8 Mei 2024, 14:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Sebanyak 25 orang peserta yang terdiri daripada para pensyarah Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dari kampus seluruh Malaysia telah diberi pendedahan tentang strategi pembacaan kritis dan pentaksiran dalam pembelajaran oleh penceramah dalam Bengkel Penyediaan E-Modul dan Bahan Sokongan Latihan Peningkatan Kompetensi Guru Bahasa Melayu pada 6 Mei hingga 8 Mei 2024.

Bengkel anjuran IPGM Kampus Bahasa Melayu (IPGMKBM) telah diadakan di Hotel The Straits & Suite, Melaka. Para peserta yang terlibat juga diberi tugasan menggubal e-modul bagi kursus-kursus yang meningkatkan kompetensi guru-guru Bahasa Melayu sekolah rendah.

Dua sesi bengkel, iaitu “Pembacaan Kritis” dan “Pentaksiran untuk Pembelajaran” dipilih untuk berkongsi idea berkaitan dengan strategi dan pendekatan dalam meningkatkan penguasaan kemahiran membaca dan melaksanakan pentaksiran dalam pembelajaran khususnya dalam kemahiran membaca.

Bengkel ini dikendalikan oleh YBrs. Dr. Wan Norlidza Wan Mohd Zain, selaku Ketua Alur Kerja (WSL) bagi Program Latihan Peningkatan Kompetensi Guru Bahasa Melayu dan dibantu oleh YBhg. Datin Padlon Abdul Rahman.

Penceramah bengkel ini ialah YBhg. Datin Dr. Thusha Rani Rajendra yang dipilih berdasarkan pengalaman beliau selama lebih 29 tahun dalam bidang Pembacaan Kritis dan Pentaksiran Untuk Pembelajaran, yang juga merupakan pensyarah Bahasa Inggeris dari IPGMKBM.

Dalam sesi pertama, aspek yang disentuh dalam pembacaan kritis ialah kepentingan proses analisis, interpretasi dan evaluasi dalam mengupas pelbagai bahan bacaan teks seperti cerpen, novel dan sebagainya. Dua novel klasik yang dijadikan contoh bagi pembacaan kritis ialah novel Ranjau Sepanjang Jalan (Shahnon Ahmad) dan Salina (A. Samad Said).

Selain itu, lirik lagu juga telah dikupas untuk mengenal pasti elemen tersurat dan tersirat.  Antara langkah yang diperlukan bagi aktiviti pembacaan kritis ialah pengenalan komponen teks, penyelesaian latihan pramembaca, penulisan soalan membaca, penghasilan nota dan peta minda, serta menghubung kait isi kandungan bahan yang dibaca dengan pengetahuan sedia ada.

Bagi sesi “Pentaksiran untuk Pembelajaran”, penceramah memberikan penjelasan tentang pembelajaran dan pengajaran abad ke-21 yang menitikberatkan pemikiran analitik, kreativiti, kolaborasi, komunikasi serta etika, tindakan dan akauntabiliti serta strategi pembelajaran koperatif yang menekankan pelibatan murid mendorong pembelajaran.

Para peserta bengkel teruja dengan perkongsian maklumat dan ilmu yang disampaikan oleh YBhg. Datin Dr. Thusha Rani khususnya mereka yang berminat dalam bidang kesusasteraan bahasa Melayu kerana penceramah banyak memberikan contoh daripada pembacaan bahan kreatif.

Berdasarkan tinjauan yang dibuat, peserta bengkel berpuas hati dan seronok mendengar penerangan tentang tajuk yang diberikan dan juga melaksanakan aktiviti yang dijalankan oleh penceramah. Mereka berpendapat, kedua-dua slot tersebut berinformatif serta berguna dalam pembinaan e-modul dan bahan sokongan yang akan dihasilkan. Selain itu, pengetahuan tambahan yang diperoleh dapat memantapkan hasil penulisan modul bagi kegunaan guru-guru bahasa Melayu.

Objektif utama dalam ceramah yang disampaikan tersebut adalah untuk memperkenalkan elemen penting dalam pembacaan kritis serta pemantapan pengetahuan mengenai pentaksiran untuk pembelajaran khususnya dalam kemahiran membaca.

Pengerusi bengkel, YBhg. Datin Padlon Abdul Rahman.
Penceramah bengkel, YBhg. Datin Dr. Thusha Rani Rajendra.
Para peserta bengkel ketika melaksanakan aktiviti.
Buku-buku tentang pentaksiran untuk pembelajaran.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.