1 Ogos 2021, 08:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dekad Bahasa Kebangsaan yang sedang dilaksanakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka bukanlah untuk acara-acara yang digembar-gemburkan tetapi untuk merenungi keadaan dan nasib bahasa.

Ada gagasan “Maju Negara Maju Bahasa”. Memang begitu. Negara maju ada lebih banyak peluang untuk mengembangkan bahasa dan menyebarkannya di seluruh dunia. Kemajuan bahasa Inggeris kebanyakannya akibat  hebatnya kekuasaan politik dan ekonomi Amerika. Dengan pengaruhnya dalam bidang politik dan ekonomi yang secara automatik terjadi semakin kuatnya pengaruh bahasa Inggeris.

Namun begitu, ada proses di sebalik “Maju Bahasa Maju Negara” kerana kemajuan dalam bahasa pada gilirannya mendorong kekuatan sebuah negara. Bahasa kebangsaan misalnya mempersatukan rakyat sebuah negara, mencegah perpecahan dan dengan cara begitu menguatkan dasar kekuatan negara.

Gagasan “Maju Negara Maju Bahasa” (atau “Maju Bahasa Maju Negara”) tepat dalam konteks Malaysia juga. Negara ini negara berbilang bangsa. Oleh itu, bahasa mempersatukan semua kaum dan menggalakkan persefahaman antara mereka. Perkembangan bahasa juga melestarikan budaya tradisional yang penting untuk wujudnya keperibadian sebuah bangsa. Pembawa budaya itu biasanya orang kampung, jadi penting membantu orang itu. Contoh yang nyata ialah Jepun, iaitu kerajaan menunjang penanaman padinya sendiri meskipun dari segi ekonomi itu merugikan dan lebih murah mengimport beras dari luar negara.

Oleh itu, timbul soalan. Apakah langkah yang harus diambil bagi memajukan bahasa Melayu agar setanding dengan bahasa lain di dunia, terutamanya bahasa Inggeris? Pertama-tama, teladan mesti diberikan oleh semua kakitangan kerajaan termasuklah para menteri yang harus menggunakan bahasa Melayu pada semua peringkat. Bukankah hal itu sudah beberapa kali diutarakan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin?

Pada tahun 1977, Perdana Menteri Papua New Guinea, Somare, menggunakan bahasa kebangsaannya, iaitu tok pisin selama lawatannya ke Jepun dengan dua terjemahan, iaitu daripada tok pisin kepada bahasa Inggeris dan daripada bahasa Inggeris kepada bahasa Jepun. Tentu sahaja beliau tahu berbahasa Inggeris tetapi tetap mahu menunjukkan keperibadian bahasanya. Contoh yang patut diteladani!

Lagi pula bahasa Melayu mempunyai keunggulannya sendiri. Kekuatan bahasa Melayu terletak pada statusnya sebagai bahasa kebangsaan dan dalam faktor-faktor sejarah sehingga bahasa itu menjadi lingua franca di kawasan Asia Tenggara dahulu. Kekuatan bahasa itu juga disebabkan oleh banyaknya karya klasik yang ditulis dalam bahasa itu.

Perkembangan sastera sememangnya boleh menunjang perkembangan bahasa, bahkan “menyelamatkan” bahasa. Sejarah Rusia misalnya menunjukkan mengenai sasteranya yang menyelamatkan bahasa Rusia yang pada mulanya daripada kongkongan bahasa Jerman (abad ke-18) dan kemudian daripada kongkongan bahasa Perancis (abad ke-19). Para penulis Rusia tetap berkarya dalam bahasa Rusia dengan mengembangkannya. Sehingga kini rakyat Rusia bercakap dalam bahasa sastera yang diciptakan pada abad ke-19 oleh pujangga Alexander Pushkin. Saya yakin sasterawan Melayu juga boleh memberikan sumbangan besar dalam memperkembangkan bahasa kebangsaan.

Dasar bahasa di Malaysia mesti lebih konsisten dan ketat. Mesti dibuat begitu supaya dengan mempelajari bahasa Melayu dapat menjadikannya berfaedah dan berprestij. Patut juga memberikan nilai ekonomi kepada bahasa Melayu, yakni menggunakan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan hingga peringkat tertinggi dengan menerbitkan lebih banyak artikel ilmiah dalam bahasa itu. Secara langsung menjadikan bahasa itu bahasa perantaraan dalam syarikat nasional dan cawangan syarikat antarabangsa di Malaysia dan menggunakannya dalam rundingan semua peringkat. Kalau begitu, lebih banyak orang akan didorong untuk mempelajarinya.

Penulis Rusia, Ivan Turgenev (1818-1883) pernah berkata tentang bahasa Rusia: “Pada hari-hari yang penuh kebimbangan, pada hari-hari yang penuh renungan berat tentang nasib tanah airku maka engkaulah, bahasa Rusia yang agung, perkasa, jujur dan bebas merupakan satu-satunya sokongan dan dukungan bagiku! Kalau bukan kewujudan engkau, aku pasti putus asa melihat segala yang terjadi di tanah airku. Tidak mungkin tidak percaya bahawa bahasa agung seperti itu diberi kepada bangsa yang agung juga!”

Saya fikir nukilan itu benar terhadap bahasa Melayu juga: “Tidak mungkin tidak percaya bahawa bahasa agung seperti itu diberi kepada bangsa yang agung juga!”

Profesor Dr. Victor A. Pogadaev ketika berpidato tentang perkembangan bahasa Melayu di Rusia, bersempena dengan Bulan Bahasa Kebangsaan di Kota Bharu, Kelantan pada tahun 2013.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi