Oleh Kho Thong Eng
25 Jun 2021, 14:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kata kerja tidak transitif ialah kata kerja yang tidak diikuti oleh objek. Walau bagaimanapun, kata kerja tersebut dapat diiringi oleh pelbagai kata, frasa atau klausa.  Satu daripada unsur pengiring kata kerja tidak transitif ialah pelengkap.

Apakah pelengkap? Pelengkap ialah kata, frasa atau klausa yang melengkapkan maksud sesuatu ayat. Dengan hal demikian, maksud ayat tidak akan tergantung dan pendengar atau pembaca tidak akan tertanya-tanya tentang mesej sepenuhnya yang hendak disampaikan oleh si penutur atau penulis. Sila lihat contoh yang berikut:

Bil. Contoh Ayat Tergantung Maklumat yang Tertinggal
1. Dia berbantalkan apa?
2. Dia ada apa?
3. Dia berasa bagaimana?
4. Dia berbuat bagaimana?
5. Dia bertambah bagaimana?
6. Dia tinggal. di mana?
7. Dia singgah di mana?
8. Dia berada di mana?
9. Dia menetap di mana?
10. Dia bermastautin di mana?
11. Dia menuju ke mana?
12. Dia membelok ke mana?
13. Dia berasal dari mana?
14. Dia tinggal di mana?  bagaimana?
15. Dia menjadi apa? bagaimana?
16. Dia berpendapat bagaimanakah?
17. Dia bercadang untuk apa?
18. Dia beranggapan apa?
19. Dia berpendirian bagaimana?
20. Dia berharap apa?

Kata pelengkap yang dapat mengikuti kata kerja tidak transitif termasuklah kata nama dan kata adjektif. Sila lihat contoh yang berikut:

1a.  Dia berbantalkan lengan.

1b.  Dia ada kereta.

1c.  Dia menjadi guru.

 

2a.  Dia menjadi sihat.

2b.  Dia berbuat jahat.

2c.  Dia bertambah sopan.

2d.  Dia tinggal miskin.

Dalam kelompok ayat 1, kata nama pelengkap lengan, kereta dan guru menjadikan maksud ayat jelas dan lengkap. Walau bagaimanapun, kata kerja tidak transitif “menjadi” dapat juga diikuti oleh kata adjektif seperti sihat (ayat 2a). Selain itu, kata kerja tidak transitif “menjadi” tidak perlu diikuti oleh pelengkap jika maksudnya ialah “berjaya seperti yang diharap-harapkan”. Sila lihat contoh yang berikut:

3. Padi yang ditanamnya menjadi.

Dalam kelompok ayat 2, kata adjektif pelengkap sihat, jahat, sopan dan miskin menjadikan maksud ayat jelas dan lengkap. Walau bagaimanapun, kata kerja tidak transitif “tinggal” dapat juga diikuti oleh frasa sendi nama, seperti di Seremban.

Kata kerja tidak transitif “berasa” dapat juga diikuti oleh kata adjektif pelengkap atau kata kerja pelengkap yang wajib. Ertinya, kata kerja “berasa” tidak dapat menjadi predikat yang lengkap tanpa diikuti oleh kata adjektif atau kata kerja tertentu. Walau bagaimanapun, kata adjektif atau kata kerja tersebut juga sekali gus menjadi penerang bagi kata dasar “rasa” dalam kata kerja “berasa”. Sila lihat contoh yang berikut:

4a.  Dia berasa bangga.

4b.  Dia berasa sedih.

4c.  Dia berasa gembira.

 

5a.  Dia berasa teruja.

5b.  Dia berasa terkejut.

5c.  Dia berasa terperanjat.

Dalam kelompok ayat 4, kata adjektif bangga, sedih dan gembira merupakan penerang kata dasar nama “rasa” yang sekali gus menjadi pelengkap kata kerja tidak transitif “berasa”. Dalam kelompok ayat 5, kata kerja teruja, terkejut dan terperanjat merupakan penerang kata dasar nama “rasa” yang sekali gus menjadi pelengkap kata kerja tidak transitif “berasa”.

Pelengkap juga meliputi frasa sendi nama. Sila lihat contoh yang berikut:

6a.  Dia tinggal di Seremban.

6b.  Dia singgah di kedai itu.

6c.  Dia berada di Indonesia.

6d.  Dia menetap di Sarawak.

6e.  Dia bermastautin di Australia.

 

7a.  Dia menuju ke utara.

7b.  Dia membelok ke kiri.

7c.  Dia berasal dari Sabah.

Dalam kelompok ayat 6 di atas, sendi nama pelengkap di Seremban, di kedai itu, di Indonesia, di Sarawak dan di Australia menjadikan maksud ayat lengkap. Walau bagaimanapun, kata kerja tidak transitif “berada” tidak perlu diikuti oleh pelengkap jika maksudnya ialah “berharta atau kaya”. Sila lihat contoh yang berikut:

8a.  Keluarganya berada.

Dalam kelompok ayat 7, frasa sendi nama yang menyusuli kata kerja tidak transitif berpangkalkan sendi nama “ke” dan “dari”. Walau bagaimanapun, kata kerja tidak transitif “berasal” tidak perlu diikuti oleh pelengkap jika maksudnya ialah “berbangsa atau berketurunan baik-baik”. Sila lihat contoh yang berikut:

9a.  Bendahara sememangnya berasal.

Ada juga sesetengah kata kerja tidak transitif yang dapat diikuti oleh klausa pancangan komplemen. Sila lihat contoh yang berikut:

10a.  Dia berpendapat bahawa dia betul.

10b.  Dia beranggapan bahawa tindakan itu tidak wajar.

10c.  Dia berpendirian bahawa budi bahasa amat penting.

 

11.  Dia bercadang untuk ke Ipoh.

Dalam kelompok ayat 10, klausa pancangan komplemen bahawa dia betul, bahawa tindakan itu tidak wajar dan bahawa budi bahasa amat penting bagi menjadikan maksud ayat lengkap. Dalam ayat 11, klausa komplemen untuk (dia) ke Ipoh menjadikan maksud ayat lengkap.

Pelengkap juga meliputi frasa pancangan keterangan. Sila lihat contoh yang berikut:

12.  Dia berharap semoga kawannya berjaya.

Dalam ayat 12, klausa pancangan keterangan harapan semoga kawannya berjaya menjadikan maksud ayat lengkap.

Selain pelengkap wajib, ada juga pelengkap yang tidak wajib. Sila lihat contoh yang berikut:

13a.  Dia bermain bola.

13b.  Dia bermain.

 

14a.  Dia belajar muzik.

14b.  Dia belajar.

Dia bermain bola.

Bagi ayat kelompok 13 dan 14, pelengkap bola dan muzik menjadikan maksud ayat lebih khusus dan lebih jelas tetapi kehadirannya selepas kata kerja tidak transitif bersifat opsyenal.

Oleh sebab hubungan antara kata kerja tidak transitif dengan pelengkap amat rapat, kedua-duanya mesti dikedepankan bersama-sama dalam ayat songsang. Sila lihat contoh yang berikut:

15a.  Dia berbantalkan lengan.

15b.  Berbantalkan lengan dia.

15c.  *Lengan dia berbantalkan.

 

16a.  Dia menjadi sihat.

16b.  Menjadi sihat dia.

16b.  *Sihat dia menjadi.

 

17a.  Dia berpendapat bahawa dia betul.

17b.  Berpendapat bahawa dia betul dia.

17c.  *Bahawa dia betul dia berpendapat.

 

 

 

 

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi