26 Julai 2021, 16:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

SELANGOR − Bahasa mempengaruhi cara manusia berfikir. Pengertian bahasa menurut kebudayaan Melayu meliputi budaya, ketamadunan, akhlak dan tingkah laku. “Reti bahasa” merupakan kerangka yang bermaksud tahu bahasa yang betul dari segi fungsi sosial (konteks), fungsi adat (kesantunan dan kesopanan) dan fungsi akhlak (sempurna tutur kata yang mencerminkan kemolekan akhlak).

Konsep “reti bahasa” lebih kepada adat dan akhlak penutur ketika berbahasa, iaitu sikap penutur bahasa Melayu terhadap peraturan tatabahasa dengan tata berbahasa menggunakan bahasa secara betul, sopan dan santun. Maknanya konsep reti bahasa lebih kepada menegur soal tingkah laku, akhlak atau kelakuan penutur ketika bertutur.

Dato’ Dr. Hassan Ahmad agak berbeza daripada ahli falsafah yang lain kerana beliau merungkaikan falsafah bahasa Melayu dengan agak terperinci, berdasarkan teoretis dan empirik. “Reti bahasa” baginya merupakan satu kerangka historiografi linguistik Melayu yang dapat menjadi alat bagi memahami alur pemikirannya mengenai bahasa dan kebahasaan.

Ada perbezaan dalam pengertian antara tahu bahasa dengan reti bahasa. Tahu bahasa bermaksud orang yang tahu menggunakan bahasa dengan betul dan tepat dari segi fungsi sosial dan fungsi adat. Hal ini bersinonim dengan kecekapan berbahasa (linguistic competence) yang dikemukakan oleh Dell Hymes. Menurut Dato’ Dr. Hasan Ahmad, jika kita gagal menghayati konsep tahu bahasa ini, kita akan gagal menghayati atau salah memilih konteks berbahasa.

Bahasa dan kebahasaan menurut Dato’ Dr. Hassan Ahmad.

“Oleh itu, reti bahasa di sini bukan bererti tidak tahu peraturan tatabahasa tetapi melibatkan kesalahan dari segi adat dan akhlak bagi orang yang bercakap, iaitu adab kita tentang pemilihan perkataan yang tepat dengan menggunakan kalimat yang betul dan sopan.”

Demikianlah antara penerangan oleh Dr. Mohd Tarmizi Hasrah, dalam sesi pembentangannya yang berjudul “Reti Bahasa dalam Pemikiran Hassan Ahmad” selaku ahli panel menerusi yang bersiaran secara langsung menerusi “Webinar Pemikiran Dato’ Dr. Hassan Ahmad (1936-2011)”. Webinar anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) ini telah dirasmikan oleh Datin Paduka Mastura Hj. Muhamad, Pengarah PPAS.

Panel pembicara lain yang turut hadir ialah Prof. Emeritus Dr. Shaharir Mohamad Zain (Falsafah Bahasa Hassan Ahmad), Prof. Emeritus Dato’ Dr Teo Kok Seong (Hassan Ahmad: Linguis Nasionalis Ulung Negara), Prof. Dr. Munif Zarirruddin Fikri Nordin (Bahasa Agama dan Pemikiran Hassan Ahmad tentang Islam dan Cabarannya) dan Tuan Hasni Abas (Pemikiran Positif Hassan Ahmad sebagai Seorang Cendekiawan).

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!