mengupas usaha menggalakkan minat membaca dalam kalangan insan berkeperluan khas bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, tengah hari tadi.

Peserta yang terlibat dalam program Wacana Buku Insan Berkeperluan Khas pada tengah hari tadi.

Program Wacana Buku Insan Berkeperluan Khas ini menampilkan tiga orang ahli panel yang pakar dalam bidang masing-masing, iaitu Pengarah Eksekutif, Akademi Minda Kreatif, YBrs. Dr. Abdullah Yusoff; Ketua Jabatan Kejuruteraan Perisian dan Sistem Maklumat, Universiti Putra Malaysia (Penyelidik Teknologi Inklusif), YBrs. Prof. Madya Ts. Dr. Novia Indriaty Admodisastro; Pakar Terapi Pertuturan, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), YBrs. Puan Sherin Sokmum; Penyampai Radio BERNAMA, YBrs. Encik Muhammad Arif Che Soh selaku moderator; dan penterjemah bahasa isyarat, YBrs. Puan Azlina Mohamed Isa.

Ahli panel pertama, YBrs. Dr. Abdullah Yusoff ketika menjelaskan tentang insan yang mempunyai ketidakupayaan pendengaran atau pekak.

Menurut Pengarah Eksekutif, Akademi Minda Kreatif, YBrs. Dr. Abdullah Yusoff, insan berkeperluan khas merupakan sekumpulan kanak-kanak yang memerlukan bantuan khas bagi membolehkan mereka belajar seperti kanak-kanak biasa.

Apabila kita menyebut kanak-kanak berkeperluan khas, kita merujuk kanak-kanak yang dari segi pendidikannya mereka tidak dapat belajar sebagaimana kanak-kanak biasa belajar.

Sehubungan itu, beliau mengambil inisiatif dengan menulis sebanyak tujuh buah buku Siri Cerita Keluarga Bahagia yang bertujuan untuk memupuk tabiat membaca dalam kalangan kanak-kanak berkeperluan khas.

Yang menariknya, buku ini ditulis dengan memasukkan bahasa isyarat orang pekak bagi membolehkan kanak-kanak pekak juga membacanya.

Di samping itu, kanak-kanak normal juga mampu mempelajari bahasa orang pekak dan menggunakannya pada situasi tertentu apabila diperlukan.

YBrs. Prof. Madya Ts. Dr. Novia Indriaty Admodisastro ketika menjelaskan tentang kanak-kanak yang mempunyai masalah disleksia.

Selain itu, Ketua Jabatan Kejuruteraan Perisian dan Sistem Maklumat, Universiti Putra Malaysia (Penyelidik Teknologi Inklusif), YBrs. Prof. Madya Ts. Dr. Novia Indriaty Admodisastro yang pakar dalam bidang disleksia menjelaskan bahawa disleksia merupakan gangguan pembelajaran neurologi yang menyukarkan seseorang untuk membaca, mengeja dan menulis.

Oleh itu, YBrs. Prof. Madya Ts. Dr. Novia Indriaty bersama-sama tiga orang rakan penulis, iaitu YBrs. Ts. Dr. Siti Suhaila Abdul Hamid, YBrs. Ts. Siti Normaziah Ihsan dan YBrs. Ts. Dr. Siti Nurliana Jamali telah menghasilkan 10 buah buku Siri Didik Belajar yang mengisahkan tentang kehidupan dan perjalanan pembelajaran seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun bernama Nana yang menghidap disleksia.

Siri ini disusun secara sistematik berdasarkan perkembangan kemahiran fonik dan pembinaan suku kata yang sesuai untuk kanak-kanak disleksia. Dengan penggunaan bahasa yang mudah dan ilustrasi yang menarik, siri ini bermanfaat sebagai bahan bacaan inklusif yang dapat membantu proses pembelajaran literasi secara menyeronokkan, berkesan dan bermakna.

Ahli panel ketiga dalam program Wacana Buku Insan Berkeperluan Khas, Puan Sherin Sokmum ketika menyampaikan pandangan beliau dalam Wacana Buku Insan Berkeperluan Khas di reruai DBP.

Seterusnya, menurut ahli panel ketiga, iaitu Pakar Terapi Pertuturan, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, UKM, Puan Sherin Sokmum, ibu bapa perlu memainkan peranan dengan melakukan aktiviti bersama-sama anak-anak bagi membantu anak-anak tersebut untuk bertutur.

Jelas beliau,

Saya sangat menggalakkan permainan orang (people game) seperti bermain kejar-kejar bersama-sama anak dan sambil bernyanyi kerana melaluinya nyanyian itu akan adanya kosa kata.

Menerusi buku 99 Tip Santuni Anak, YBrs. Puan Sherin Sokmum menyatakan bahawa buku ini boleh dijadikan sebagai panduan oleh ibu bapa untuk mendidik anak-anak dengan cara yang efektif dan penuh kasih sayang, khususnya bagi anak-anak autisme.

Barisan tetamu kehormat, tetamu jemputan dan peserta yang mengikuti program Wacana Buku Insan Berkeperluan Khas, hari ini.

Buku yang bermanfaat ini menggabungkan pengalamannya sebagai seorang ibu dan ahli terapi pertuturan bahasa dengan menawarkan tip yang praktikal dan relevan untuk menghadapi cabaran bagi mendidik anak-anak pada zaman teknologi.

Selain itu, buku ini menampilkan 99 tip sebagai pendekatan yang holistik dan berfokuskan pembangunan positif serta menekankan perihal strategi interaksi berkesan bagi menyantuni anak mereka, terutamanya anak yang berkeperluan khas atau inklusif.

Yang turut hadir dalam sesi wacana tersebut ialah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan; Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa; Ketua Editor Bahagian Majalah, YBrs. Dr. Rosmani Omar; dan Ketua Editor Bahagian Buku Bahasa, YBrs. Puan Noraini Abd Shukor.

Kredit Foto: HANAFI MOHD YUSOF
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi