2 September 2021, 21:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Masih adakah lagi peribahasa Melayu dalam jiwa orang Melayu veteran yang masih hidup dan berapa banyakkah orang Melayu moden pada hari ini yang mengetahui, serta mempedulikannya? Berapa banyakkah lagi orang Melayu pada hari ini yang masih suka atau sedia berperi-peri dan berbasa basi dalam urusan harian mereka?

Disukai atau tidak dan masih perlu atau sebaliknya bagi orang Melayu pada hari ini, perkara yang memberikan kebaikan amat wajar “hidup” dan dikekalkan hingga ke akhir dunia. Peribahasa Melayu mempunyai falsafah serta pengajaran yang mendorong perbuatan baik seperti rajin berusaha, bersifat sabar, tidak mudah putus asa dan saling membantu jika setiap golongan masyarakat memanfaatkannya, serta meneladaninya.

Oleh sebab peribahasa Melayu begitu penting, ada dua perkara yang perlu diberi perhatian serius kerana hal tersebut bukan soal remeh. Perkara pertama, generasi muda pada hari ini harus berusaha untuk mempertahan kewujudan, memperkembang dan menaik taraf peribahasa Melayu.

Bagi perkara kedua pula, usaha harus dibuat dan dipergiat agar lebih banyak golongan muda yang cakna dan mengetahui tentang peribahasa, serta memahami dan menghayati maknanya, seterusnya mengambilnya sebagai pengajaran.

Sejak beberapa tahun belakangan ini, tidak banyak anak muda Melayu yang dapat memahami maksud, apatah lagi mengambil iktibar daripada peribahasa yang ada. Mereka enggan berusaha untuk mengetahui, mempelajari atau berbangga dengan warisan tersebut.

Tidak berminat dan tiada kecaknaan terhadap peribahasa sememangnya krisis yang mesti diatasi. Oleh itu, usaha perlu dilakukan dengan giat agar kesedaran mereka untuk menghargainya dapat dibangkitkan semula. Beberapa agensi di bawah kementerian tertentu merupakan antara badan yang boleh memainkan peranan dalam melestarikan peribahasa Melayu.

Antaranya, tentulah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia, serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Jabatan Warisan Negara dan Perpustakaan Negara Malaysia (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia).

Memang tidak dapat dinafikan bahawa usaha yang positif dalam mengekalkan peribahasa Melayu sudah lama wujud. Sebagai contoh, usaha yang dilakukan itu dengan menyelitnya menerusi mata pelajaran Bahasa Melayu dan sesekali dalam ruangan peribahasa bergambar dalam majalah terbitan DBP seperti Dewan Pelajar.

Namun demikian, usaha tersebut belum mencukupi kerana penonjolannya sekadar dibaca dan dipelajari tanpa penghayatan. Pengajaran peribahasa Melayu di sekolah-sekolah juga perlu dianggap penting dan bukan sekadar memenuhi kurikulum yang digubal.

Peribahasa Melayu yang menganjurkan segala usaha ke arah kebaikan, pengajaran dan nasihat mestilah diutamakan. Dengan demikian, generasi akan datang dapat menilai sikap dan rupa masyarakat nenek moyang mereka menerusinya, sementelah peribahasa itu merupakan ilmu yang tidak terbatas.

Antara contoh peribahasa Melayu itu termasuklah seperti “Berjagung-jagung dahulu sementara menunggu padi masak”, “Belakang parang kalau diasah lagikan tajam”, “Sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit”, “Sesat di hujung jalan balik ke pangkal jalan”, “Seperti aur dengan tebing”, “Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat”, “Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”, “Cubit paha kiri, paha kanan terasa juga”, “Air dicencang takkan putus”, “Sarang tebuan jangan dijolok”, dan “Air tenang jangan disangka tiada buaya”.

Kesemua contoh peribahasa tersebut mengandungi maksud pengajaran yang amat dalam, selain menyelitkan nilai murni, yang sekali gus menggambarkan cerminan masyarakat Melayu itu sendiri. Lebih elok dan menarik sekiranya tidak dibuat pengelasan mengenai beberapa peribahasa yang seakan-akan atau serupa maknanya untuk memudahkan pemahaman atau tafsiran.

Sebagai contoh, “Berjagung-jagung dahulu sementara menunggu padi masak”, “Belakang parang kalau diasah lagikan tajam”, dan “Sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit”, membawa pengajaran agar gigih berusaha dan sabar. Gigih berusaha dan sabar merupakan sifat dan sikap orang Melayu, serta perkara positif yang patut dikekalkan dan diteladani.

“Sesat di hujung jalan balik ke pangkal jalan” pula mengajar seseorang itu agar segera insaf dan kembali semula ke permulaan atau landasan sebenar, setelah menyedari kesilapan yang dilakukan. Peribahasa itu juga mengajar kita agar tidak cepat putus asa dan mudah kecewa.

“Seperti aur dengan tebing”, “Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat”, “Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”, dan “Cubit paha kiri, paha kanan terasa juga” pula menanamkan sifat mulia seperti bersatu padu, bergotong-royong, dan bantu-membantu.

Bergotong-royong dan bantu-membantu memang amalan yang tidak asing lagi dalam kehidupan masyarakat Melayu. Namun begitu, sejak akhir-akhir ini, amalan tersebut nampak semakin surut. Sikap individualistik dan berpecah-belah pula kian melebar yang sememangnya tidak diingini dalam norma bermasyarakat, malah tidak diajar oleh agama Islam pun. Oleh itu, masyarakat Melayu pasti memahaminya kerana mereka beragama Islam.

Banyak manfaat boleh dikecapi hasil amalan hidup bergotong-royong dan bersatu-padu. Kesenangan sama-sama dinikmati, dan kesusahan turut diatasi bersama-sama juga. Kekuatan dapat dibina untuk menghadapi ancaman musuh. Perselisihan sesama saudara boleh diatasi. Saudara tetap saudara tanpa mengira siapa pun mereka. Setiap kejahatan atau kesalahan sedia dimaafkan. Hubungan persaudaraan tetap terjalin dan tidak akan putus sebagaimana maksud sebuah lagi peribahasa, iaitu “Air dicencang takkan putus”.

Sementara itu, peribahasa “Sarang tebuan jangan dijolok” dan “Air tenang jangan disangka tiada buaya” mengajar seseorang itu agar berhati-hati, serta tidak mencari kesusahan. Pengajaran ini menyentuh persoalan yang kecil dan besar. Namun begitu, yang utamanya ialah memberikan peringatan dan pengajaran.

Seboleh-bolehnya, ketika hidup di dunia, seseorang itu perlu mencari seberapa banyak kawan dan bukannya musuh. Selain itu, jangan pergi ke tempat berbahaya untuk mencari kesusahan kerana itu perbuatan sia-sia yang tidak wajar dilakukan.

Sentiasalah berhati-hati sebelum atau semasa melakukan sesuatu  perkara kerana perbuatan itu dapat mengelakkan seseorang itu daripada bertemu atau terperangkap dengan kesusahan. Amalan positif itu juga dapat membantu seseorang untuk melepaskan diri dengan mudah jika bertemu dan terperangkap dengan kesukaran kerana sentiasa bersedia.

Dengan pengajaran baik daripada peribahasa tersebut, tidak mustahil orang Melayu boleh hidup bahagia, maju dan makmur jika benar-benar mengambil iktibar daripadanya.

Yang sebenarnya, orang Melayu mampu menjadi satu bangsa yang besar dan mulia jika mereka kekal bersandar pada peribahasa itu, selain ajaran Islam. Falsafahnya pun selari dengan ajaran agama suci ini.

Malangnya, tidak banyak anggota masyarakat yang mahu atau dapat meneladani pengajaran  melalui peribahasa kerana kurang beringat. Lantaran jarang-jarang diperingat tentang hal itu, gejala buruk seperti mudah kecewa, iri hati, suka mencari perbalahan, malas, berpecah-belah dan mudah berpuas hati dengan apa-apa yang ada mudah mempengaruhi generasi muda kini.

Orang tua-tua dahulu jelas begitu pintar menyelitkan pengajaran yang baik dan positif secara diplomasi menerusi penciptaan peribahasa. Keindahan bahasa dalam peribahasa yang dicipta itu juga boleh dianggap sebagai salah sebuah karya sastera dan pemikiran budaya bangsa yang perlu dipertahankan.

Peribahasa sememangnya istimewa kerana tetap sesuai pada zaman serba moden dan mencabar kini walaupun ada yang menyatakan sebaliknya dan ketinggalan zaman.

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.