8 Jun 2021, 12:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa pengantar rasmi, bahasa Melayu sudah banyak mengambil alih peranan yang dahulunya dimainkan oleh bahasa Inggeris. Antaranya termasuklah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Sehubungan dengan itu, bahasa Melayu perlu berada di tempat yang sewajarnya dalam segala hal.

Di sekolah, para pelajar harus membiasakan diri dengan menggunakan bahasa Melayu yang betul, terutama ketika sesi pengajaran dan pembelajaran. Cara ini dapat menanamkan semangat cinta akan bahasa Melayu. Yang paling penting, guru sangat berperanan dalam hal pemantapan bahasa di sekolah kerana mereka sering dianggap sebagai contoh terbaik bagi pelajar.

Sehubungan dengan itu, para guru Bahasa Melayu harus peka akan penggunaan bahasa Melayu standard di sekolah. Seboleh-bolehnya elakkan penggunaan bahasa dialek, bahasa campuran atau bahasa pasar ketika berkomunikasi dengan pelajar. Pelajar tidak mungkin dapat menghayati dan mencintai bahasa Melayu tanpa kesungguhan daripada guru.

Oleh itu, demi menjaga mutu dan kecekapan berbahasa dalam kalangan guru di sekolah, mereka harus diberi kursus penataran seperti Kursus Kemahiran Bahasa atau menyampaikan maklumat berkala kepada guru dari semasa ke semasa. Semoga cara ini dapat meningkatkan taraf penguasaan dan mutu bahasa Melayu dalam sektor pendidikan khususnya di Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC).

Sehubungan dengan itu, pada 8 Jun 2021 dan 9 Jun 2021, berlangsungnya Program Bimbingan Penulisan Bahasa untuk Guru-guru Bahasa Melayu Sekolah Menengah Persendirian Cina. Program anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), melalui Bahagian Pembinaan Bakat dan Kepakaran dengan kerjasama Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) ini diadakan untuk memberikan bimbingan bahasa kepada para guru Bahasa Melayu SMPC, selain melahirkan lebih banyak guru bukan Melayu yang pakar dalam bidang bahasa.

Program ini disertai oleh 220 orang peserta di seluruh Malaysia. Alex Leong Jun Wei yang bertindak sebagai penceramah bagi program ini merupakan Pegawai SISC+Bahasa dan merupakan Munsyi DBP. Semoga program sebegini dapat membantu DBP melahirkan masyarakat yang megah dan cinta akan bahasa kebangsaan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.