Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerima kunjungan rasmi daripada sekumpulan pelajar antarabangsa yang mengikuti Kursus Intensif Keterampilan Bahasa Melayu (KIKBM) anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh pemahaman mereka terhadap bahasa, budaya dan sistem tadbir urus Malaysia, hari ini.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Yang Berhormat (YB) Datuk Hajah Aiman Athirah binti Sabu dalam ucapan perasmian berkata, penguasaan sesuatu bahasa bukan sekadar tentang komunikasi, sebaliknya membuka ruang untuk memahami cara berfikir, nilai dan budaya masyarakat yang menuturkannya.
Bahasa merupakan cerminan identiti dan peradaban sesebuah bangsa dan melalui Pengajian Bahasa Melayu, pelajar bukan sahaja mempelajari bahasa, malah berpeluang memahami sejarah, nilai, budaya dan cara hidup masyarakat Malaysia yang membentuk jati diri negara ini.
Pelajar tersebut terdiri daripada peserta program dwiijazah melibatkan Kyunghee University, Seoul, Republik Korea dan National Research University Higher School of Economics, Moscow, Rusia.

YB Datuk Hajah Aiman Athirah turut menegaskan bahawa lawatan tersebut dapat memberikan peluang kepada pelajar untuk melihat secara langsung hubungan bahasa, budaya dan sistem tadbir urus awam dalam kehidupan masyarakat.
Tambah beliau lagi, KPKT memainkan peranan penting dalam aspek perumahan, kesejahteraan komuniti dan kerajaan tempatan, sekali gus menjadi antara institusi yang paling dekat dengan kehidupan harian rakyat serta pelaksanaan dasar kerajaan pada peringkat akar umbi.
Program lawatan rasmi sehari ini merangkumi sesi taklimat korporat tentang fungsi dan peranan KPKT, di samping pendedahan berkaitan dengan pengurusan kerajaan tempatan dan penyampaian perkhidmatan awam.
“Peserta turut dibawa melawat ke beberapa lokasi strategik, termasuk Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) serta Lokasi eko-pelancongan seperti HL Dragon Fruit Ecofarm, Jeti Sirip Biru dan Pantai Bagan Lalang,” tambahnya.
KPKT menzahirkan harapan agar program seperti ini dapat memperkukuh hubungan persahabatan antara Malaysia dengan komuniti antarabangsa, selain memberikan pengalaman bermakna kepada para peserta untuk mengenali Malaysia dengan lebih dekat.
Program seumpama ini juga mencerminkan peranan bahasa Melayu sebagai medium yang menghubungkan masyarakat pelbagai latar belakang, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai keterangkuman, persefahaman dan kerjasama global.