Oleh Sazirah Amran
16 Mac 2021, 11:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Secara umumnya, filem boleh membawa maksud sebagai sebuah hiburan yang ditayangkan dan dipertontonkan kepada seluruh masyarakat di rumah melalui kaca televisyen. Menurut Naim Haji Ahmad, filem juga boleh diertikan sebagai hasil garapan pelbagai seni yang memaparkan cerita dan cerminan budaya masyarakat tertentu; pemikiran dan cetusan perasaan pembikinannya; sebuah cerita tentang kehidupan yang tidak terbatas kepada manusia sahaja, sama ada cerita itu benar, khayalan atau cerita yang telah diubah suai atau dipadankan; dan kesatuan bingkai-bingkai yang telah digarapkan secara harmoni menjadi syot, kesatuan syot menjadi jujuk, kesatuan jujuk menjadi babak dan seterusnya kesatuan babak menjadi sebuah teks atau cerita.

Mansor Ahmad Saman pula menyatakan bahawa industri filem Melayu mula menampakkan tanda perkembangan pada tahun 1960-an, walaupun pada peringkat awal filem Melayu itu bukanlah satu industri yang besar dan meluas. Sejarah telah merekodkan bahawa Eadweard Muybridge, seorang jurugambar British telah menemukan konsep imej bergerak dalam sejarah penghasilan filem. Hal ini dijelaskan oleh Muhammad Hatta Tabut yang menyatakan bahawa jurugambar ini berjaya merakam siri kuda yang sedang berlari.

Malaysia dikatakan telah mengimport lebih 2000 buah filem dari Hollywood, Hong Kong, Indonesia dan negara lain sejak tahun 1970-an. Hal tersebut menyebabkan filem menjadi satu media yang terkenal di Malaysia. Tambahan pula, Malaysia sebuah negara yang memiliki bahasa kebangsaan, iaitu bahasa Melayu, walaupun rakyatnya terdiri daripada pelbagai etnik. Maka itu, tidak hairanlah apabila Malaysia memiliki kepelbagaian bahasa. Namun begitu, jika bahasa dikaitkan dengan penghasilan filem, apakah peranan para penggiat filem di Malaysia dalam mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan?

Abdul Aziz Itar dalam artikelnya yang bertajuk, “Filem, Drama, Penyumbang Bahasa Rojak” menyatakan bahawa tanggungjawab untuk memperkasakan bahasa Melayu bukan sahaja dipegang oleh Dewan Bahasa

Filem cerminan bahasa dan budaya masyarakat.

dan Pustaka (DBP), bahkan oleh penggiat bidang perfileman dan drama televisyen. Oleh hal yang demikian, sejauh manakah bidang ini mampu menjadi wahana yang berpengaruh dalam menyebarluaskan linguistik bahasa Melayu?

Kemampuan bidang perfileman dalam usaha menjadi wahana untuk mempengaruhi kegiatan memperkasakan bahasa adalah sangat proaktif. Hal ini dikatakan demikian kerana filem dapat mengangkat dan memartabatkan bahasa, budaya dan bangsa di Malaysia. Pengukuhan dari segi linguistik dan sosiolinguistik dapat diaplikasikan melalui pemerkasaan bahasa tersebut.

Perkara ini berpunca daripada keupayaan sesebuah dialog yang ditulis oleh seseorang penulis skrip dalam menyampaikan idea dan menggunakan bahasa yang betul. Penulisan tersebut akhirnya memukau mata dan perasaan penonton yang menyelami cerita atau filem tersebut sekali gus dapat menusuk jiwa mereka. Tambahan pula, para penonton dapat memahami dan mendalami cerita melalui lakonan watak yang digunakan hingga menyebabkan dialog tersebut tersimpan dalam memori mereka secara automatik.

Pada masa yang sama, dialog dalam filem yang dipertontonkan kepada masyarakat sekali gus turut menguasai pertuturan harian mereka yang menontonnya. Hal ini dapat dibuktikan melalui ajukan dan penggunaan keratan ayat daripada dialog yang dihasilkan oleh masyarakat yang tidak mengira had umur.

Filem yang menghasilkan cerita menggunakan loghat negeri di Malaysia, antaranya termasuklah loghat Perak, Kelantan, Negeri Sembilan, Sabah, dan sebagainya dapat memberikan pengetahuan kepada penonton tentang kewujudan bahasa (dialek) tersebut. Antara contoh tersebut termasuklah filem Hantu Kak Limah, arahan Mamat Khalid.

Filem komedi seram Malaysia yang berdurasi 115 minit ini diterbitkan pada tahun 2018, kemudiannya dibintangi oleh penyanyi dan pelakon terkenal, iaitu Datuk Awie, Delimawati, Zul Ariffin, Uqasha Senrose, dan lain-lain. Filem ini berkesinambungan daripada filem Hantu Kak Limah Balik Rumah (2010) dan Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit (2013) yang juga diarahkan oleh Mamat Khalid.

Menurut Amirul Haswendy Ashari, wartawan Harian Metro, penggambaran dan latar cerita filem yang dijalankan di Taiping, Perak, pada Oktober 2017 hingga November 2017 itu menjadi bukti penyebaran meluas linguistik dan sosiolinguistik bahasa Melayu (dialek Perak) kerana telah menerima pelbagai ulasan positif daripada penonton. Selain itu, Zainuri Misfar, iaitu wartawan Berita Harian pula menyatakan bahawa filem itu juga telah mencatatkan sejarah dalam industri perfileman tempatan apabila dilaporkan meraih kutipan lebih daripada RM32.5 juta sejak mula ditayangkan (iaitu ketika penerbitan artikel itu dihasilkan, “Hantu Kak Limah Cipta Rekod Kutipan Sukar Ditandingi” pada 28 Ogos 2018.

Melalui filem ini, para penonton dalam kalangan kanak-kanak dan remaja secara tidak langsung dapat menghafal dan mengajuk sesetengah ayat dalam skrip seperti “Kite bako, kite bako” dalam filem tersebut. Hal ini berlaku kerana keunikan bahasa (dialek yang digunakan), sekali gus kehebatan pelakon dalam mencuri hati penonton yang akhirnya berjaya menambat perhatian para penontonnya. Gayatri Su-Lin Pillai dari Infinitus Gold, iaitu penerbit filem Hantu Kak Limah juga berkata, “Ramai yang menonton Hantu Kak Limah berulang kali, malahan komedi dalam filem itu sangat universal bahasanya hingga dapat diterima ramai termasuklah dari Singapura dan Brunei”.

Hal ini bertepatan dengan kenyataan Sabri Yunus, iaitu seorang pelakon dan juga pengarah popular, dalam forum yang bertajuk, “Bahasa dalam Filem: Kreativiti dan Impak kepada Sosial” di Sarang Art Hub, Tanjung Malim, Perak bersempena dengan acara Santai Bahasa anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Sarang Art Hub pada 5 April 2018. Menurutnya, unsur dan nilai budaya dalam latar tempat yang dipilih sebagai lokasi cerita perlu diterapkan agar cerita lebih realistik dan logik. Beliau menyatakan bahawa perkara tersebut mampu mengangkat bahasa (dialek) dan budaya setempat, sekali gus memperkenalkan penonton kepada dialek dan budaya yang ditampilkan.

Dalam acara itu juga, Mamat Khalid berpendapat bahawa sesebuah laras bahasa yang digunakan dalam filem adalah berdasarkan dialog yang relevan dengan penceritaan. Menurut beliau lagi, keberkesanan dialog yang “menjadi” dan memberikan impak kepada masyarakat turut dipengaruhi oleh keberkesanan lontaran vokal dan gaya persembahan pelakon dalam membawa watak dan perwatakan. Beliau turut menyatakan bahawa dialog filem yang paling berkesan hingga ke hari ini ialah dialog yang terdapat dalam filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Hal ini terbukti dengan penerimaan penonton tanpa mengira usia dan kaum masih meminati filem dan lagunya.

Pencampuran kod bahasa dalam filem juga menyebabkan bidang perfileman menjadi wahana penyebaran linguistik bahasa Melayu. Pencampuran kod bahasa boleh didefinisikan sebagai penggunaan atau pengamalan lebih daripada satu bahasa dalam sesebuah pertuturan ketika berkomunikasi. Menurut Hamers dan Blanc, percampuran kod bahasa terbahagi kepada dua bentuk, iaitu inner code mixing (pencampuran kod dalaman) dan outer code mixing (pencampuran kod luaran). Pencampuran kod dalaman ialah percampuran sesebuah dialek dalam pertuturan, manakala percampuran kod luaran ialah percampuran dua jenis bahasa dalam satu pertuturan.

Kewujudan filem yang mencampuradukkan kod bahasa dalam skrip sangat jelas akan menjadi asbab anutan tatabicara kepada para penonton. Sedikit demi sedikit, hal ini akan terbiasa kemudian menjadi kelaziman walaupun dalam situasi atau majlis rasmi yang memerlukan penggunaan bahasa Melayu secara formal. Akibatnya, lidah semakin terbiasa dan petah berbicara dengan mencampurkan kod bahasa dalam pertuturan harian hingga memberikan kesan kepada penutur asal, iaitu kesukaran untuk mencipta ayat bahasa Melayu gramatis, mengingati frasa atau menggunakan satu bahasa sahaja ketika berkomunikasi.

Selain itu, pencampuran kod luaran dalam sesebuah filem semakin menjadikan penutur menghadapi masalah kecelaruan bahasa. Keperluan membendung masalah ini hendaklah dititikberatkan supaya hal ini tidak menjadi kebiasaan dan realiti dalam kehidupan bermasyarakat.

Kesimpulannya, pengarah sesebuah filem hendaklah menitikberatkan penggunaan dan pengamalan bahasa Melayu yang betul dan sesuai dalam filem. Hal ini juga dapat mengelakkan bahasa kebangsaan dianaktirikan di negara sendiri. Tanggungjawab sebagai seorang penulis skrip juga sangat penting. Penulis hendaklah sentiasa peka dalam menghasilkan karya agar dapat melahirkan generasi muda yang tidak tergolong dalam kalangan marhaen yang buta bahasa Melayu dan tidak memiliki kecelaruan identiti, sekali gus menjadikan pertuturan bahasa Melayu sebagai satu kebiasaan dalam aktiviti harian mereka.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi