22 Mac 2023, 16:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Johor Bahru – Sebanyak 92 orang guru pelatih telah mengikuti Program Suluh Ilmu: Perkamusan dan Peristilahan Melayu, yang disampaikan oleh dua orang pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Institut Pendidikan Guru Kampus Temenggong Ibrahim (IPGKTI) pada 21 Mac 2023. Program tersebut diadakan sebagai nilai tambah kepada para peserta dalam meningkatkan ilmu tentang perkamusan dan peristilahan.

Sesi perkongsian ilmu tersebut disampaikan oleh YBrs. Dr. Rusmadi Baharudin, Ketua Bahagian Perkamusan dan Encik Mohd Fadzli Tajuid, Ketua Bahagian Peristilahan dan Leksikologi. Selain pensyarah dari Jabatan Pengajian Melayu, IPGKTI, Pengarah DBP Wilayah Selatan, iaitu Encik Mohd Riduan Wahab turut hadir bagi menyokong program tersebut.

Menurut YBrs Dr. Rusmadi, dalam bidang perkamusan, entri disusun mengikut kronologi.

Jika muncul satu makna baharu bagi perkataan yang sama ejaan dan sebutan dengan perkataan sedia ada, maka makna perkataan itu akan ditambahkan ke dalam entri mengikut urutan. Kamus tidak mengubah kedudukan perkataan yang dirakamkan terdahulu tetapi menambah makna baharu.

Sementara itu, Encik Mohd Fadzli pula menjelaskan bahawa dalam bidang peristilahan, sesuatu istilah itu diangkat setelah mendapat persetujuan daripada jawatankuasa yang terlibat. Beliau turut membimbing para pelajar tentang penggunaan Pusat Rujukan Perpustakaan Melayu (PRPM), selain mencari makna perkataan.

Menurut seorang peserta, iaitu Puan Norasikin Muhammad Shariff, program ini mampu menjadi nilai tambah kepadanya tentang subjek perkamusan.

Saya mendapat maklumat daripada sumber asli tentang cara penyusunan kamus yang lebih terperinci dan berperingkat. Saya juga sangat berpuas hati dengan ilmu yang diperoleh pada hari ini.

Seorang lagi peserta, iaitu Leong Hui En menyatakan bahawa program tersebut amat berguna kepadanya khususnya dalam penggubalan istilah. Beliau sedar akan kerumitan untuk mendapatkan satu-satu istilah dan beliau amat menghargai usaha DBP dalam penggubalan istilah.

Bagi Priyatharishini a/p Tamil Vanan, ilmu yang disampaikan oleh kedua-dua penceramah sangat membantunya memahami dengan lanjut mengenai kursus Perkamusan, Peristilahan dan Penterjemahan yang diambilnya pada semester ini.

Program perkamusan dan peristilahan ini dapat menambahkan ilmu pengetahuan saya mengenai cara penyusunan kamus secara kronologi. Saya juga dapat mengetahui jenis kamus yang sesuai digunakan oleh murid sekolah rendah. Dalam hal ini, saya tidak akan mengulangi kesilapan untuk meminta murid membawa Kamus Dewan yang berat kerana mereka lebih sesuai menggunakan Kamus Pelajar.

 

YBrs. Dr. Rusmadi Baharudin, Ketua Bahagian Perkamusan ketika berkongsi ilmu perkamusan.
Encik Mohd Fadzli Tajuid, Ketua Bahagian Peristilahan dan Leksikologi ketika menyampaikan ilmu peristilahan.

Program di bawah penyelarasan YBrs. Dr. Noraisikin Ghazali ini telah berjaya mencapai tujuannya. Para pelajar yang hadir melahirkan rasa bertuah mereka kerana mendapat ilmu secara langsung.

Ketua Jabatan Jabatan Pengajian Melayu, iaitu YBrs. Dr. Mohd. Zain Kosnon menyampaikan cenderamata kepada kedua-dua penceramah.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.