29 Jun 2021, 16:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dalam domain pendidikan, kanak-kanak yang memerlukan sokongan atau bantuan tambahan untuk mencapai kejayaan dalam akademik digambarkan sebagai luar biasa. Antaranya termasuklah kanak-kanak yang menghidap disleksia, iaitu suatu masalah pembelajaran yang spesifik.

Kecelaruan pembelajaran ini terdiri daripada masalah disleksia, disgrafia dan diskalkulia. Disleksia merupakan kecelaruan pembelajaran yang paling lazim dalam kanak-kanak di Malaysia berbanding dengan masalah disgrafia atau diskalkulia.

Kanak-kanak disleksia mempunyai pelbagai jenis cabaran dan halangan dalam proses pembelajaran. Masalah itu dikaitkan dengan pembangunan neurologi yang mempengaruhi keupayaan individu itu untuk memproses, menyimpan dan menghasilkan semula maklumat. Oleh sebab itu, kecelaruan pembelajaran memberikan impak kepada proses kognitif kanak-kanak disleksia.

Disleksia merupakan masalah pembelajaran yang khusus kerana mempengaruhi keupayaan membaca dan menulis. Walaupun didedahkan dengan pembelajaran konvensional di dalam bilik darjah dan motivasi yang betul, mereka masih tidak akan mempunyai kefasihan membaca dan menulis seperti kanak-kanak normal. Oleh itu, disleksia lebih dikategorikan sebagai kecelaruan bahasa kerana mempengaruhi keupayaan membaca dan menulis seseorang dalam proses pembelajaran.

Kanak-kanak disleksia mungkin dapat membaca tetapi hanya membaca pada tahap yang lebih rendah daripada yang dijangkakan dari segi tahap usia dan perkembangan minda mereka. Kecekapan membacanya juga lemah dan tahap kritikalnya bergantung kepada individu. Masalah bacaan mereka bukan dipengaruhi oleh keadaan persekitaran pembelajaran atau motivasi yang diberikan oleh guru.

Walau bagaimanapun, daya deria kanak-kanak disleksia berfungsi dengan baik dan kecerdasan mereka tidak mempunyai kaitan dengan masalah pembelajaran disleksia. Hubungan kecerdasan IQ dengan kewujudan disleksia telah banyak dikaji dalam bidang penyelidikan disleksia dan penyelidik membuktikan bahawa kecerdasan IQ disleksia tidak terjejas atau kurang daripada individu normal.

Namun begitu, kanak-kanak disleksia boleh menunjukkan kecelaruan yang bersifat jangka masa pendek seperti tingkah laku, emosi, psikologikal dan sebagainya.

Persatuan Disleksia Antarabangsa (The International Dyslexia Association, IDA) menganggarkan bahawa hampir 15 hingga 20 peratus penduduk dunia mengalami sekurang-kurangnya satu atau lebih simptom disleksia.

Menurut IDA, disleksia ialah masalah pembelajaran spesifik yang dikaitkan dengan sifat neurologi. IDA juga membuktikan bahawa ada perbezaan struktur otak yang signifikan dalam kalangan kanak-kanak disleksia berbanding dengan kanak-kanak normal.

Disleksia mungkin disebabkan oleh perkembangan otak yang lambat atau kekurangan dalam domain fonologikal bahasa. Dalam pada itu, kemampuan kognitif individu disleksia juga mempunyai perkaitan dengan kekurangan tersebut.

Aspek Literasi dalam Masalah Disleksia

Tahap kesukaran dalam pencapaian literasi disleksia bergantung kepada kebolehan menguasai fonetik dan fonologi, huruf dan kata serta ejaan. Ada beberapa aspek yang perlu dinilai bagi mengetahui keupayaan dan tahap literasi kanak-kanak disleksia.

Penilaian literasi itu meliputi aktiviti membaca kata tunggal, mengeja, pemahaman bacaan dan kepantasan membaca. Ada yang mencadangkan untuk membaca perkataan, mengeja, tahap kefasihan membaca dan penyahkodan untuk menilai kesukaran literasi disleksia dalam bahasa Melayu.

Penyahkodan merupakan kemampuan menyebut perkataan yang ditulis dan kemahiran ini tidak mempunyai hubungan dengan kecerdasan umum. Penyelidik membuktikan bahawa penyahkodan sebagai “kemahiran memproses tahap rendah” ​​dan pemahaman sebagai “kemahiran memproses tahap lebih tinggi”.

Kemahiran ini dapat dinilai dengan ujian membaca dan ejaan. Contoh masalah literasi bagi kedua-kedua aspek penyahkodan dan pemahaman ini ialah penguasaan yang rendah dalam pengenalan huruf bahasa Melayu.

Pengetahuan huruf−bunyi terbukti menjadi petunjuk utama yang sangat baik dalam menilai pencapaian membaca dan mengeja kerana kanak-kanak yang belajar huruf-bunyi dengan mudah lebih cenderung mempunyai kemahiran fonologi yang baik.

Pengetahuan huruf menyumbang kepada kemahiran penyahkodan dalam pengajaran kanak-kanak prasekolah dan tadika dari aspek kesedaran fonemik. Pengetahuan mengenai huruf atau bunyi ialah prasyarat penting untuk kanak-kanak mempelajari bacaan dan ejaan dalam ortografi abjad seperti bahasa Inggeris.

