Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Kuching – Sasterawan Negeri Sarawak ke-3, YBhg. Datu Dr. Haji Adi Badiozaman Tuah yang mempunyai pengalaman sebagai pendidik selama 34 tahun berkongsi tiga peristiwa penting yang dilihat mempengaruhi penggunaan bahasa Melayu dalam masyarakat pelbagai kaum di Sarawak.

Menurut beliau, peristiwa pertama ialah penyertaan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia pada tahun 1963 yang membuka ruang terhadap kesinambungan kedudukan bahasa Melayu yang telah digunakan sejak zaman Kesultanan Brunei dan diteruskan pada era pemerintahan Brooke serta pentadbiran kolonial.
“Penyertaan Sarawak dalam Malaysia memungkinkan tradisi penggunaan bahasa Melayu diteruskan pada tahap yang lebih tinggi dan lebih tersusun dalam kehidupan masyarakat serta pentadbiran negeri,” katanya selaku ahli panel dalam program Wacana Bahasa Jiwa Bangsa bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Dewan Bahasa dan Pustaka ke-70 yang dikendalikan oleh Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, YBrs. Encik Abang Haliman Abang Julai sebagai moderator di Hotel Pullman, Kuching, pagi tadi.

Beliau menjelaskan bahawa perkembangan kedua yang signifikan ialah pelaksanaan Akta Pelajaran 1961 di Sarawak yang membawa perubahan besar terhadap sistem pendidikan apabila bahasa Melayu standard dijadikan bahasa pengantar utama bagi menggantikan pelbagai bahasa vernakular yang digunakan sebelum itu.
Menurutnya lagi, bagi memastikan pelaksanaan dasar tersebut berjalan lancar, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak mengambil beberapa langkah strategik seperti mengambil pengajar bahasa Melayu dari Semenanjung Malaysia untuk berkhidmat di sekolah luar bandar, memperkenalkan Kursus Intensif Bahasa Melayu (KIBM) untuk guru tempatan, menubuhkan Unit Bahasa Melayu di Pejabat Ketua Menteri serta melatih bakal guru bahasa Melayu di maktab perguruan.
Selain itu, guru subjek Sains dan Matematik dari Indonesia turut dibawa masuk bagi membantu proses peralihan penggunaan bahasa Melayu dalam pengajaran mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik, di samping penggunaan buku teks dan bahan pengajaran dalam bahasa Melayu yang dibekalkan dari Semenanjung Malaysia.
Beliau turut menerangkan manfaat penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak pada tahun 1977 yang mengambil alih peranan Borneo Literature Bureau merupakan peristiwa ketiga yang memperkukuh kedudukan bahasa Melayu di negeri ini.
“DBP Cawangan Sarawak bersama-sama persatuan penulis seperti Angkatan Sasterawan Sarawak, Persatuan Bahasa dan Sastera Sarawak dan Gabungan Persatuan Penulis Sarawak telah membantu membina ekosistem bahasa Melayu yang lebih kukuh melalui penerbitan, penulisan kreatif dan kegiatan kesusasteraan,” ujarnya.
Tambah beliau, hasil gabungan dasar pendidikan, peranan DBP dan pelibatan badan bukan kerajaan telah berjaya menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan yang diterima oleh masyarakat pelbagai kaum di Sarawak.
Menurutnya, Sarawak memiliki landskap linguistik yang unik apabila bahasa etnik seperti Vaie, Kelabit, Lun Bawang, Iban dan Melanau terus digunakan sebagai bahasa identiti dalam komuniti masing-masing.
“Bahasa atau dialek setempat, bahasa Melayu dan bahasa Inggeris saling melengkapi antara satu sama lain. Ketiga-tiganya digunakan untuk menyatukan masyarakat Sarawak, memperkukuh semangat kenegaraan dan pada masa yang sama memastikan kita kekal relevan sebagai warga dunia,” katanya.
