2 Oktober 2021, 15:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KUALA LUMPUR − Media sosial menjadi sarana komunikasi kepada masyarakat. Oleh sebab itu, sebagai satu medium penyampaian wadah dan maklumat kepada masyarakat, peranan penyampai berita sangat penting dan perlu menitikberatkan penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul. Badan penyiaran pula berperanan sebagai pengutus warta dalam menonjolkan bahasa Melayu sebagai bahasa dunia di peringkat antarabangsa.

Menurut YBhg. Dato’ Harjit Singh Hullon, iaitu Ikon Penyampai Berita, peranan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai badan induk bahasa sangat penting dalam usaha memantau penggunaan bahasa Melayu yang baik dalam kalangan penyiar.

Katanya lagi, bahasa yang digunakan dalam media sosial memang tidak boleh dikawal. Oleh itu, beliau turut mencadangkan agar setiap stesen televisyen perlu mempunyai wakil daripada pihak DBP untuk mengawal selia penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul dalam dunia penyiaran.

“Saya juga mencadangkan agar pihak DBP mengadakan pertemuan dengan stesen televisyen bagi tempoh beberapa bulan sekali untuk membantu mereka menggunakan istilah dan bahasa Melayu yang betul. Gunakanlah bahasa Melayu yang betul secara meluas dalam kehidupan kita. Satu bangsa, satu bahasa, iaitu bahasa Melayu, bahasa kebangsaan kita,” ujar beliau yang sangat berpengalaman dalam menyampaikan berita selama hampir 45 tahun.

Buku Penggunaan Bahasa dalam Surat Rasmi: Bahasa dan Komunikasi (2016) dan Siri Kesantunan Bahasa: Kesantunan Bahasa dalam Pengurusan, Pentadbiran dan Media  (2018) tulisan Asmah Haji Omar yang diterbitkan oleh DBP antara buku yang boleh membantu memberikan garis panduan kepada pengutus warta, penyampai, penyedia berita, penyunting berita dalam meningkatkan penggunaan bahasa dalam penyiaran berita. Selain itu, penyampai berita juga boleh membuat rujukan bahasa dan istilah bahasa Melayu melalui portal Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) yang disediakan oleh pihak DBP.

Menurutnya lagi, tahap penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan pembaca berita pada hari ini lebih baik. Walau bagaimanapun, mereka perlu sentiasa memperbaik mutu bahasa Melayu dalam penyampaian berita dari semasa ke semasa.

Beliau pernah bertugas sebagai penyampai berita di Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) sejak tahun 1972 hingga tahun 2016. Pada tahun 2011, beliau bersara dan kemudiannya menyambung kontrak dengan RTM hingga tahun 2016.

YBhg. Dato’ Harjit Singh Hullon, ketika bersiaran secara langsung.

“Saya bertutur dalam bahasa Inggeris ketika di sekolah tetapi di luar sekolah, saya bertutur dalam bahasa Melayu. Prinsip saya, apabila berminat pada sesuatu bahasa itu maka kita akan dapat menguasai bahasa itu dengan baik. Kita akan belajar secara mendalam untuk menguasai bahasa tersebut. Saya amat meminati bahasa Melayu kerana bahasa ini yang paling mudah untuk dipelajari. Sekiranya kita berminat, berkehendak dan sentiasa ada kemahuan untuk belajar tentang sesuatu bahasa, maka kita akan berdaya usaha untuk menguasainya,” katanya lagi yang pernah berkhidmat sebagai juruhebah dan penyunting berita.

Menurut beliau, persediaan awal perlu dilakukan oleh pihak yang terlibat termasuklah pemberita (wartawan), penyunting berita dan pembaca berita sebelum sesuatu berita disampaikan kepada masyarakat. Teks berita itu bergantung pada cara penulisan skrip berita yang dibuat oleh wartawan dan kemudiannya diolah oleh penyunting.

Dalam konteks ini, penyampai berita bertindak sebagai “tukang” yang menyampaikan berita, manakala penyunting ialah penulis skrip dan perlu mengolahnya dengan baik agar berita yang disampaikan oleh penyampai berita itu menggunakan bahasa yang baik. Istilah yang digunakan juga mestilah yang mudah difahami oleh masyarakat umum. Maka itu, di sinilah pentingnya peranan penyunting skrip dalam memastikan teks yang disediakan itu dapat diterima dengan baik oleh masyarakat.

Bahasa Melayu dapat memberikan nilai kepada masyarakat apabila disampaikan secara santun oleh penyampai berita melalui penghayatan skrip yang dibaca. Selain itu, keterampilan penyampai berita juga penting dari segi berpakaian, bahasa badan dan nada suara. Penghayatan skrip juga penting agar mesej yang disampaikan berkesan kepada masyarakat.

Demikianlah antara penerangan oleh YBhg. Dato’ Harjit Singh Hullon, dalam Rancangan Bicara Karyawan Kebangsaan 2021: Bahasa Kebangsaan Pengutus Warta, yang disiarkan secara langsung menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP dan JendelaDBP pada pukul 10.00 pagi tadi. Yang turut hadir sebagai moderator ialah YBrs. Dr. Rosmani Omar, Ketua Editor Bahagian Majalah, DBP, Kuala Lumpur.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi