6 Oktober 2021, 14:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KUALA LUMPUR Bahasa Melayu yang indah sering digunakan dalam menterjemahkan budaya dan kehidupan masyarakat di Malaysia. Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menjelaskan bahawa bahasa Melayu ialah bahasa rasmi yang tidak boleh dipertikaikan fungsi dan peranannya sebagai bahasa kebangsaan. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara dimantapkan dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1967. Kepentingannya sebagai bahasa ilmu yang menjadi medium pengajaran dan pembelajaran telah membawa kepada pewartaan Akta Pendidikan 1961(Pindaan 1996). Namun begitu, pada masa yang sama, masyarakat pelbagai kaum di Malaysia bebas menggunakan bahasa masing-masing dalam situasi bukan rasmi.

Menurut YBhg. Dato’ Profesor Emeritus Dr. Teo Kok Seong (Felo Utama, Institut Kajian Etnik), bahasa Melayu pernah melalui zaman kegemilangannya sejak zaman lampau. Legasi budaya lampau bahasa Melayu begitu cemerlang, berwibawa dan menjadi lingua franca bagi aktiviti perdagangan, keagamaan dan seterusnya sebagai bahasa ilmu.

Tambahnya lagi, bahasa Melayu sebenarnya telah mencapai tahap bahasa tinggi dan bahasa ilmu kerana kajian sudah membuktikan bahawa bahasa Melayu sudah menjadi bahasa saintifik moden yang mampu mengungkap segala hal dalam pelbagai bidang ilmu. Dalam hal ini, Dewan Bahasa dan Pustaka sudah lama memainkan peranannya untuk meningkatkan taraf bahasa Melayu sehingga menjadi bahasa ilmu tinggi.

Selain itu, bahasa Melayu juga berkeupayaan untuk memandaikan anak bangsa dan memajukan negara. Namun begitu, cabarannya terletak pada tahap penggunaannya dalam masyarakat. Masih ada dalam kalangan orang Melayu selaku penutur jati yang tidak yakin dan mempertikaikan keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa tinggi.

Mereka masih lagi menghadapi krisis keyakinan terhadap bahasa Melayu dan hal ini tidak sepatutnya berlaku. Keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu sudah dibuktikan melalui penulisan ilmiah dan kajian yang mampu mengungkap semua bidang dengan baik dan teratur. Masyarakat Barat juga mengagumi bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Sementara itu, YBhg. Dr. Nathesan Sellapan (Munsyi Dewan) pula berkata, pada masa ini, bahasa Melayu masih mantap dengan legasi budaya yang cukup hebat kerana kedudukan bahasa Melayu sudah terjamin dengan adanya Perlembagaan 152, iaitu kedudukan bahasa Melayu tidak boleh diganggu gugat. Namun begitu, keindahan bahasa Melayu kini agak terancam disebabkan oleh penggunaan media sosial yang semakin berkembang dan tidak terkawal sebagai alat penyebar komunikasi.

Bahasa Melayu mempunyai kira-kira 200 juta penutur. Sehubungan dengan itu, bahasa Melayu perlu diangkat kedudukannya pada peringkat ASEAN dan seterusnya ke peringkat antarabangsa. Penutur bahasa Melayu pada peringkat ASEAN juga perlu bersatu untuk mengangkat bahasa Melayu pada peringkat global. Di sini, masyarakat dapat memartabatkan bahasa Melayu ke arah kecemerlangan dari peringkat rendah hinggalah ke peringkat dunia.

Bagi Encik Muhammad Hanapi Jamaludin yang mewakili Majlis Belia Malaysia pula, media sosial dapat memainkan peranannya dalam mendaulatkan bahasa Melayu dengan baik dan berkesan sekiranya nilai tambah dapat diberi kepada bahasa Melayu sebagai bahasa pengkomersialan yang mempunyai nilai ekonomi tanpa merosakkan keindahan bahasa Melayu.

Dalam media sosial, perlu ada pelbagai ikon daripada bangsa lain seperti Cina dan India yang fasih berbahasa Melayu, yang seharusnya menjadi contoh yang baik bagi mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan negara.

Namun begitu, masih ada dalam kalangan masyarakat yang berasa taksub dan kagum akan budaya dan bahasa asing, terutamanya bahasa Inggeris. Oleh itu, kesedaran mengenai keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan budaya tinggi perlu digerakkan dengan berkesan terutamanya dalam kalangan generasi muda.  Jika ada kemahuan dan kehendak, maka kita boleh mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan budaya tinggi.

Demikianlah penerangan menarik yang disampaikan oleh para panel yang terlibat ketika mengupas isu bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan budaya tinggi. Yang turut hadir ialah Puan Edlynna Hanie Abdul Hamid, selaku moderator dari BERNAMA dalam Program Bicara Warisan Intelektual Malaysiana “Bicarawara – Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu dan Budaya Tinggi” yang bersiaran secara langsung pukul 10.00 pagi tadi menerusi YouTube PNM TV Channel.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.