7 Julai 2021, 13:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KELANTAN Aspek komunikasi yang berkesan merupakan antara kriteria yang memainkan peranan yang penting dalam sesi temu duga. Bahasa yang digunakan oleh calon haruslah berjaya memikat panel agar komunikasi berjalan dengan lancar. Calon harus menjawab soalan secara jelas dengan memilih kata dan ayat yang sesuai.

Sehubungan dengan itu, bahasa yang baik perlu dikuasai dan digunakan oleh calon ketika sesi temu duga termasuklah semasa permulaan bicara, iaitu memperkenalkan diri dengan menggunakan bahasa yang baik, tepat, santun dan sopan. Pertuturan mestilah jelas dan mudah difahami oleh panel. Calon juga haruslah menggunakan kata panggilan atau sapaan yang tepat dan bersesuaian. Sekiranya tidak dapat menjawab soalan yang diajukan, calon perlu memohon maaf kepada panel secara sopan.

Bahasa lisan merupakan pancaran idea atau pemikiran seseorang kepada seseorang yang lain. Bahasa yang digunakan akan mempamerkan penampilan diri dan aura diri, mempamerkan kebolehan pemikiran analitis, kritikal dan kreatif. Bahasa juga mempamerkan kemahiran dan ketokohan diri seseorang.

Dalam sesi temu duga, bahasa badan turut memainkan peranan yang penting. Penemu duga akan melihat bahasa badan calon dan akan memadankannya sama ada apa-apa yang diungkapkan itu selari dengan bahasa badannya. Dalam sesi temu duga, calon mungkin bersungguh-sungguh menyatakan betapa dirinya berminat dengan tawaran kerja yang diiklankan. Namun begitu, bahasa badan calon pula menyatakan sebaliknya. Apabila penemu duga keliru kerana bahasa badan dan bahasa lisan yang tidak selari, peluang calon untuk meyakinkan panel penemu duga akan menjadi tipis.

Peranan bahasa badan termasuklah mimik muka, pergerakan badan dan anggota badan yang lain. Contohnya, menjaga adab dan sentiasa senyum kepada sesiapa sahaja serta menjaga kedudukan postur badan semasa berdiri, duduk dan berjalan. Keadaan calon yang tidak selesa akan membuatkan penemu duga merasakan bahawa calon tidak bersedia dan tidak selesa untuk ditemu duga.

“Tulisan yang ditulis juga hendaklah jelas dan mudah dibaca oleh orang lain. Ketika menulis resume atau biodata, calon hendaklah menggunakan perkataan yang sesuai dengan jawatan yang dimohon kerana penampilan diri akan terserlah melalui penulisan biodata dan hasrat.”

Demikianlah antara penerangan oleh Dr. Abdullah Yusoff, Pengarah Eksekutif, Akademi Minda Kreatif, iaitu pembicara bagi program “Wacana Ilmu 2021: Bahasa dalam Temu duga” yang bersiaran secara langsung pada pukul 9.30 pagi tadi yang dilaksanakan secara dalam talian. Wacana ini anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur bersama-sama Akademi Minda Kreatif.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!