Oleh Jeniri Amir
18 Ogos 2021, 16:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Hikayat Panglima Nikosa (HPN), karya Ahmad Shawal Abdul Hamid, yang diterbitkan pada tahun 1876 di Kuching, Sarawak, telah ditemui tersimpan di Rhodes House Library, Oxford, pada tahun 1981.

Novel yang berusia 145 tahun itu diterbitkan pada zaman pemerintahan Charles Brooke, enam tahun selepas Sarawak Gazette diterbitkan. Novel berkenaan telah diteliti dari pelbagai aspek tetapi belum terdapat kupasan yang mendalam dari sudut bahasa.

Naskhah simpanan Sir Hugh Low, yang pernah berkhidmat di bawah James Brooke, sebelum menjadi Residen Perak pada tahun 1877 itu mengisahkan tentang watak seorang pemuda yang bernama Nikosa, yang telah diminta oleh ayahnya untuk membantu mempertahankan dan mengamankan “negeri di sebelah timur” daripada serangan pihak musuh.

Karya ini bagi banyak sarjana membawa pembaharuan dari pelbagai segi dari segi persoalan atau tema, plot, perwatakan dan latar cerita. Sebagai novel Melayu pertama di negara ini, karya ini tentulah menggambarkan realiti dan semangat zaman yang menarik untuk dicerakin.

Apakah keistimewaan HPN dari segi bahasa? Adakah karya yang memaparkan ideologi pembaharuan dari segi pertanian, pendidikan, perancangan ekonomi, dan  perumahan itu menarik dari segi bahasa? Sejauh manakah bahasa sezaman diserlahkan dalam novel itu?

Seperti novel sezaman yang lain, hikayat ini dimulakan dengan ungkapan lazim: “Alkisah, maka adalah diceterakan oleh orang yang empunya cetera ini, maka adalah pada zaman ini di dalam negeri yang di sebelah timur…” Alkisah yang biasa digunakan dalam hikayat atau tulisan pada zaman dahulu bermaksud menurut ceritanya.

Hakikatnya, HPN tidak dapat lari daripada perkataan dan ungkapan klasik yang sudah menjadi kelaziman dan konvensi dalam karya yang berusia lebih seabad. Perkataan yang bersifat klasik berfungsi sebagai penghias, penyedap atau pemula ayat. Ciri-ciri bahasa sedemikian selalu ditemui dalam naskhah hikayat Melayu lama.

Daripada pemerhatian dalam teks ini, pengarangnya yang juga jurutulis Kerajaan Brooke, gemar menggunakan ayat yang panjang-panjang tetapi tidaklah sampai menyulitkan pembacaan.

Dari segi struktur ayat, Ahmad Shawal masih lagi tidak membawa apa-apa pembaharuan. Sebagai karya pada peringkat awal, sama seperti karya Abdullah Munshi dalam Hikayat Abdullah, pengarang novel ini masih tidak dapat lari daripada penggunaan kata asli dalam tulisannya. Bukan sahaja bahasa yang digunakan itu bahasa lama tetapi struktur ayatnya juga masih dipengaruhi oleh bahasa hikayat.

Penggunaan kata-kata asli seperti maka, hatta dan arakian sering digunakan. Kata “maka” digunakan daripada ayat pertama hinggalah kepada ayat terakhir dalam novel ini yang seolah-olah bertindak sebagai anafora. Dalam ayat pertama sahaja terdapat empat kali penggunaannya, manakala dalam dua perenggan terakhir terdapat lapan kali penggunaan perkataan yang bermaksud lalu, dan selepas itu.

Dalam seluruh teks terdapat 127 kali “maka” yang digunakan, menandakan bahawa unsur bahasa klasik dan lama begitu mempengaruhi pengarang. Selain maka, penanda wacana pemula lain yang digunakan ialah demikianlah, akan tetapi, setelah itu, hatta, pada tatkala itu, sekali peristiwa pada suatu hari, kemudian, demikianlah,  telah selesailah dan arakian.

Ternyata, pengarang yang berasal dari Sumatera ini belum dapat membebaskan secara total pengaruh tersebut. Contoh penggunaan kata-kata penghias ini dalam ayat klasik HPN berfungsi sebagai penanda wacana untuk menyatakan episod atau peristiwa yang telah berlalu dan akan berlaku, sekali gus memperlihatkan perubahan dalam pergerakan cerita atau peristiwa.

Buku Hikayat Panglima Nikosa merupakan novel Melayu pertama di negara ini. (Sumber foto: Dewan Sastera keluaran September 2020)

Seperkara yang menarik, laras bahasa istana turut digunakan, membayangkan darjat pengguna atau watak seperti beta. Dalam hierarki masyarakat yang dipaparkan, terdapat golongan rakyat biasa, menteri dan pemerintah. Terdapat juga “orang tua-tua, orang kecil-kecil atau orang kebanyakan dan “yang hina”. Dengan cara itu, dapat memperlihatkan susun lapis sosial dalam masyarakat pada ketika itu. Pengarang menyesuaikan penggunaan kata ganti nama yang sesuai apabila watak berbicara.

Yang turut dikesan dalam novel ini ialah penggunaan dialek tempatan seperti lepak, merakit, uma, mulong, buak angkalak, sepasuk padi, sepasuk biji mulong dan diringga. Namun begitu, perkataan arkaik  atau kuno termasuklah dialek Melayu Sarawak seperti adang dan diringga sudah tidak lagi digunakan pada hari ini.

Terdapat juga pengaruh bahasa daripada kaum Iban dalam HPN sebagaimana dibuktikan daripada kehadiran perkataan “mengayau”, yang bermaksud amalan  membunuh musuh pada zaman dahulu kala untuk diambil kepalanya bagi menunjukkan kepahlawanan seseorang atau untuk upacara ritual dalam masyarakat Dayak.

Bagi saya, selain daripada memperlihatkan penggunaan dialek tempatan, kehadiran unsur tersebut juga membuktikan bahawa novel ini memaparkan latar tempatan. Mancawarna tempatan dikentalkan dengan kehadiran unsur tersebut, apatah lagi dengan adanya kehadiran flora berkaitan yang turut terdapat di Sarawak.

Tidak dapat disangkal bahawa HPN juga menunjukkan adanya ciri pengaruh bahasa Melanau, khususnya yang berkaitan dengan tanaman rumbia yang lebih dikenali sebagai mulong dan kehadiran perkataan seperti lemantak. Sarawak terkenal dengan pengeluaran sagu. Perusahaan sagu sejak awal abad ke-19 merupakan nadi ekonomi masyarakat terutamanya masyarakat Melanau.

Satu titik tolak penting dalam perniagaan lemantak berlaku apabila Singapura mengimport produk tersebut pada awal abad ke-19. Kesudahannya, banyak kilang sagu didirikan oleh pemodal Cina di Singapura. Terdapat nama Jalan Sagu dan Lorong Sagu di Singapura, bersempena dengan kegiatan memproses sagu di kawasan terbabit mulai tahun 1840.

Pada tahun 1850-an, terdapat 30 kilang sagu dengan pengeluaran 8000 tan setahun daripada kilang-kilang di kawasan itu. Pada tahun 1877, Mukah dan Oya menyumbang sebanyak 36 peratus daripada keseluruhan jumlah sagu yang dieksport dari Sarawak, sebelum meningkat kepada 88 peratus pada tahun 1885.

Novel ini seperti novel pada zaman moden turut memperlihatkan percubaan pengarang untuk menerokai sempadan kemungkinan bahasa dari segi aspek jalinan penulisan. Meskipun demikian, penerokaan dan percubaan itu masih lagi pada tahap minimum terutamanya jika ditinjau dari sudut teori retorik atau stilistik mengikut ukuran pada hari ini. Setidak-tidaknya, adanya usaha pengarang untuk menimbulkan kesan tertentu melalui wacana atau teks yang dikarangnya. Hal ini demikian kerana unsur stilistik lain seperti metafora kelihatan tidak digunakan.

Bagi saya, yang menarik ialah bagaimana dalam percubaannya untuk menimbulkan kesan kental terhadap perkara yang digambarkan, pengarang cenderung untuk melebih-lebihkan gambarannya dengan menggunakan ungkapan tertentu yang bersifat hiperbolik atau berlebih-lebihan.

Di banyak tempat dalam teks ini, terdapat unsur yang melebih-lebihkan gambaran sama ada dari segi emosi, keadaan dan sebagainya. Hal ini dibuktikan daripada penggunaan frasa seperti “terlalulah sangat ketakutan dan bimbang hatinya tiadalah tentu bekerja di luar rumah”. Hal ini bagi melukiskan perasaan ayah Nikosa disebabkan oleh kehadiran musuh.

Ayat yang berikut turut mengukuhkan kenyataan ini, “Dan lagi, sekalian orang-orang perempuan dan anak-anak kecil berteriak-teriak di dalam tidurnya sebab di dalam tidurnya adalah termimpi-mimpi musuh datang hendak melanggar rumah”. Ungkapan lain pula termasuklah “terlalulah suka serta asyik mendengar”, “ceteranya”, “orang kecil-kecil yang hina, sedangkan orang yang tua-tua lagi tercengang-cengang” dan “terlalulah susah, terlalulah sakit”.

Ayat “maka ia pun menarik nafas baru, terlalulah panjang sampai kedengaran  hendak terbelah dua dan air matanya pun melelehlah sebagai hujan gugur dari langit,” serta “mukanya gilang-gemilang dan nafsunya pun seperti baru bertumbuh”, “riuh-rendah bunyinya melanggar musuh yang sampai banyaknya beribu-ribu tubuhnya”, dan “hati Nikosa pun terlalulah naik besar seperti bulan waktu purnama” pula menunjukkan adanya unsur hiperbola.

Pengarang juga banyak menggunakan ungkapan “terlalulah” untuk menggambarkan kadar kesangatan. Hiperbola ialah satu jenis gaya bahasa yang mengandung kata, frasa, ataupun kalimat yang berlebih-lebihan, baik dari sifatnya, ukurannya mahupun jumlahnya ketika pengarang menggambarkan sesuatu dengan maksud untuk menimbulkan kesan yang lebih bertenaga.

Disedari atau tidak, unsur hiperbola itu disertakan dengan unsur simile dengan kehadiran ungkapan “melelehlah sebagai hujan turun dari langit”. Di tempat lain, apabila memerihalkan keadaan rupa Pilina yang hidup susah dan miskin kerana menanggung beban hutang sehingga hidupnya susah, pengarang melukiskan sebegini: “…rupanya dan pakaiannya pun tiadalah sempurna serta tubuhnya pun nipis seperti orang tiada makan dan minum sepuluh hari” bagi menggambarkan keadaan fizikal watak berkenaan.

Unsur simile juga digunakan “seperti lelah orang bertugal air”. Gambarannya berlebihan kerana unsur hiperbola yang ditambah dengan unsur simile bagi menimbulkan kesan melampau.

Jelaslah, pengarang sedar bahawa penggunaan unsur bahasa tersebut adalah untuk menekan, memperhebat, mahupun memberikan kesan yang berlebihan terhadap pelukisannya dalam teks dan wacana yang dihadirkan.

Selain simile, simpulan bahasa yang biasa digunakan dalam kalangan masyarakat Melayu Sarawak turut digunakan seperti “angkat-angkat bujang” yang bermaksud umur akil baligh dan “menaruh hati yang murah kepada orang semuanya” yang bermaksud suka memberikan bantuan atau pertolongan.

Novel ini turut memperlihatkan keunikannya dari segi persoalan dan pemikiran, selain daripada cubaan pengarang untuk memanipulasikan unsur bahasa. Meskipun ditulis hampir 150 tahun lalu, tidak syak lagi bahawa pengarang sedar akan perlunya unsur bahasa sastera dianyam ke dalam teks berkenaan.

Dengan cara itu, pengarang cuba menerokai sempadan kemungkinan bahasa dengan mengeksploitasikan pelbagai unsur bahasa sastera dengan daya imaginasi, kreativiti dan kemahirannya sebagai guru bahasa pada zaman pemerintahan Brooke. Kehadiran unsur jalinan penulisan dan retorik dan stilistik tertentu dalam teks berkenaan membantu untuk meningkatkan nilai keindahan bahasa dan sastera dalam novel bersejarah itu.

 

 

Dr. Jeniri Amir − Pengamat bahasa dan penganalisis politik yang merupakan Felow Kanan Majlis Profesor Negara.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi