Diterbitkan pada 23 Jun 2026, 12:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Dua puluh empat tahun yang lalu, Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Hamzah Md. Sidek memberikan satu tugasan khas kepada penulis yang pada ketika itu merupakan Penolong Pengarang Berita. Penulis diminta untuk menyediakan satu garis panduan  empat halaman yang boleh digunakan sebagai nota gaya tulisan penerbitan produk Kumpulan Utusan, terutama bagi wartawan Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.

Selepas membuat sedikit penyelidikan yang diperlukan, penulis memberitahu Hamzah Md. Sidek yang telah meninggal dunia pada Mac lalu ketika berusia 76 tahun bahawa garis panduan yang dimaksudkan tidak akan lengkap jika hanya empat halaman. Hal ini kerana amalan dan tugasan kewartawanan memerlukan ruang yang menyeluruh. Beliau memberikan “lampu hijau” terhadap permintaan penulis pada waktu itu. Bilangan halaman meningkat kepada 20 halaman, kemudian menjadi 50 halaman dan akhirnya mencecah 100 halaman. Akhirnya kami memutuskan untuk menerbitkannya sebagai sebuah buku khusus dengan judul Panduan Ejaan dan Gaya Penulisan Utusan. Buku tersebut merupakan buku panduan pertama diterbitkan yang sebelumnya tiada penerbitan seumpamanya oleh mana-mana organisasi media di Malaysia.

Penulis bersama-sama dua karya hasil sentuhannya dengan menjadikan Gaya Dewan dan Kamus Dewan sebagai panduan.

Organisasi berita asing seperti Agence France-Presse (AFP) dan Associated Press (AP) mempunyai buku panduan gaya penulisan mereka yang tersendiri  yang dijadikan rujukan oleh wartawan di seluruh dunia. Di Malaysia, Kumpulan Utusan merupakan syarikat sulung yang mengambil langkah sedemikian. Usaha itu sememangnya menjadi suatu detik bersejarah bagi Kumpulan Utusan dan penulis sendiri khususnya.

Sehingga kini, buku seumpama itu masih dicari-cari oleh wartawan yang mengetahui akan kewujudannya kerana banyak membantu sebagai rujukan tugas seharian mereka. Penulis sangat  berbangga kerana terlibat secara langsung dalam penerbitan buku tersebut. Buku itu mirip buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), iaitu Gaya Dewan, tetapi lebih menjurus terhadap perkara yang berkaitan dengan penulisan kewartawanan. Gaya Dewan menjadi “rakan sejati” penulis sejak mengikuti pengajian tinggi sehingga kini. Penulis sentiasa menjadikannya sebagai rujukan dan akan memperkenalkan buku tersebut kepada mereka yang memerlukannya dalam penulisan dan penerbitan mereka.

Selain bahan terbitan wartawan Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia yang menyenaraikan aspek yang boleh dan tidak boleh, penulis juga memuatkan aspek bahasa dan tatabahasa yang harus diberi keutamaan oleh para wartawan dan hal ini banyak dibantu serta dipandu oleh buku-buku terbitan DBP.

Pada hakikatnya, keupayaan menguasai bahasa dalam pelbagai segi merupakan satu komponen penting dalam bidang kewartawanan. Kita tidak mampu menghasilkan penulisan yang padu, berkualiti dan lengkap jika gagal menguasai bahasa. Dalam soal ini, produk DBP telah membantu penulis dan penulis amat yakin bahawa majoriti wartawan akan bersetuju dengan pandangan ini.

Wartawan dan Kamus Dewan

Penulis juga berasa bangga kerana menjadi wartawan pertama di Kumpulan Utusan yang membeli dan menggunakan Kamus Dewan Edisi Keempat yang diterbitkan pada tahun 2005. Penulis kemudiannya mengesyorkan kepada pihak pengurusan kanan syarikat supaya mendapatkan beberapa naskhah Kamus Dewan untuk kegunaan bahagian editorial Kumpulan Utusan.

Terdapat suatu pengalaman yang penulis masih ingat sehingga hari ini, iaitu apabila penulis sendiri menghubungi DBP untuk mengetahui akan “kehilangan” beberapa perkataan dan kemasukan sejumlah entri yang pernah menjadi polemik perbahasan di Dewan Rakyat beberapa tahun sebelum itu, iaitu ketika Allahyarham Datuk Badrul Hisham Abdul Aziz menjadi Ahli Parlimen. Beliau juga merupakan seorang Penolong Pengarang Berita sebelum menjadi calon pilihan raya umum. Allahyarham dan beberapa anggota Dewan Rakyat membangkitkan tentang penggunaan perkataan “ori”, iaitu singkatan bagi perkataan “original” yang popular dalam kalangan rakyat ketika itu. Kamus Dewan Edisi Keempat turut menyenaraikan perkataan “ori”, tetapi merujuk pada bahasa percakapan, bukannya bahasa rasmi tulisan. Penulis berbuat demikian kerana semangat cinta akan bahasa kebangsaan yang terus berkembang dan dinamik. Penulis juga mahu memastikan hal tersebut kekal signifikan. Penulis tidak ingat akan jumlah perkataan bahasa yang dimasukkan ke dalam Kamus Dewan Edisi Keempat. Carian yang dibuat oleh penulis menunjukkan Kamus Dewan terbitan tahun 2005 memaparkan sekitar 82,900 kata masukan (34,578 entri, 24,180 subentri, dan 24,142 frasa entri). Sebanyak 5843 kata masukan baharu yang merupakan kata umum pelbagai bidang dan ilmu. Kamus Dewan terbitan tahun 2005 ini juga lebih tebal berbanding dengan edisi yang sebelumnya.

DBP juga telah menyajikan sumbangan yang tinggi nilainya dan padu dalam memperkaya perbendaharaan kata dalam diri penulis. Hal ini senantiasa membantu dan menjadi tiang sokongan dalam tugas kepengarangan penulis sepanjang lebih empat dekad lalu. Kekuatan seseorang penulis juga dicerminkan menerusi usaha mereka memperkenalkan perkataan yang baharu dalam penulisan mereka. Menurut rinsip penulis, ada kalanya menampilkan kelainan itu perlu. Hal ini dikatakan demikian kerana kebanyakan sasterawan dan pengarang berupaya memikat atau menawan pembaca dan kekal segar dalam minda pembaca melalui karya mereka.

Sebagai contoh dalam buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir yang ditukangi oleh penulis bersama-sama mantan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman, penulis menggunakan istilah “sekelebat” bagi menggantikan perkataan “selayang pandang”, “sekali imbas”, dan “sepintas lalu”. Penggunaan istilah ini telah dibantu oleh Kamus Dewan Perdana yang hampir lima kali ganda tebal atau berat berbanding dengan Kamus Dewan Edisi Keempat. Perkara inilah yang dikatakan bahawa DBP memberikan sumbangan besar kepada diri penulis.

Koleksi Kamus Dewan Edisi Keempat terbitan DBP.

Mengikut laporan media baru-baru ini, DBP yang telah mencecah usia tujuh dekad telah berjaya menerbitkan sebanyak 771 judul buku bahasa Melayu pelbagai bidang dan genre melalui Dana Penerbitan Inisiatif Buku Negara (PIBN) dengan jumlah kos kira-kira RM7 juta. Bagi pandangan peribadi penulis, dari segi jumlah penerbitannya yang sebenar,  sudah ribuan buku merangkumi keperluan pelbagai generasi sehingga kini telah memasuki pasaran dan menjadi rujukan jutaan rakyat Malaysia, malah luar negara.

Menurut Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari, untuk tahun ini sahaja, sebanyak 80 judul buku sudah diluluskan pembiayaannya dengan jumlah dana kira-kira RM600,000.00. Ramai wartawan dan penulis juga mendapat manfaat daripada dana ini. Salah seorang daripadanya ialah wartawan veteran dan mantan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Dr. Chamil Wariya yang seringkali berkongsi pengalaman beliau dengan penulis.

Perkembangan ini secara langsung menunjukkan bahawa sejak penubuhannya pada tahun 1956, DBP telah menjadi institusi utama dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa ilmu, dan bahasa komunikasi rasmi negara. Perjuangan DBP bukan sahaja terbatas dari aspek kebahasaan semata-mata, tetapi turut merangkumi peranan dalam dunia media yang semakin kompleks dan digital.

Daripada sudut kebahasaan, DBP telah mengukir sejarah tersendiri dalam usaha memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. DBP berjuang memastikan bahasa Melayu terus berfungsi sebagai lambang identiti nasional. Usaha ini dilaksanakan melalui penyediaan istilah baharu, penerbitan kamus, serta penyelarasan tatabahasa yang seragam untuk kegunaan rasmi dan akademik.

Dalam menghadapi cabaran teknologi, DBP juga berjaya membangunkan pangkalan data linguistik, aplikasi tatabahasa digital, dan integrasi bahasa Melayu dalam sistem kecerdasan buatan atau dikenali sebagai artificial intelligence (AI), carian Internet, serta platform global. Malah, DBP terus memperkukuh kesantunan dan kualiti bahasa kebangsaan dengan menekankan penggunaan bahasa yang betul dan santun dalam komunikasi rasmi serta pendidikan. Tidak dapat dinafikan bahawa hal ini penting bagi mengekang pencemaran bahasa akibat pengaruh slanga media sosial dan penggunaan bahasa asing yang berlebihan.

Satu lagi aspek yang ditekankan oleh DBP ialah pemeliharaan kesusasteraan Melayu. DBP turut berperanan mengangkat karya sastera yang bermutu agar tidak tenggelam dalam arus penerbitan komersial. Berdasarkan pengalaman penulis sebagai pengarang, kegiatan penerbitan, pertandingan penulisan, dan sokongan kepada pengarang muda menjadi sebahagian daripada perjuangan DBP bagi perkara tersebut.

Sementara itu, dalam aspek media pula, DBP telah beralih daripada penerbitan bercetak kepada e-buku, portal digital, dan aplikasi bacaan. Langkah ini amat penting dan signifikan untuk menarik minat generasi muda serta memastikan bahasa Melayu kekal relevan dalam ekosistem penerbitan global, dan sebagaimana telah disebutkan tadi, DBP terus menjadi rujukan utama bagi media arus perdana bagi memastikan penggunaan bahasa Melayu yang tepat, berwibawa, dan berkesan. DBP turut menyediakan panduan bahasa untuk wartawan, editor, dan penerbit. Untuk kekal relevan, DBP juga kekal aktif menggunakan media sosial sebagai medium penyebaran mesej kebahasaan dan kesusasteraan. Perjuangan ini bukan sekadar untuk mengawal bahasa, tetapi juga membina citra bahasa Melayu sebagai moden, dinamik, dan global.

Selain itu, DBP berusaha membina jaringan dengan stesen televisyen, radio, portal berita dan penerbit digital bagi memperluas penggunaan bahasa Melayu dalam wacana antarabangsa.

Dari sudut sumbangan terhadap pengembangan dan pembangunan bahasa (kesemua aspek yang berkaitan) DBP memainkan peranan yang besar dan luas. Pun begitu, timbul pula persoalan sama ada sumbangan tersebut sudah memadai atau sebaliknya. Hal ini bergantung pada perspektif semasa, khususnya pada era digital dan globalisasi. Penulis melihat DBP telah berjaya mencipta suatu identiti yang kukuh untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang utuh selepas merdeka. Hal ini merangkumi segala program atau usaha yang dilaksanakan termasuklah pembakuan ejaan, pembentukan istilah, dan penyelarasan tatabahasa telah memberikan keseragaman dalam bidang pendidikan, pentadbiran, dan media. DBP juga menjadi penerbit utama karya ilmiah, kamus, dan kesusasteraan yang membentuk khazanah bahasa Melayu, di samping menyokong sekolah, universiti, dan institusi dengan bahan rujukan berbahasa Melayu yang berkualiti.

Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Akta 32) ialah undang-undang utama Malaysia yang menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan untuk semua maksud rasmi, dengan perlindungan tertentu bagi bahasa lain mengikut Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan. Kerangka undang-undang ini telah menjadi panduan dan asas bagi DBP, serta telah melalui proses pindaan beberapa kali demi memartabatkan bahasa kebangsaan dalam kesemua aspek kehidupan rakyat Malaysia.

DBP dan Cabaran yang Dihadapi

Penulis melihat bahawa seperti mana-mana agensi, organisasi atau badan yang diberikan tanggungjawab terhadap pengembangan, pengukuhan dan pemartabatan bahasa kebangsaan, DBP turut berhadapan dengan cabaran, terutama dalam penguasaan digital, mengimbangani pengaruh media sosial, persaingan penerbitan untuk menguasai pasaran digital dan impak globalisasi bahasa. Demi memartabatkan bahasa kebangsaan, penulis berasa amat yakin bahawa DBP akan menguasai ruang digital melalui AI, aplikasi, dan media sosial; memperkukuh kesantunan bahasa dalam masyarakat; membangunkan ekosistem media Melayu yang berdaya saing; dan meningkatkan jaringan antarabangsa agar bahasa Melayu diiktiraf sebagai bahasa ilmu dan diplomasi. Usaha ini dapat dilakukan secara konsisten dan menyeluruh.

Berbekalkan pengalaman sejak dari bangku sekolah sehingga kini, penulis yakin bahawa perjuangan DBP dari aspek kebahasaan akan berterusan untuk memastikan bahasa Melayu kekal hidup, berkembang, dan relevan seiring dengan ekosistem semasa, manakala dari aspek media DBP secara tekal memastikan bahasa Melayu digunakan secara bermutu dalam penerbitan dan  kewartawanan.

Perjalanan tujuh dekad ini menjadi bukti kukuh bahawa DBP dan rakyat sebagai pelanggan atau pengguna dalam aspek kebahasaan dan media tidak boleh dipisahkan. Kedua-duanya perlu saling menyokong bagi mengekalkan asas yang kukuh untuk lebih tekal dan relevan seiring dengan peralihan zaman.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi