Oleh Jeniri Amir
23 Jun 2021, 15:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Selepas negara berdepan dengan ancaman COVID-19 sejak awal tahun 2020, banyak istilah baharu yang muncul. Istilah yang biasanya berlegar di sekitar pengamal perubatan mulai beredar di khalayak ramai. Susulan menyebarnya virus maut itu, kerajaan mengambil langkah drastik dengan mengenakan sekatan pergerakan. Ekoran pertambahan jumlah kes jangkitan dan kematian, satu strategi dikeluarkan bagi membendung penularannya, iaitu melalui suntikan vaksin seperti Pfizer-BioNTech, AstraZeneca, Sinovac, dan Johnson & Johnson kepada rakyat

Ya, COVID-19, sekatan pergerakan dan vaksinasi  merupakan tiga perkara yang tidak terelakkan oleh dunia. Yang menariknya, di sebalik fenomena baharu itu, dunia bahasa turut terkesan. Kesannya amat positif kerana ilmu yang berkaitan dengan perkara itu juga berkembang. Istilah, kosa kata, ungkapan dan kata berkembang selaras dengan perkembangan, penemuan baharu dan perubahan yang dialami oleh masyarakat bahasa itu.

Begitulah juga bahasa Melayu sejak sekitar satu setengah tahun lalu. Siapakah yang menafikan bahawa istilah bahasa Melayu yang berkaitan dengan bidang perubatan dan kesihatan awam semakin bertambah? Agensi bahasa seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak boleh lagi bekerja mengikut amalan lama. Maksudnya, jika dahulu pelbagai jawatankuasa istilah hanya bersidang beberapa kali setahun tetapi dalam kebiasaan baharu, amalan sedemikian tentunya tidak lagi sesuai. Oleh itu, sesuai dengan tuntutan dan keperluan semasa, DBP kini mengamalkan strategi dan pendekatan pragmatik dari segi penggubalan istilah. Badan berkenaan bergerak seiring dengan perkembangan di sekitarnya.

DBP bersikap proaktif, pragmatik dan sentiasa mengemas kini istilah terbaharu yang berkaitan dengan bidang perubatan, kesihatan awam dan persoalan lain. Pendekatan ini wajar dan munasabah. Langkah ini memang disambut baik oleh pengguna bahasa, termasuklah pengamal media, khususnya wartawan, editor dan penyiar. Sebagai individu yang terbabit secara langsung dalam bidang media dan penulisan, penulis berdepan dengan cabaran memilih atau menggunakan istilah yang sesuai dan tepat terutamanya ketika menulis berita, rencana dan analisis tentang COVID-19, vaksinasi dan hal yang bersangkutan.

Hasilnya, ikhtiar yang diambil oleh DBP itu amat membantu dalam hal ini. Dahulu penulis terkial-kial untuk mencari istilah yang sesuai dalam bahasa Melayu. Kini hal itu tidak lagi sedemikian walaupun tidak dinafikan sekali-sekala penulis tetap berdepan dengan masalah berkenaan. Justeru amat penting bagi pengguna bahasa Melayu untuk menggunakan istilah baku dan tepat yang disediakan oleh DBP. Walau bagaimanapun, banyak pengguna, termasuklah pemimpin politik lebih berminat menggunakan istilah dalam bahasa Inggeris meskipun istilah itu telah pun wujud dalam bahasa Melayu.

Sesuatu yang baharu dalam apa-apa bidang akan mencetuskan kosa kata, istilah dan ungkapan baharu. Semuanya menggambarkan pembaharuan, perubahan, perkembangan dan kemajuan dalam ilmu dan pemikiran manusia. Contohnya, hal yang berkaitan dengan pandemik COVID-19, munculnya istilah perintah kawalan pergerakan dan kemudiannya sekatan pergerakan. Kemudian, total lockdown dan partial lockdown yang diterjemahkan oleh DBP sebagai sekatan pergerakan penuh dan sekatan pergerakan separa.

Di luar negara misalnya, Texas Medical Center (TMC) menyenaraikan istilah dan  kosa kata yang berkaitan dengan pandemik itu. Senarai kosa kata dan istilah itu penting bagi membantu orang ramai memahami pandemik COVID-19. Yale Medicine juga mengambil langkah yang sama.

Nursing Center melalui portalnya menyenaraikan 52 istilah setakat ini dengan pentakrifan dan maknanya sekali. Manakala UVA Health pula menyenaraikan 28 istilah dengan takrifan maknanya sekali. Pakarnya menyediakan glosari istilah utama yang perlu diketahui dan difahami oleh orang ramai.

Sebahagian istilah berkenaan belum digunakan dan diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Oleh itu, usaha untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan betul tentang pandemik ini amatlah penting bagi mengelakkan diri daripada dijangkiti. Walau bagaimanapun, langkah ini juga mungkin bermasalah ketika kita berdepan dengan jumlah istilah dan maklumat berkaitan yang meledak dan muncul pada waktu yang singkat dan pantas.

“Jika mahu memberikan respons dengan cara yang jelas, anda perlu mempunyai pemahaman yang jelas tentang apa-apa yang kami perkatakan. Amatlah penting untuk kita memahami perkataan dan istilah yang membawa makna berbeza. Umpamanya, kuarantin dan isolasi bukan perkara yang sama,” jelas Jaimie Meyer, pakar penyakit berjangkit.

Ketika virus berkenaan mencetuskan krisis kesihatan yang dahsyat kepada dunia, terdapat kesan langsung terhadap bahasa dunia, termasuklah bahasa Melayu. Bahasa Melayu turut berubah dan menyesuaikan diri dengan perubahan sekitarnya, termasuklah ketika negara dan dunia berdepan dengan pandemik ini.

Sejak virus ini tercetus di Wuhan, China, pada akhir tahun 2019, banyak istilah dan ungkapan baharu yang muncul melalui pelbagai media. Memahami istilah dan kosa kata berkenaan dengan tepat tentunya sama penting dengan memahami cara virus itu merebak, berjangkit dan akhirnya membawa risiko kematian. Hakikatnya, istilah dan kosa kata baharu dalam bahasa Melayu dapat membantu melindungi diri, keluarga dan rakyat daripada tergugat oleh ancaman pandemik tersebut.

Istilah dan kosa kata berkenaan juga membantu kita untuk lebih memahami fenomena dan maklumat berkaitan dengan pandemik itu pada waktu yang mencabar dan menakutkan ini. Diakui atau tidak, Coronavirus terus membentuk dan mempengaruhi kehidupan dan bahasa kita. Kita diasak untuk mempelajari istilah baharu pada setiap bulan dan kalaupun tidak pada setiap minggu.

Hanya pada awal tahun lepas kita dapat membezakan antara epidemik dengan pandemik, kuarantin dan isolasi atau pengasingan. Istilah juga berubah sesuai dengan perubahan maksud. Pada awalnya, penjarakan sosial digunakan tetapi apabila istilah itu tidak begitu menepati maksudnya, istilah penjarakan fizikal untuk social distancing dan physical distancing digunakan.

Kita juga diperkenalkan dengan istilah lockdown, circuit breaker dan movement control order. Pandemik ini telah mengakibatkan banyak istilah masuk ke minda berbilion-bilion warga dunia.

Bahasa juga bertindak dan berubah seperti entiti hidup, sesuai dengan perubahan zaman. Tidak ada bahasa yang jumud kerana jika berlaku, bahasa itu akan cepat mati dan tidak berkembang. Oleh sebab itu, bahasa Melayu yang dinamik sentiasa menambah dan menyerap istilah, kosa kata dan ungkapan baharu seperti yang disaksikan daripada pandemik ini. Kosa kata dan ungkapan baharu ini dikenali sebagai neologisme.

Sebarang perubahan dalam bahasa lazimnya melalui dua fasa, iaitu inovasi dan penyebarannya. Sesuatu istilah dalam konteks pandemik ini kelihatannya banyak dicetuskan oleh pakar atau agensi terbabit seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Istilah dan kosa kata berkenaan cepat tersebar, lebih-lebih lagi di dunia tanpa sempadan dan hasil ledakan teknologi maklumat dan media, terutama media sosial. Ketika pandemik ini meledak dan terus diperkatakan serta diwacanakan, istilah dan kosa kata baharu terus dicipta dan digunakan dan tersebar sepantas penyebaran virus maut itu.

Oleh itu, kita perlu berusaha untuk menterjemahkan pelbagai istilah baharu daripada bahasa Inggeris ke dalam bahasa Melayu dengan pantas. Bagi pengamal media dan pengguna bahasa, kecepatan terjemahan istilah amat penting yang banyak membantu mereka. Penyerapan, pemungutan, pengubahsuaian dan pemanfaatan unsur asing ialah sesuatu yang biasa, malah banyak membantu memperkaya bahasa Melayu sejak sekian lama.

Merriam-Webster, pada 18 Mac 2020, mengambil langkah proaktif dengan mengemas kini kamusnya sebagai respons terhadap pandemik. Pada April 2020, editor Oxford English Dictionary melakukan sesuatu yang luar biasa yang diistilahkan sebagai kebiasaan baharu.

Untuk tempoh 20 tahun lalu, mereka mengemas kini kamus berkenaan pada setiap suku tahun, iaitu pada bulan Mac, Jun, September, dan Disember dengan memasukkan kosa kata baharu dan maknanya. Namun begitu, editornya segera mengemas kininya seiring dengan penyebaran COVID-19.

Tentu ada baiknya DBP melalui jawatankuasa berkenaan meneliti semua istilah dalam bahasa Inggeris itu sebagai rujukan dan mengambil langkah untuk menterjemahkannya ke dalam bahasa Melayu. Terdapat beberapa istilah dalam bahasa Inggeris itu yang belum lagi digunakan oleh media bahasa Inggeris di negara ini. Semoga ada kajian dalam bidang bahasa dan linguistik sebagaimana pandemik ini telah memberikan kesan dan mempengaruhi bahasa Melayu.

 

(Dr. Jeniri Amir ialah Felo Kanan Majlis Profesor Negara dan pengamat bahasa.)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.