21 April 2024, 11:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Kemasukan unsur bahasa rojak, slanga dan pembentukan perkataan baharu yang menyalahi hukum tatabahasa dalam tulisan dan lisan di media sosial telah membawa kepada kerancuan bahasa yang semakin membarah dalam kalangan masyarakat. Bagi mengulas lebih lanjut berkaitan isu ini, Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah menjemput tiga orang panel dalam rancangan Lensa IPT.

Penolong Dekan Hal Ehwal Pelajar @ Alumni, Pusat Pengajian Citra, Universiti Kebangsaan Malaysia, iaitu YBrs. Dr. Daing Zairi Ma’arof yang memulakan perbincangan tersebut telah memberikan maksud bahasa rancu secara umum, iaitu mencampurkan sesuatu bahasa dengan bahasa yang lain.

Beliau berkata, masyarakat Malaysia pada masa ini terdedah kepada pelbagai bahasa melalui media sosial yang menyumbang kepada berleluasanya penggunaan bahasa rancu dalam kalangan mereka sehingga menjadi satu “virus”.

Bahasa rancu berbeza daripada bahasa slanga kerana bahasa rancu mencampuradukkan sesuatu bahasa dengan bahasa yang lain dan sebaliknya bahasa slanga digunakan dalam kelompok tertentu.

Bahasa rancu menurut beliau sudah menjadi barah dalam masyarakat kerana telah terbawa-bawa dalam kegunaan rasmi seperti dalam tugasan pelajaran oleh para penuntut.

Beliau berkata, pelbagai pihak perlu memastikan bahawa bahasa rancu ini dikekang dan pemartabatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan perlu terus dilaksanakan.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM), iaitu  YBrs. Dr. Mardian Shah Omar pula berkata, kerancuan bahasa bukan hanya berlaku kepada bahasa Melayu sahaja tetapi bahasa-bahasa lain di dunia seperti bahasa Indonesia dan bahasa Filipina.

Tambah beliau, kerancuan bahasa secara leluasa dalam bahasa Melayu akan menghilangkan identiti, nilai dan keindahan bahasa Melayu itu sendiri.

Semua pihak terutama ibu bapa perlulah memantau penggunaan bahasa rancu dalam kalangan anak-anak agar tidak terus membarah.

Panel ketiga, iaitu Guru Bahasa Pusat Pemajuan Kompetensi Bahasa, Universiti Putra Malaysia (UPM), iaitu YBrs. Puan Siti Muslihah Isnain pula berkata bahawa penggunaan bahasa rancu yang leluasa dalam kalangan masyarakat boleh menyebabkan mereka tidak mengetahui kosa kata baharu yang diperkenalkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

Bukan itu sahaja, jelas beliau, kerancuan bahasa yang telah terbawa-bawa dalam tugasan rasmi mahasiswa akan menyebabkan masyarakat tidak akan dapat mengoptimumkan penggunaan kosa kata bahasa Melayu pada masa akan datang.

Beliau turut bersetuju dengan ahli panel lain bahawa ibu bapa sebenarnya berperanan besar dalam mengekang penggunaan bahasa rancu daripada terus berleluasa kerana beliau sendiri juga akan menegur anak-anaknya jika menggunakan bahasa rancu.

Demikianlah pandangan ketiga-tiga ahli panel jemputan yang membincangkan tajuk “Gencatan Bahasa Rancu” dalam rancangan Lensa IPT, terbitan RTM yang telah berlangsung selama sejam.

Ketiga-tiga ahli panel semasa menjadi tetamu dalam rancangan Lensa IPT, terbitan RTM yang membincangkan tajuk “Genjatan Bahasa Rancu”.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.