Kanak-kanak disleksia turut menghadapi cabaran dalam menyesuaikan bunyi dengan huruf yang tertentu. Contohnya, bunyi /pa/ dan /ba/, bunyi /ta/ dan /da/. Hal ini disebabkan oleh kesedaran fonologi atau pemprosesan fonologikal yang lemah dalam kalangan mereka.

Kajian yang dijalankan oleh Fawcett dan Nicolson (1994) mendapati bahawa kanak-kanak yang didiagnosis dengan masalah disleksia lebih perlahan dalam penamaan warna, nombor dan huruf daripada kanak-kanak normal.

Mereka juga tidak mempunyai kemahiran membaca yang setaraf dengan tahap usia mereka dan hal ini secara langsung menunjukkan bahawa mereka akan mempunyai masalah bacaan yang berterusan.

Oleh itu, kanak-kanak disleksia perlu menguasai pengetahuan huruf untuk mengembangkan kemahiran membaca. Mereka perlu mengaplikasikan pemahaman huruf dalam bacaan. Kelemahan dalam keseluruhan pendekatan bahasa ialah punca ketiadaan instruksi fonik yang sistematik pada tahap awal.

Kemampuan mengenal perkataan dengan cepat dan tepat disebut sebagai pemprosesan leksikal dan kemahiran ini penting dalam proses membaca. Oleh itu, kaedah terbaik untuk menilai pengenalpastian huruf adalah dengan menggunakan ujian membaca satu perkataan yang menghalang penggunaan psikolinguistik, gambar dan isyarat mengikut konteks.

Lee dan Wheldall (2011) mengkaji pemerolehan kosa kata bahasa Melayu dan mendapati bahawa pengetahuan suku kata dan penggabungan fonem ialah petanda pemerolehan kosa kata yang signifikan. Hal ini menunjukkan bahawa kedua-dua suku kata dan fonem penting dalam pemerolehan kosa kata bahasa Melayu.

Mereka juga menganalisis kesalahan bacaan dan membuktikan bahawa kesalahan bacaan banyak dilakukan oleh kanak-kanak disleksia kerana mereka tidak mempunyai pengetahuan dan kebolehan yang cukup dalam aspek segmentasi huruf dan bunyi.

Dalam kemahiran mengeja, kanak-kanak perlu menguasai bunyi dan huruf. Pada tahap asas mengeja, mereka akan belajar untuk mewakili bunyi dengan huruf dan pembelajaran ini memerlukan pemetaan dua arah antara aspek fonologi dengan simbol bertulis. Proses ini yang banyak mencabar kanak-kanak disleksia yang mempunyai kecelaruan dalam kemahiran fonologi.

Secara umumnya, kanak-kanak perlu memperoleh pengetahuan tentang hubungan antara bunyi dan huruf dan pengetahuan ini memerlukan pembelajaran fonologi dalam bahasa. Selepas menguasai kemahiran asas ini, kanak-kanak akan melambangkan dan menyesuaikan bunyi dengan huruf, iaitu simbol bunyi.

Kesukaran literasi kanak-kanak disleksia dapat dilihat dari segi ejaan. Mereka mempunyai masalah dalam membunyikan suka kata secara serentak dalam bacaan. Secara umumnya, pengetahuan grafem−fonem secara eksplisit dan segmentasi suku kata penting dalam penguasaan bahasa.

Kemahiran mengeja juga mensyaratkan kanak-kanak disleksia untuk mengetahui hubungan fonologi dengan fonem. Kemahiran ejaan juga lebih sukar untuk dikuasai kerana tidak boleh menggunakan konteks. Oleh sebab itu, kanak-kanak disleksia lebih mempunyai kesukaran untuk mengeja.

Di samping itu, kemahiran ejaan juga mempertimbangkan daya memori kanak-kanak disleksia. Faktor ini ditekankan dalam kemahiran mengeja kerana proses ini berkaitan dengan pengintegrasian kognitif dan kinestetik. Tambahan pula, ada perbezaan yang signifikan dalam sifat kesalahan ejaan kepada kanak-kanak disleksia.

Mereka menunjukkan lebih banyak kesalahan “fonetik yang tidak dapat diterima” daripada kanak-kanak normal. Dalam kata lain, kesalahan ini merujuk kekurangan penguasaan fonetik. Mereka mungkin belum menguasai representasi fonologi tetapi menggunakan strategi penamaan huruf untuk mengeja secara fonologi.

Kesimpulannya, kanak-kanak disleksia mampu untuk mempertingkatkan kebolehan literasi, khususnya dalam bacaan dan tulisan. Mereka perlu diberi keutamaan dalam penyediaan pengalaman pembelajaran yang baharu dan holistik serta keseronokan supaya tidak ketinggalan banyak dalam pembelajaran.

Guru juga boleh menyampaikan pengajaran mereka dengan melibatkan murid dalam aktiviti pembelajaran yang berbentuk multisensori. Pengamalan pengajaran yang menggunakan pelbagai input sensori murid yang berbeza seperti  visual, auditori, taktil dan kinestetik mampu meningkatkan lagi kualiti dan hasil pembelajaran tersebut.

Selain itu, guru perlu merancang bahan pengajaran dan menyediakan suasana pembelajaran yang seronok dan interaktif untuk memudahkan proses pembelajaran murid. Misalnya, penggunaan buku bergambar, bahan audio dan video, lukisan, permainan, nyanyian, cerita dan seni. Kaedah ini mempunyai potensi untuk memudahkan pemikiran, pembelajaran, dan pembinaan literasi kanak-kanak disleksia.

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.