15 Ogos 2021, 14:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KUALA LUMPUR − Bahasa Melayu dapat menyatukan rakyat pelbagai kaum di negara ini. Oleh itu, setiap rakyat perlu menghormati, menguasai dan memartabatkan bahasa Melayu tidak kira di mana-mana sahaja. Hal ini dibuktikan oleh Logesh Kumaar yang kini menetap di Amerika Syarikat, yang masih menggunakan bahasa Melayu, selain bahasa Inggeris ketika berkomunikasi sesama ahli keluarganya. Beliau berbangga kerana dirinya anak jati Malaysia.

Menurutnya lagi, bahasa Melayu ialah sebahagian daripada identitinya sebagai seorang anak Malaysia. Beliau juga tidak malu untuk bertutur dalam bahasa Melayu, malah berasa amat bangga kerana dapat membawa bersama-sama bahasa, budaya dan adat Malaysia ke negara luar. Selain bertutur dalam bahasa Melayu, beliau turut mempraktikkan budaya dan adat Malaysia di bumi Amerika. Contohnya, adat membawa buah tangan kepada seseorang apabila menziarahi seseorang, memberi makanan terbaik kepada jiran dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada orang yang memerlukan pertolongan.

Amalan hidup secara bermasyarakat dan bergotong-royong turut diamalkannya kerana dapat membina sifat kemesraan dalam kalangan ahli masyarakat berbanding dengan gaya hidup orang Amerika yang lebih suka hidup secara individu. Di samping itu, beliau dan keluarga juga mengamalkan prinsip hidup dengan konsep rumah terbuka, iaitu tidak perlu terlalu formal sebagaimana adat yang ada di Malaysia.

Logesh juga mengajar isterinya, Rachel bertutur dalam bahasa Melayu kerana beliau mahukan ahli keluarganya mengetahui tentang bahasa ibunda negara asalnya. Selain mengajar mereka untuk menguasai bahasa Melayu, Logesh turut menerangkan tentang budaya Malaysia.

“Saya rindu untuk berborak dalam bahasa Melayu. Negara kita juga sangat unik pada pandangan mata masyarakat negara luar. Saya akan cuba mempromosikan budaya, bahasa, dan adat Malaysia di luar negara dalam usaha untuk menyebarluaskan lagi penggunaan bahasa Melayu di bumi Amerika. Yang penting, jangan malu untuk mengakui diri sebagai anak jati Malaysia.”

Demikianlah penjelasan oleh Logesh dalam “Rancangan Luar Jendela: Logesh Kumaar − Duta Kecil Bahasa Melayu di Bumi Amerika” menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP yang bersiaran secara langsung dari California, Amerika Syarikat pada pukul 10.00 malam tadi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.