Oleh Kho Thong Eng
22 Julai 2021, 19:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Malaysia sememangnya negara yang bertuah.  Sebagai negara yang terletak di kawasan khatulistiwa, iklimnya yang panas dan lembap sepanjang tahun membolehkan pelbagai tumbuhan dan tanaman tumbuh subur menghijau. Antara tanaman yang paling terkenal dan termahal di Malaysia termasuklah durian.

Buah durian meliputi pelbagai jenis. Di Malaysia dan di luar negara, durian kita yang mendapat sambutan yang paling hebat ialah durian Musang King. Durian ini menjadi rebutan ramai kerana tekstur dan rasanya yang bitara. Rasanya yang manis dan pahit sedikit menjadikan banyak penggemarnya terliur dan menggilainya. Mungkinkah ada yang tertanya-tanya, mengapakah nama durian tersebut sedemikian?

Musang King ialah nama yang dijenamakan semula apabila nama tersebut didaftarkan sebagai nama komersial bagi klon durian Raja Kunyit pada 9 Disember 1993 oleh Wee Chong Beng. Nama durian Musang King dijenamakan sedemikian kerana klon durian itu (D197) pada mulanya ditanam di kawasan Gua Musang, Kelantan.

Ada juga pengguna bahasa Melayu yang ingin tahu, adakah nama Musang King patut ditulis sepenuhnya dalam bahasa Melayu sebagai Raja Musang atau ditulis dengan huruf kecil sebagai musang king sahaja?

Oleh sebab nama Musang King merupakan nama komersial yang sudah didaftarkan secara rasminya, bentuk nama tersebut kekal ditulis dengan huruf besar, dan tidak boleh diterjemahkan kepada bahasa Melayu sesuka hati. Walau bagaimanapun, nama asalnya, iaitu durian Raja Kunyit boleh digunakan sebagai pilihan. Hal ini selaras dengan jenama komersial yang lain. Sila lihat contoh yang berikut:

1a.  Dia suka makan durian Musang King.

1b.  *Dia suka makan durian Raja Musang.

1c.  *Dia suka makan durian musang king.

1d.  Dia suka makan durian klon D197.

1e.  Dia suka makan durian Raja Kunyit.

 

2a.  Dia makan di restoran Burger King.

2b.  *Dia makan di restoran Raja Burger.

2c.  *Dia makan di restoran burger king.

 

3a.  Dia menggemari minyak wangi Poison.

3b.  *Dia menggemari minyak wangi Racun.

3c.  *Dia menggemari minyak wangi poison.

3d.  *Dia menggemari minyak wangi racun.

 

4a.  Dia memaparkan hantarannya pada Facebook.

4b.  *Dia memaparkan hantarannya pada Wajahbuku.

4c.  *Dia memaparkan hantarannya pada facebook.

4d.  *Dia memaparkan hantarannya pada Face Book.

 

Dari segi ejaan, kata nama khas sememangnya harus ditulis dengan huruf besar. Hal ini mencakupi pelbagai perkara. Sila lihat contoh yang berikut:

Kategori  Contoh
malaikat Jibrail
bangsa Melayu
negara Indonesia
haiwan Sang Kancil
nama orang Lim Ah Ming
tempat Seri Petaling
benda Piala Malaysia
pokok Hevea Brasilia
bendera Jalur Gemilang
kereta Perodua Bezza
kapal Kapal Diraja Hang Tuah
undang-undang Akta Kolej dan Universiti
gelaran Tan Sri Hashim, Senator Tan

Walau bagaimanapun, terdapat pelbagai pertubuhan antarabangsa atau tempatan yang mempunyai terjemahan rasminya dalam bahasa Melayu. Oleh itu, namanya dalam bahasa Melayu patut kita gunakan dalam penulisan bahasa Melayu. Sila lihat contoh yang berikut:

  1. World Health Organization (WHO)

Terjemahan: Pertubuhan Kesihatan Dunia

  1. Non-Aligned  Movement (NAM)

Terjemahan: Pergerakan Negara-Negara Berkecuali

  1. Federal Land Development Authority (FELDA)

Terjemahan: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan

 

Terdapat juga kata nama khas yang digunakan bersama-sama dalam kata nama am. Dalam hal ini, seluruh kata nama am yang berkenaan harus ditulis dengan huruf kecil.  Sila lihat contoh yang berikut:

  1. Nama negara: Belanda

Kata nama am: monyet belanda, durian belanda, tikus belanda, ayam belanda

  1. Nama orang:  Fatimah, Siti Fatimah, Ali

Kata nama am: kacip fatimah, kacit fatimah, rumput siti fatimah, selusuh                                                             fatimah, tongkat ali

  1. Nama bangsa: Cina

Kata nama am: cina maki, akar cina, cina bukit, bunga cina, kayu cina

Selain itu, kata nama khas juga dieja dengan huruf kecil apabila ditambah imbuhan ke-…-an untuk menjadi kata adjektif terbitan. Sila lihat contoh yang berikut:

 

Kata Nama Khas Kata Adjektif Terbitan
Cina kecinaan
Arab kearaban
Melayu kemelayuan
Inggeris keinggerisan

Namun demikian, kata nama khas mungkin juga dikekalkan bentuk yang berawalkan huruf besar dalam peribahasa. Sila lihat contoh yang berikut:

  1. bagai Belanda minta tanah

Maksud: sesudah diberi sedikit, minta lagi banyak

 

  1. memperjuali orang Cina penjahit

Maksud: mengajar orang yang sudah pandai

 

 

 

 

 

 

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi