Oleh Abd. Razak Osman
5 Februari 2023, 18:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Sungai Petani – Bersempena dengan hari ini yang merupakan hari terakhir perayaan Tahun Baharu Cina di negara ini, Kelab Mandarin Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kedah, berjaya menerbitkan video pendek yang berjudul Happy Chap Goh Meh.

Video tersebut dihasilkan secara kerjasama antara Kelab Mandarin UiTM, Kedah, di bawah bimbingan dua orang penasihat kelab itu, iaitu Lee Chai Chuen dan Dr. Nor Azrina Mohd Yusof dengan kerjasama Persatuan Kebudayaan Cina Malaysia, Cawangan Kedah (MCCS).

Pengerusi kelab itu, Aidil Haziq Zulkifly berkata, bersempena dengan tarikh tersebut, beliau dan setiausaha kelab, Nur Saffiya Azni menjadi pelakon utama video pada hari ini, 5 Februari 2023, bersamaan 15 haribulan 1 Kalendar Cina kerana hari ini ialah hari terakhir perayaan Tahun Baharu Cina.

Kelab Mandarin UiTM, Kedah, yang melibatkan banyak pelajar Melayu, akhirnya berjaya menerbitkan sebuah video pendek bertajuk Happy Chap Goh Meh. Di samping itu, kelab kami juga pernah mempersembahkan bendera yang berwarna-warni dengan warna kebudayaan Cina ketika persembahan tarian pentas, tarian sapu tangan, tarian reben, tarian singa, dan menyanyikan lagu-lagu Tahun Baharu Cina di kawasan mural di Jalan Dewa, Sungai Petani dan lain-lain.

Menurutnya lagi, banyak aktiviti kebudayaan Cina telah dipelajari oleh ahli kelab tersebut termasuklah tradisi masyarakat Cina di Malaysia, iaitu cara membaling buah limau ke dalam sungai dengan harapan mendapat jodoh yang baik.

Video pendek itu turut memaparkan beberapa aktiviti kebudayaan yang pernah dianjurkan oleh Kelab Mandarin UiTM sepanjang beberapa tahun lepas, termasuklah pelajar dan pensyarah yang menulis tulisan kaligrafi, tarian kipas yang berlatarbelakang sawah dan di lokasi Jambatan Semeling.

Dr. Nor Azrina Mohd Yusoff dan Lee Chai Chuen sentiasa memberikan kerjasama semasa menjayakan video Itu.

Sementara itu, Rektor UiTM Kedah, iaitu Prof. Dr. Roshima Said pula berkata, beliau berasa sangat gembira kerana Kelab Mandarin UiTM terus melakukan pelbagai aktiviti menarik tanpa jemu dan bosan melalui pelbagai aktiviti kebudayaan dan kesenian masyarakat Cina.

Usaha yang dilakukan oleh Kelab Mandarin itu diharapkan dapat memberikan pelbagai kebaikan dalam menjayakan konsep Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri, YAB Datuk Sri Anwar Ibrahim ke arah perpaduan dan muhibah dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Terima kasih kepada semua pihak kerana memberikan kerjasama bagi menerbitkan video ini, terutamanya dua orang penasihat Kelab Mandarin dan pelajar Kelab Mandarin kerana berjaya menghasilkan video pendek ini.

Tambah beliau lagi, apabila aktiviti seumpama ini terus diberi perhatian, semua etnik di Malaysia akan saling menghormati tanpa mengira kaum dan bekerjasama ke arah mewujudkan sebuah negara yang aman dan damai setelah menyaksikan video pendek tersebut.

Aidil Haziq Zulkifly (kanan) dan Nur Saffiya Azni (kiri) bersama-sama seorang lagi pelakon video itu, Putri Nur Erinna Amir.

Video boleh ditonton melalui pautan https://www.youtube.com/watch?v=WFq4XUtB0QE

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.