30 Ogos 2021, 16:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 

KUALA LUMPUR – Masyarakat kini berada dalam abad yang penuh cabaran kerana berhadapan dengan perkembangan dan pengaruh teknologi maklumat dan komunikasi. Oleh itu, cara hidup masyarakat dan sistem nilainya perlu berubah dengan terus memperteguh penggunaan bahasa Melayu. Bahasa Melayu lambang jati diri dan semangat kebangsaan yang harus dipertahankan oleh masyarakat.

Melihat peri pentingnya bahasa Melayu pada abad ini, Persatuan Kemajuan Wanita Kelantan di Kuala Lumpur dan Selangor (PUSPA) dengan kerjasama Kursi Institusi Raja-Raja Melayu UiTM dan Forest Edge Production telah menganjurkan program Syarahan Kijang Kencana bersempena dengan bulan Ogos sebagai bulan kemerdekaan. Program syarahan yang turut dihadiri oleh Penaung PUSPA, iaitu Yang Mulia Tan Sri Dato’ Paduka Tengku Noor Zakiah Tengku Ismail (usahawan wanita terkenal di Malaysia dan di persada dunia), yang bersiaran secara langsung melalui Facebook PUSPA pada pukul 11.00 pagi tadi itu membawa tema “Bahasa Melayu, Budaya, Undang-undang dan Era Digital”.

Yang Mulia (YM) Tan Sri Dato’ Paduka Tengku Noor Zakiah Tengku Ismail, Penaung PUSPA.

Syarahan Kijang Kencana yang saban tahun diadakan di Kediaman Yang Berhormat Mulia Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, iaitu Penasihat I PUSPA, tidak dapat diadakan secara bersemuka kerana pandemik COVID-19. Syarahan yang julung-julung kali diadakan secara maya itu menampilkan tokoh bahasa, iaitu Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Haji Abdul Karim, Penasihat II PUSPA, Profesor Datuk Dr. Shamrahayu Ab. Aziz, Penyandang Kursi, Institusi Raja-Raja Melayu, UiTM dan Datuk Yasmin Mahmood, Pengerusi Skymind Holdings Bhd. Moderator bagi syarahan tersebut ialah Profesor Kehormat Dr. Azizah Hamzah dari Universiti Malaya yang juga merupakan Presiden PUSPA.

Melalui syarahannya yang bertajuk “Bahasa Jiwa Bangsa: Satu Tamadun Satu Bahasa”, Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah menyatakan bahawa antara cabaran terkini bahasa Melayu di negara ini ialah pengaruh penggunaan bahasa Inggeris yang amat kuat disebabkan oleh sejarah penjajahan dan dasar peminggiran bahasa Melayu.

 

Profesor Emeritus Datuk Dr, Nik Safiah Haji Abdul Karim, Penasihat II Persatuan Kemajuan Wanita Kelantan di Kuala Lumpur dan Selangor (PUSPA).

Sikap tidak peka dalam diri rakyat termasuklah orang Melayu sendiri yang terlalu kagum akan bahasa Inggeris dan kurang yakin akan keupayaan bahasa kebangsaan itu sendiri menyebabkan semangat untuk menyemarakkan bahasa kebangsaan menjadi luntur. Contohnya, mereka memilih untuk berbahasa Inggeris dalam situasi yang memerlukan penggunaan bahasa kebangsaan seperti dalam mesyuarat rasmi.

Beliau juga tidak menafikan kepentingan menguasai bahasa lain seperti bahasa Inggeris tetapi bahasa Melayu perlulah diutamakan. Masyarakat juga mesti memupuk sikap yang baik terhadap bahasa kebangsaan sendiri, iaitu berasa bangga dan setia terhadapnya dan sentiasa menghormatinya melalui penggunaan bahasa yang baik dan betul selain perlu mewujudkan suasana menjiwai bahasa kebangsaan. Aspek emosi juga perlu dibina dengan sifat menghayati keindahan dan kecantikan bahasa. Suasana mesra bahasa juga perlu sentiasa diamalkan kerana bahasa lambang tamadun bangsa.

Perkara ini turut diperakui oleh penceramah kedua, Profesor Datuk Dr. Shamrahayu yang memperihalkan beberapa undang-undang berkaitan dengan bahasa Melayu. Misalnya, Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967, Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) dan Akta Dewan Bahasa 1959 (Disemak 1978) (Akta 213) yang menetapkan peranan dan kedudukan bahasa Melayu.

“Maka itu, bahasa Melayu hendaklah digunakan bagi maksud rasmi. Bagi tujuan Perkara 152, maksud rasmi bererti, ‘Kerajaan’ sama ada ‘Kerajaan Persekutuan’ atau ‘Kerajaan Negeri’, dan termasuklah ‘apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam’,” ujarnya menerusi syarahan yang bertajuk “Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan: Masa Depannya”.

Profesor Datuk Dr. Shamrahayu Ab. Aziz, Penyandang Kursi, Institusi Raja-Raja Melayu, UiTM.

Dalam mendepani era teknologi maklumat dan komunikasi pula, selain menitikberatkan penggunaan bahasa Melayu yang baik, Datuk Yasmin Mahmood menerusi syarahannya yang bertajuk, “Cabaran Dunia Digital dan Inovasi: Di Manakah Kita?, mengajak masyarakat untuk melangkah ke hadapan dengan memanfaatkan teknologi terkini dan melakukan inovasi dalam kehidupan. Hal ini demikian kerana dalam Revolusi Industri 4.0, teknologi memberikan impak yang besar kepada sektor ekonomi. Melalui teknologi, tampil pelbagai kerja baharu untuk masa depan yang mampu meningkatkan produktiviti dan kemajuan bangsa.

 

Datuk Yasmin Mahmood, Pengerusi Skymind Holdings Bhd.

Jelas beliau lagi, masyarakat pada hari ini perlu sedar dan bersiap siaga menerima perubahan dengan melengkapkan diri dengan dua perkara penting, iaitu kemahiran berfikir (pemikiran kritis, penyelesaian masalah dan pemikiran kreatif) dan kemahiran tingkah laku (bercerita dan kemahiran bekerjasama). Kemahiran ini berupaya menjanakan inovasi dalam kalangan masyarakat untuk diadaptasi dalam dunia pekerjaan dan teknologi digital dan akan menentukan kedudukan seseorang dalam dunia digital. Dalam meningkatkan kemahiran dan mengupayakan teknologi, beliau turut mengingatkan masyarakat agar mengetengahkan bahasa Melayu dalam ruang siber supaya bahasa Melayu menjadi bahasa ekonomi dan bahasa teknologi.

Moderator majlis, iaitu Profesor Kehormat Dr. Azizah Hamzah, selaku Presiden PUSPA.

Pada akhir syarahan, Profesor Dr. Azizah selaku moderator merumuskan bahawa landskap budaya masyarakat Malaysia mempunyai masa hadapan depan yang cerah sekiranya generasi kini bangkit mengadaptasikan teknologi dengan memanfaatkan bahasa Melayu dan kemahiran ilmu yang ada. Syarahan yang berlangsung selama dua jam lebih yang dikendalikan oleh pengacara majlis, Puan Siti Noorisa Abdul Khlil itu turut dihadiri oleh ahli PUSPA, pelajar institusi pengajian tinggi dan masyarakat awam.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi