19 Mac 2021, 11:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Apa guna berkain batik,
Kalau tidak memakai capal;
Apalah guna berbini cantik,
Kalau tak pandai menumbuk sambal.

Pantun klasik di atas telah dikongsikan lebih daripada 8000 kali, mendapat lebih daripada 4000 komen dan mendapat 26 000 tanda suka sejak dimuat naik di laman Facebook Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 15 Oktober 2020. Pantun empat kerat tersebut tular dan mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat tanpa mengenal usia. Bukan sahaja masyarakat awam, serangkap pantun itu juga menarik perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Petaling, Pulau Pinang, Syerleena Abdul Rashid apabila menyifatkan pantun itu bersifat “misogyny”, iaitu berpandangan jelik terhadap wanita yang sangat memualkan dalam Twitter miliknya.

Selain beliau, kebanyakan masyarakat terutamanya kaum wanita turut mengecam dan menyindir pantun tersebut kerana mereka beranggapan bahawa pantun tersebut seolah-olah merendahkan martabat wanita sedangkan pantun merupakan sastera lisan yang penuh dengan simboliknya dalam menyampaikan sesuatu maksud.

Pantun Melayu telah pun wujud sejak 800 tahun yang lampau hasil kajian yang dijalankan oleh Profesor Diraja Ungku Aziz. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, pantun didefinisikan sebagai sejenis puisi lama yang biasanya terdiri daripada empat baris dalam tiap rangkap, iaitu dua baris pertama merupakan pembayang dan selainnya mengandungi maksud. Menurut Pendeta Za‘ba, pantun ialah nama karangan berangkap yang terbahagi kepada dua, iaitu bahagian pertamanya membayangkan maksud dengan isyarat bunyi dan bahagian keduanya mengandungi maksud itu serta berjodoh bunyinya dengan bahagian yang pertama tadi.

Pantun penuh simbolik, iaitu mempunyai maksud tersurat dan tersirat.

Menurut A.H Edrus dalam buku yang dikarang oleh Amat Juhari Moain yang bertajuk Pemilihan Kata dalam Pantun Melayu, pantun ialah karangan berangkap yang betul-betul hak atau kepunyaan orang Melayu. Hal ini demikian kerana pantun merupakan satu bentuk manifestasi masyarakat Melayu untuk mencurahkan hasrat hati, pandangan, nasihat, pengajaran dan sindiran antara satu sama lain. Bahkan, menurut penceramah yang juga Naib Presiden Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental, Ustaz Mohd Noor Derus, salah satu kunci untuk tadabur al-Quran ialah masyarakat perlu lebih dekat dengan sastera Melayu seperti pantun dan syair.

DBP sebagai badan kerajaan yang dipertanggungjawabkan untuk memartabatkan bahasa kebangsaan di negara kita acap kali mengadakan pertandingan mencipta pantun. Namun begitu, sambutannya sekadar dalam lingkungan masyarakat yang sememangnya gemar membaca dan mengikuti laman rasmi Facebook (FB) DBP sahaja. Walau bagaimanapun, sejak tahun ini, usaha untuk memuat naik pantun klasik dan peribahasa Melayu secara berkala dilihat mampu menghidupkan kembali budaya berpantun dalam kehidupan seharian masyarakat kita.

Buktinya, dalam hantaran yang dimuat naik di FB DBP, pelbagai rangkap pantun dicipta oleh pengikut FB itu bagi membalas pantun yang dimuat naik oleh pihak DBP. Hal ini membuktikan seni berpantun masih wujud dalam diri masyarakat Malaysia walaupun tidaklah sebaik penciptaan pantun terdahulu yang penuh dengan mesejnya yang tersurat. Pantun masih lagi mempunyai tarikan dan keunikannya yang tersendiri walaupun kita kini berada di dunia berteknologi. Bak kata pepatah, “Tak lekang dek panas tak lapuk dek hujan”. Gara-gara serangkap pantun yang tular tersebut, aplikasi perniagaan dalam talian yang terkenal di negara kita, iaitu Shopee, turut menggunakan pantun dalam mempromosikan barangannya, iaitu pengisar elektrik. Pantun empat kerat tersebut berbunyi seperti yang berikut:

Apa guna berkain batik,
Kalau tidak memakai capal;
Kan dah ada pengisar elektrik,
Kalau hendak menumbuk sambal.

Serangkap pantun klasik yang tular tersebut bukan sahaja menjadi polemik apabila pentafsiran yang menyentuh persoalan gender dikaitkan, bahkan didakwa mengandungi makna erotis. Hal ini demikian apabila muncul ciapan oleh seseorang di Twitter, yang menyatakan bahawa frasa “menumbuk sambal” ditafsirkan sebagai hubungan intim dalam rumah tangga hingga ada dalam kalangan masyarakat terus berpandangan bahawa tafsiran itu sebagai satu dosa. Oleh itu, adakah tafsiran kebanyakan orang yang beranggapan bahawa pantun itu merendah-rendahkan kaum wanita tidak berdosa?

Pantun merupakan sastera lisan yang mempunyai pelbagai fungsi berdasarkan jenisnya. Menurut Alias Yunos dalam bukunya yang bertajuk, Pantun Melayu Sastera Ra’ayat, pantun peringkat dewasa telah digunakan masyarakat secara meluas dan mempunyai pelbagai jenis iaitu:

  1. Pantun budi untuk mempersoalkan budi bahasa;
  2. Pantun kasih untuk mempersoalkan kasih sayang;
  3. Pantun adat untuk mempersoalkan masyarakat dan adat-istiadat;
  4. Pantun kiasan untuk menyindir tingkah laku manusia;
  5. Pantun pendekar untuk memuji kegagahan seorang perwira; dan
  6. Pantun bunga untuk memuji kecantikan bunga yang dikarang.

Buah betik buah bidara,
Dibawa orang ke tepi pantai;
Cantik cindai kain sutera,
Mengapa duduk di pajak gadai.

Serangkap pantun klasik di atas digunakan untuk menyindir perbuatan seorang gadis yang mempunyai rupa paras yang cantik tetapi mempunyai tingkah laku yang buruk dan akhirnya dipandang rendah oleh masyarakat setempat. Pantun ini bukanlah semata-mata untuk menyindir gadis tersebut semata-mata tetapi bertujuan untuk mendidik si gadis tersebut agar memperbaik sifat dan peribadinya ke arah yang lebih baik. Hal ini demikian kerana orang-orang dahulu bukan sekadar suka-suka berpantun tetapi lebih kepada cara untuk melahirkan perasaan hati dengan memperlihatkan kehalusan budi pekerti. Buktinya, masyarakat terdahulu berpantun secara sindiran bagi memperbaik budi pekerti orang lain.

Berbalik kepada pantun yang tular hingga menjadi polemik di negara kita, tafsiran “menumbuk sambal” sebagai hubungan intim mungkin ada benarnya. Hal ini demikian kerana orang-orang dahulu begitu berhati-hati dalam memberikan teguran agar pihak yang ditegur tidak berkecil hati. Polemik ini terjadi apabila seseorang telah memuat naik tangkapan skrin jawapan oleh penulis tersohor negara, Nisah Haron, yang ditanya secara peribadi berkaitan dengan tafsiran dan maksud pantun tersebut.

Menurut Nisah Haron yang turut mengulas isu itu di laman Facebook peribadinya, beliau tidak berniat untuk menjadikan jawapan tersebut secara terbuka kerana bimbang hal itu tidak sesuai dibaca oleh semua lapisan masyarakat terutama  bagi sesiapa yang masih belum berumah tangga. Tambah beliau lagi, pantun klasik tersebut sebenarnya mempunyai tafsiran yang lebih mendalam, iaitu tentang tanggungjawab suami melayani isteri dengan sebaik-baiknya seperti cara Rasulullah SAW melayani isteri-isteri baginda.

Pantun sememangnya sastera Melayu yang penuh dengan sifat keintelektualannya dan bukanlah boleh ditafsirkan berdasarkan logik semata-mata. Polemik ini ada bagusnya kerana mampu membuka mata masyarakat Malaysia untuk menghayati keindahan pantun klasik terdahulu dan memahami tafsirannya berdasarkan pandangan para penulis tersohor negara. Mohamad Saleeh Rahamad, Pensyarah Kanan Jabatan Pegajian Media dan Komunikasi Universiti Malaya yang juga Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dalam pendapatnya yang tersiar di akhbar Sinar Harian pula menyatakan bahawa orang Melayu sebenarnya pemalu tetapi tegas dan tidak suka berterus-terang dalam menyampaikan sesuatu. Tambahnya lagi, sebaris kata daripada mulut orang Melayu mungkin membawa maksud yang tersirat seperti yang boleh kita perhatikan melalui pantun empat kerat yang tular tersebut. Sayangnya, situasi ini semakin hilang ditelan dek kemodenan arus semasa. Masyarakat kini terutama generasi muda terlalu berterus-terang hingga tiada lagi budi bahasa dalam setiap butir bicaranya.

Tuntasnya, usaha DBP memuat naik pantun klasik sebegini wajar diteruskan agar keindahan seninya tidak hilang. Walaupun wujud pelbagai kecaman dan sindiran sehingga pantun ini menjadi polemik, semakin banyak orang Malaysia gemar dan cuba-cuba untuk mencipta pantun. Anak-anak kecil pada masa ini dapat mengenali pantun melalui usaha Les’Copaque Production Sendirian Berhad yang memasukkan elemen pantun dalam animasi Upin & Ipin melalui watak Jarjit. Oleh itu, sewajarnya lebih banyak syarikat penerbitan memasukkan elemen pantun dalam naskhah penerbitan masing-masing agar masyarakat lebih terdedah kepada keindahan, kebijaksanaan dan kreativiti pantun orang-orang dahulu. Sehubungan dengan itu, masyarakat tidak akan semberono mengulas pantun secara logik akal tanpa memikirkan maksudnya yang jauh lebih mendalam seperti tafsiran yang berkaitan dengan pantun yang tular tersebut.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi