1 Mei 2024, 13:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Sayembara Puisi Bahasa Melayu bersempena dengan Sambutan Hari Puisi Sedunia 2024 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia (DBP) dengan kerjasama Bahagian Education Malaysia Beijing, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah mendapat sambutan yang baik dan menggalakkan dalam kalangan mahasiswa universiti China.

Hal ini dapat dilihat melalui penyertaan memberangsangkan yang diterima daripada para peserta, iaitu sebanyak 80 buah video deklamasi puisi.

Namun begitu, oleh sebab banyak penyertaan diterima dalam kalangan pelajar universiti, tempoh penjurian pertandingan ini mengambil sedikit masa untuk dijurikan.

Buat pertama kalinya, sayembara ini dilaksanakan secara dalam talian bermula pada 21 Mac hingga 31 Mac 2024 lalu dengan penyertaan dalam kalangan pelajar dari Malaysia dan negara China yang mengambil jurusan Bahasa Melayu dan Pengajian Melayu di universiti luar negara.

Sayembara ini dihakimi oleh tiga orang juri bagi memilih 16 orang pemenang. Panel juri terdiri daripada pegawai kanan DBP, iaitu Encik Rusdi Abdul Rahman, selaku Ketua Juri; Encik Muhammad Sallehuddin Mohd Dilif (Bahagian Education Malaysia, Beijing), Encik Shaiful Azhar Shaharun (Jabatan Perkhidmatan Awam) dan Dr. Azerai Azmi (Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Teknik).

Panel juri sayembara ini bersepakat menyatakan bahawa mahasiswa dari negara China mampu mendeklamasikan puisi dan berkomunikasi menggunakan bahasa Melayu dengan baik, jelas dan terampil.

Panel juri turut berharap agar DBP meneruskan sayembara sebegini pada masa akan datang dengan penganjuran persembahan puisi dalam bentuk lain selain mengekalkan penganjuran sayembara puisi secara dalam talian.

Untuk rekod, United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) mengiktiraf tarikh 21 Mac pada setiap tahun sebagai Hari Puisi Dunia dalam Persidangan Agung ke-30 di Paris pada tahun 1999.

Menerusi pengisytiharan tersebut, tarikh itu telah menjadi acara pihak tertentu melaksanakan pelbagai program, aktiviti dan kegiatan dalam usaha untuk mengapresiasikan puisi karya penyair tersohor dari serata dunia.

Sehubungan dengan itu, antara objektif penganjuran sayembara ini ialah mempersegar kecintaan dan kemegahan terhadap bahasa kebangsaan, memperingati sambutan Hari Puisi Sedunia, serta menyerlahkan peranan puisi dalam menyampaikan sesuatu mesej kepada masyarakat, mengasah bakat pelajar universiti dalam mendeklamasikan puisi dan mengukuhkan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar China, Korea, Jepun, dan Rusia yang mengikuti kursus Pengajian Melayu di universiti luar negara.

Bagi DBP, sayembara sebegini selaras dengan tanggungjawab DBP untuk membangunkan modal insan yang berilmu, berketerampilan, berkeyakinan tinggi dan mempunyai jati diri yang kukuh bagi membentuk masyarakat MADANI.

Yang berikut dilampirkan poster keputusan rasmi pemenang sayembara ini dalam dua kategori, iaitu mahasiswa Malaysia dan mahasiswa universiti China. Syabas diucapkan kepada para pemenang.

Hadiah bagi Pemenang Sayembara Puisi 2024 Kategori Mahasiswa Malaysia dan Mahasiswa Negara China.
Keputusan Rasmi Pemenang, Kategori Mahasiswa China.
Keputusan Rasmi Pemenang, Kategori Mahasiswa Malaysia.
Barisan Juri Sayembara Puisi 2024.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.