21 September 2021, 18:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KUALA LUMPUR − Bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi, bahasa kebangsaan dan juga bahasa pengantar utama untuk berkomunikasi di Malaysia. Bahasa Melayu juga bukan sekadar lambang jati diri warga Malaysia, bahkan sebagai lambang negara Malaysia di persada dunia. Namun begitu, ada segelintir dalam kalangan masyarakat yang beranggapan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa untuk golongan rendah dan mereka juga lebih mengagung-agungkan bahasa Inggeris, terutamanya dalam bidang sains dan matematik.

Sains dan matematik ialah ilmu pengetahuan, sementara bahasa yang digunakan pula sebagai bahasa pengantar. Sehubungan dengan itu, masyarakat perlu sedar tentang konsep bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan selaku bahasa ibunda. Oleh itu, bahasa Melayu perlu digunakan dengan selesa dan ilmu dalam kedua-dua bidang tersebut juga perlu diperluas dengan penggunaan bahasa Melayu dalam usaha mengembangkan bidang teknologi dan maklumat di samping penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua.

Dengan mengambil kira perkara tersebut, Dewan Bahasa dan Pustaka melalui Bahagian Peristilahan dan Leksikologi dengan kerjasama Persatuan Sains Matematik Malaysia (PERSAMA) menganjurkan program Bual  Bicara yang bertajuk “Memperkasakan Bahasa Melayu dalam Sains Matematik: Realiti dan Cabaran” bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan 2021 (peringkat pertubuhan bukan kerajaan).

Antara panel yang diundang bagi program tersebut termasuklah YBhg. Dato’ Profesor Dr. Noraini Idris dari Universiti Malaya yang juga selaku Pengerusi Persatuan STEM Kebangsaan, YBhg. Profesor Emeritus Dr. Shaharir Mohamad Zain (Felow Kehormat, IKIM) dan YBhg. Profesor Dr. Mohd Salmi Md Noorani (Pensyarah Sains dan Matematik, UKM) dan YBhg. Dr. Daud Mohamad dari Universiti Teknologi MARA sebagai pemudah cara menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP pada pukul 10.30 pagi tadi.

Para panel yang terlibat ketika bersiaran secara langsung.

Menurut YBhg. Dato’ Profesor Dr. Noraini Idris, bahasa Melayu amat dibanggakan oleh rakyat Malaysia sebagai bahasa ibunda. Semua peringkat golongan daripada masyarakat umum sehingga kepada ahli-ahli politik perlu menggunakan bahasa Melayu dalam bidang sains dan matematik.

“Peranan sains dan matematik lebih kepada cara kita melahirkan insan yang berupaya berfikir untuk mencari penyelesaian masalah, berinovasi dan kreatif yang bukan sekadar individu yang suka menggunakan medium teknologi sahaja. Sebagai contoh, isu utama dunia pada masa ini berkaitan dengan kesihatan. Di sinilah peranan sains dan matematik dalam membantu negara melalui penggunaan data yang berkaitan dengan COVID-19. Data tersebut dipaparkan pada setiap hari. Daripada data tersebut, kita dapat mempelajari tentang sains dan matematik. Di sinilah pentingnya sains dan matematik dalam kehidupan seharian dan data perlu diperbanyak dalam bahasa Melayu. “

Ujarnya lagi, sains dan matematik dapat membantu seseorang itu membuat keputusan atau menyelesaikan masalah secara inovatif dan kreatif.  Oleh itu, sains dan matematik perlu diterokai oleh semua masyarakat. Sebagai contoh, matematik dapat membantu seseorang itu berfikir secara analitik dalam membuat hujah dan keputusan.

Manakala menurut YBhg. Profesor Emeritus Dr. Shaharir Mohamad Zain pula, para naib canselor di universiti awam dan swasta perlu membina satu perancangan bagi pembinaan bahasa Melayu di samping kesedaran dalam pembinaan negara bangsa.

Di samping itu, menurut YBhg. Profesor Dr. Mohd Salmi Md Noorani, bahasa Melayu mestilah terus digunakan dengan gah dalam bidang sains dan matematik bagi memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Usaha menampilkan sains dan matematik dalam bahasa Melayu perlu dipergiat dan diperluas agar bidang ilmu ini kekal relevan di negara ini.

“Kita harus membawa ilmu sains dan matematik kepada masyarakat umum dalam bahasa yang paling bersahaja, iaitu melalui penggunaan bahasa Melayu. Tidak ada cacat celanya dari segi penggunaan bahasa ini dalam bidang sains dan matematik. Dengan cara ini, kita bukan sahaja boleh menjadikan masyarakat lebih berpengetahuan, lebih canggih dan sofistikated, bahkan dapat menjadikan sains dan matematik sebagai ilmu rintis yang bukan hanya untuk pengajian di menara gading sahaja. selain itu, penggunaan media sosial seperti Youtube, Twitter, Blog, Instagram dan lain-lain juga dalam bidang sains dan matematik juga perlu diperbanyakkan.” ujarnya lagi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.