8 Ogos 2021, 14:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

JOHOR – Dalam agama Islam, bahasa memainkan peranannya sebagai mekanisme utama yang penting untuk memberikan makna dan kefahaman, selain dapat membaca dan menulis demi memudahkan kewajipan mencari ilmu yang berkaitan dengan ajaran Islam sebagai agama yang syumul. Ilmu itu mencakupi persoalan zahir batin, alam nyata dan alam ghaib, persoalan hidup mati, dan dengan maksud untuk menghayati serta melaksanakan perintah Allah SWT dan sunah Rasulullah SAW. Bahasa secara fitrah ialah kurniaan Allah SWT kepada manusia. Manusia menerima atau menyampaikan mesej ketuhanan melalui bahasa selain meneguhkan keimanan terhadap Allah SWT.

Fungsi bahasa adalah untuk pengilmuan manusia. Bahasa digunakan untuk mengenal pasti kekuatan sesuatu bangsa dan tamadun lain. Masyarakat menjadi maju dengan memindahkan ilmu sesuatu bahasa lain ke dalam bahasa sendiri. Contohnya, melalui penterjemahan kitab bahasa lain ke dalam bahasa sendiri seperti yang berlaku di Acheh, Kalimantan, Patani, Semenanjung Tanah Melayu, dan Brunei yang diterjemahkan oleh ulama setempat ke dalam bahasa masing-masing. Tujuannya jelas, iaitu para dai dahulu berpegang pada al-Quran dalam ayat 4, Surah Ibrahim, yang bermaksud ajaran ilmu yang berkesan perlu dalam bahasa yang difahami oleh bangsa itu sendiri.

Dalam konteks Malaysia, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan digunakan dalam urusan rasmi. Perpaduan kebangsaan dan kecekapan pentadbiran juga dicapai dengan penggunaan bahasa Melayu. Fungsi bahasa sebagai jiwa bangsa sebagai asas pembentukan konsep diri manusia, pengilmuan manusia, perantaraan perhubungan sosial dan perantaraan pewarisan tamadun.

Asas pembinaan dan penakatan tamadun diperoleh melalui pelbagai tamadun manusia yang tumbuh dan berkembang seiring dengan pertumbuhan dan perkembangan bahasanya. Pada abad ke-17, peranan besar bahasa Melayu sudah menjadi sebagai bahasa pentadbiran kerajaan, bahasa perdagangan, bahasa pengajian dan lingua franca. Tamadun Melayu mencapai zaman keemasan sesudah datangnya agama Islam, paling lewat pada abad ke-13, dengan bahasa Melayu menjadi bahasa akidah dan syariah, bahasa ilmu lain, bahasa ketatanegaraan, bahasa undang-undang, bahasa diplomasi dan bahasa perdagangan.

Bahasa Melayu yang diwarisi hingga kini terbentuk dalam era kebudayaan Melayu Islam. Bentuknya yang baku (dalam hal bentuk dan susunan ayat) jauh berbeza daripada bahasa Melayu pada zaman kuno yang dipengaruhi oleh bahasa Sanskrit dan tidak difahami lagi oleh orang Melayu kini. Islam mewariskan tulisan yang memungkinkan berkembangnya agama dan tradisi ilmu di seluruh alam Melayu. Fahaman kebangsaan dengan pengertian umat Melayu Islam terbentuk dengan bahasa Melayu sebagai lingua franca, bahasa ilmu dan lain-lain.

Profesor Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan ketika bersiaran secara langsung pada pagi tadi.

“Bahasa sangat luas cakupan dan fungsinya. Oleh itu, manusia perlu menggunakan bahasa secara baik bagi tujuan kebaikan. Bahasa tidak seharusnya disalahgunakan untuk tujuan kejahatan seperti mengadu domba, memfitnah dan mencaci. Bahasa Melayu milik semua warganegara. Oleh itu, ahli masyarakat perlu bertanggungjawab dalam kelestarian dan keampuhan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam usaha memajukan dan menjaga maruah bahasa Melayu. Bahasa Melayu juga ialah unsur pembina jati diri manusia tanpa mengira etnik. Bahasa baku penting sebagai tonggak tamadun bangsa dan negara. Antara wasiat oleh Hassan al-Bana termasuklah keperluan mempertahankan bahasa baku kerana ilmu perlu diolah dalam bahasa yang baku dan baik.”

Demikianlah penjelasan oleh Profesor Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan, iaitu Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, selaku Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia dengan ceramahnya, iaitu “Bahasa Kita Tanggungjawab Kita” yang bersiaran secara langsung menerusi aplikasi Zoom pada pukul 9.30 pagi tadi menerusi majlis di Ambang Maal Hijrah.  Tema Maal Hijrah 1443H  ialah “Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti” dan program ini anjuran Pertubuhan  Kesedaran Melayu dan Islam, Darussalamah WarRahmah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.