23 April 2024, 12:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Penganjuran Pameran Manifestasi Perdana Seni Khat (MPSK) di Galeri Terbuka Muzium Kesenian Islam Malaysia (MKIM) yang bermula pada 12 Mac (sepanjang bulan Ramadan) lalu hingga 30 April 2024 bertujuan meraikan para pemenang MPSK yang telah berlangsung pada 11 November 2023.

MPSK yang berskala besar dan berprestij itu menghimpunkan para penulis khat dari seluruh Malaysia yang menjadi platform untuk peminat kaligrafi Islam mengetengahkan kreativiti seni dan kemahiran penulisan khat.

Sejak tahun 1999, MPSK dengan kerjasama Persatuan Seni Khat Kebangsaan (PSKK) telah menganjurkan pelbagai program, bengkel dan pertandingan yang bertujuan menarik minat masyarakat tempatan terhadap seni ini, serta membantu menyediakan peralatan untuk mempelajari kaligrafi Islam.

Sebagai sebuah pertandingan, MPSK bermatlamat untuk memperkenalkan satu daripada cabang seni Islam yang menumpukan keindahan penulisan kaligrafi Islam dengan lebih meluas.

Untuk rekod, MPSK sudah 24 kali diadakan tetapi pada tahun 2023, MPSK baru diadakan untuk kali ketujuh. Selain dianjurkan pada tiga atau empat tahun sekali, penganjurannya sejak tahun 2017 terpaksa dihentikan bermula pada tahun 2020 akibat penularan wabak pandemik COVID-19.

Untuk MPSK tahun 2023, para peserta telah bertanding dalam dua kategori, iaitu Kategori Spontan di atas Kertas, dan Kategori Kontemporari Kanvas.

Sambutan yang diterima amat memberangsangkan apabila berjaya menarik penyertaan sebanyak 145 orang peserta, dengan minat dan semangat bagi memeriahkan hari pertandingan tersebut.

Sebagai pemelihara, pemulihara dan pendidik seni Islam, MKIM akan terus mengangkat seni kaligrafi Islam ke peringkat yang tertinggi, sekali gus dapat memelihara seni warisan ini sepanjang zaman.

Tanpa bayaran masuk, MPSK turut mempamerkan 36 buah karya pemenang kategori dewasa, sekolah menengah, sekolah rendah, dan Kategori Lukisan Kaligrafi Kontemporari di Atas Kanvas.

Difahamkan, penganjur memberikan kebebasan kepada peserta untuk memilih judul karya masing-masing. Yang menariknya dan boleh dianggap sebagai kesedaran mempertahankan warisan bangsa, iaitu hampir semua peserta menggunakan peribahasa sebagai judul karya masing-masing.

Karya Ibrahim Mohd. Don @ Dun yang berjudul “Genggam Bara Api Biar Sampai Jadi Arang” telah memenangi tempat pertama dengan karya akrilik di atas kanvas, Kategori Kontemporari Peringkat Terbuka.

Tempat kedua pula menjadi milik Nur Sabrina Abu Seman dengan karyanya yang berjudul “Membujur Lalu Melintang Patah”, sementara tempat ketiga juga dengan judul yang serupa dimenangi oleh Nor Aini Syahirah Saik Abdullah.

Karya Hamdullah Abd. Rahman pula muncul di tempat pertama untuk Dakwat di atas Kertas Spontan, jenis Thuluth, Nasakh & Riq’ah, bagi Kategori A Tradisional Peringkat Menengah.

Tempat kedua diraih oleh Fauzan Hanis Mohd. Roslizat, dan tempat ketiga pula dimenangi oleh Nik Abdul Majid Nik Abd. Rahman Zaki.

Tempat pertama bagi Karya Dakwat di atas Kertas Spontan, Jenis Nasakh & Riq’ah Kategori A Tradisional peringkat Rendah dimenangi oleh Adam Darwisy Muhammad Faiez yang berjudul “Biar Jatuh Terletak Jangan Jatuh Terhempas – Belum Duduk Sudah Berlunjur”.

Tempat kedua pula menjadi milik Nur Izzatul Haneesa Norshaharizal, dan tempat ketiga dimenangi oleh Hamzah Muhammad Razif. Kedua-dua karya ini turut menggunakan judul yang sama seperti karya pemenang pertama.

Kepada para penggemar kaligrafi Islam, segeralah kunjungi pameran ini untuk minggu yang terakhir yang dibuka pada setiap hari dari pukul 9.30 pagi hingga 6.00 petang, dengan kemasukan terakhir pada pukul 5.30 petang.

Hasil karya Nur Sabrina Abu Seman.
Sebahagian daripada pemenang sagu hati karya akrilik di atas kanvas.
Hasil karya Nor Aini Syahirah Saik Abdullah.
Hasil karya Ibrahim Mohd. Don @ Dun.
Hasil karya Hamdullah Abd. Rahman.
Hasil karya Adam Darwisy Muhammad Faiez.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.