27 Mei 2021, 18:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

JOHOR Apabila menyebut tulisan Jawi, maka terlintas di fikiran bahawa tulisan tersebut hanya diguna pakai oleh orang Melayu. Hal ini dikatakan demikian kerana tulisan Jawi begitu sinonim dengan bangsa Melayu itu sendiri. Di samping itu, hal ini turut menunjukkan bahawa tulisan Jawi memainkan peranan yang signifikan dalam perkembangan tamadun Melayu.

Sejarah tulisan Jawi bermula daripada pedagang yang berdagang di Tanah Melayu dan pendakwah Arab yang singgah ke sini sekitar tahun 1400 yang lalu. Kecintaan bangsa Melayu terhadap Islam terserlah apabila mereka menggunakan atau mengadaptasikan huruf yang ada di dalam al-Quran kepada sistem tulisan mereka sendiri, iaitu tulisan Jawi, dengan penambahan beberapa huruf yang sesuai dengan sebutan orang Melayu seperti huruf ga, ca dan nga. Penambahbaikan dan kesesuaian ini berdasarkan kesesuaian budaya dan keperluan bangsa Melayu.

Tulisan Jawi kemudiannya berkembang dan diadaptasi serta digunakan secara meluas yang akhirnya menjadi simbol dan identiti bangsa Melayu pada ketika itu di seluruh kepulauan Melayu dan Nusantara. Orang Melayu pada zaman dahulu menggunakan tulisan ini dalam segenap perkara termasuklah bidang politik, ekonomi, sosial dan pendidikan. Sistem ejaan dan tulisan Jawi yang digunakan kini berdasarkan kepada sistem yang terdapat dalam buku Pedoman Ejaan Jawi yang Disempurnakan pada tahun 1986, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Buku ini dihasilkan daripada rumusan Konvensyen Tulisan Jawi Peringkat Kebangsaan pada tahun 1984.

Peranan tulisan Jawi sangat penting dalam menyampaikan ilmu pengetahuan kepada pelosok dunia Melayu dengan identitinya yang tersendiri. Contohnya, kitab Bustan al-Salatin oleh Syeikh Nuruddin al-Raniri, menggunakan tulisan Jawi dalam menyampaikan ilmu kepada penduduk di Alam Melayu. Tulisan Jawi turut digunakan dalam penulisan syair, selain menyampaikan ilmu pengetahuan dalam hukum kanun, surat-menyurat, duit siling, watikah, batu nisan dan lain-lain.

Namun begitu, pada era pendigitalan ini, kita mendapati bahawa tulisan Jawi hampir dilupakan. Hal ini bermula apabila kedudukan tulisan Jawi diambil alih oleh tulisan Rumi seperti yang termaktub dalam Kongres Persuratan Melayu Malaya ke-2 pada tahun 1954, yang mengatakan bahawa sudah sepatutnya tulisan Rumi ini dirasmikan sebagai bahasa persuratan Melayu dengan tidak menghapuskan tulisan Jawi hingga suatu masa yang akan menentukannya. Maka itu, pada hari ini kita lihat tulisan Jawi tidak lagi digunakan dalam urusan rasmi masyarakat melainkan dalam hal keagamaan seperti teks khutbah, subjek Pendidikan Islam dan hal lain yang berkaitan dengannya.

“Tulisan Jawi merupakan warisan bangsa yang sangat berharga dan wajib dipelihara oleh bangsa Melayu secara keseluruhannya. Untuk memartabatkan tulisan Jawi, kita seharusnya perlu mengamalkan konsep PKPARJ, iaitu kita perlu ada Polisi, Kerjasama, Pemupukan, Amalan, Reputasi dan Jaminan.”

Demikianlah antara penerangan yang diberikan oleh beberapa orang panel jemputan, iaitu Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak, Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia; Profesor Emeritus Dato’ Dr. Teo Kok Seong, Felo Utama Bersama Institut Kajian dan Etnik (KITA), dan Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM; Profesor Dr. Hj. Abdul Rasid Jamian, Profesor Pendidikan Bahasa, Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UPSI; serta Dr. Rusmadi Baharudin, Ketua Bahagian Penyelidikan Bahasa, Jabatan Dasar dan Penyelidikan, Dewan Bahasa dan Pustaka, dalam program Webinar Pemerkasaan Tulisan Jawi, anjuran Kulliyyah Bahasa dan Pengurusan UIAM Pagoh, Jabatan Bahasa Melayu dengan kerjasama Office of MLCOM KLMSS, menerusi siaran secara langsung (secara dalam talian) pada pukul 3.00 petang tadi.

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!