Oleh Kho Thong Eng
20 Oktober 2021, 15:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kata hubung ialah kata tugas yang menghubungkan klausa dengan klausa dalam satu ayat majmuk. Klausa ialah binaan yang ada subjek dan predikat tetapi tidak mempunyai kesenyapan di awalnya dan di hujungnya. Oleh itu, klausa mungkin mempunyai struktur sebagai ayat tetapi bukan ayat. Sila lihat contoh yang berikut:

1. Dia rajin belajar.

2. Dia rajin belajar untuk lulus.

Ayat 1 merupakan ayat yang sempurna kerana mempunyai struktur binaan subjek + predikat, di samping bermula dan berakhir dengan kesenyapan.

Dalam ayat 2, terdapat dua klausa, iaitu klausa utama dia rajin belajar dan klausa keterangan untuk (dia) lulus. Kedua-dua klausa mempunyai struktur binaan subjek + predikat tetapi klausa dia rajin belajar hanya bermula dengan kesenyapan, sementara klausa untuk (dia) lulus hanya berakhir dengan kesenyapan. Dalam hal ini, unsur yang menghubungkan kedua-dua klausa tersebut ialah kata hubung untuk. Dengan itu, terhasillah ayat majmuk pancangan keterangan tujuan.

Wacana atau discourse ialah kesatuan makna yang menghubungkan pelbagai klausa, ayat, perenggan, bab, atau buku. Satu wacana memperkatakan atau membicarakan sesuatu perkara dengan memelihara kejeleketan linguistik atau kohesi dan kejeleketan makna atau koheren. Penanda wacana pula merupakan unsur yang menghubungkan atau mengaitkan pelbagai entiti dalam sesuatu wacana. Penanda wacana boleh hadir di dalam ayat majmuk atau di luarnya.

3. Mula-mula dia bangun, kemudian dia membersihkan diri, seterusnya dia bersarapan dan akhirnya dia pergi ke tempat kerja.

4. Dia sakit. Oleh itu, dia tidak hadir.

Dalam ayat 3, terdapat pelbagai kata hubung atau penanda wacana dalam ayat majmuk, iaitu mula-mula, kemudian, seterusnya, dan, dan akhirnya. Semua kata hubung atau penanda wacana tersebut berada dalam struktur ayat majmuk untuk menghubungkan pelbagai klausa yang terkandung dalamnya.

Bagi contoh 4 pula, penanda wacana oleh itu berada di luar ayat untuk menghubungkan ayat dia sakit dengan ayat dia tidak hadir.

Persamaan antara kata hubung dengan penanda wacana adalah seperti yang berikut:

a. kedua-duanya merupakan unsur penghubung;

b. kata hubung menghubungkan klausa dalam ayat majmuk, tetapi penanda wacana menghubungkan klausa atau binaan yang lebih besar;

c. semua kata hubung ialah penanda wacana, tetapi tidak semua penanda wacana merupakan kata hubung;

d. kata hubung merupakan subset penanda wacana, iaitu penanda penghubung.

Kata hubung dan penanda wacana penghubung hanya merupakan unsur penghubung antara entiti bahasa, dan bukan sebahagian daripada subjek atau predikat ayat. Sila lihat contoh yang berikut:

5. Dia malu kerana berbuat salah.

Klausa 1: dia malu                                       (FN + FA)

Klausa 2: dia berbuat salah                       (FN + FK)

Kata hubung/penanda wacana: kerana

6. Dia berbuat salah. Oleh itu, dia malu.

Ayat 1:  Dia berbuat salah.                         (FN + FK)

Ayat 2:  Dia malu.                                        (FN + FA)

Penanda wacana: oleh itu

Terdapat lima jenis penanda wacana, iaitu penanda penghubung, penanda rujukan, penanda penggantian, penanda leksikal dan penanda elipsis atau pengguguran.

Penanda penghubung ialah kata atau frasa yang menghubungkan maklumat yang terkandung dalam klausa, ayat, dan sebagainya. Pada peringkat ayat majmuk, penanda penghubung sama dengan kata hubung. Sila lihat contoh yang berikut:

7a.  Dia bukan sahaja malas, malahan nakal.

7b.  Dia malas. Malahan, dia nakal.

Dalam ayat 7a, terdapat kata hubung berpasangan bukan sahaja … malahan yang menghubungkan klausa dia malas dengan klausa dia nakal. Kata hubung itu juga merupakan penanda penghubung tambahan. Dalam contoh 7b, kata malahan merupakan penanda penghubung tambahan yang menghubungkan ayat, bukan kata hubung.

8a. Dia lemah lembut tetapi berpendirian.

8b. Dia lemah lembut. Namun begitu, dia berpendirian.

Dalam ayat 8a, terdapat kata hubung tetapi yang menghubung klausa dia lemah lembut dengan klausa dia berpendirian. Kata hubung itu juga merupakan penanda penghubung tentangan. Dalam contoh 8b, frasa namun begitu merupakan penanda penghubung tentangan yang menghubungkan ayat, bukan kata hubung.

9a.  Kerana dia degil, dia dimarahi.

9b.  Dia degil. Oleh itu, dia dimarahi.

Dalam ayat 9a, terdapat kata hubung kerana yang menghubung klausa dia degil dengan klausa dia dimarahi. Kata hubung itu juga merupakan penanda penghubung musabab. Dalam contoh 9b, frasa namun begitu merupakan penanda penghubung musabab yang menghubungkan ayat, bukan kata hubung.

10a.  Dia balik, kemudian dia berehat.

10b.  Dia balik. Selepas itu, dia berehat.

Dalam ayat 10a, terdapat kata hubung kemudian yang menghubung klausa dia balik dengan klausa dia berehat. Kata hubung itu juga merupakan penanda penghubung tempoh. Dalam contoh 10b, frasa selepas itu merupakan penanda penghubung tempoh yang menghubungkan ayat, bukan kata hubung.

Penanda wacana yang bukan kata hubung ialah penanda rujukan, penanda penggantian, penanda leksikal dan penanda elipsis atau pengguguran. Sila lihat contoh yang berikut:

11. Ali, Ahmad dan Abu berkawan. Mereka sering bermain bersama-sama.

12. Dia membeli buku import. Buku itu mahal.

Dalam contoh 11, kata ganti nama diri mereka dalam ayat kedua ialah penanda rujukan yang merujuk Ali, Ahmad dan Abu dalam ayat pertama.

Dalam contoh 12, kata ganti nama tunjuk itu ialah penanda rujukan yang merujuk buku import dalam ayat pertama. Oleh itu, kata ganti nama diri dan kata ganti nama tunjuk dapat berfungsi sebagai penanda rujukan.

Penanda penggantian ialah kata atau frasa yang menggantikan kata atau frasa lain dalam wacana yang sama. Sila lihat contoh yang berikut:

13. Gejala sosial semakin leluasa. Hal tersebut harus ditangani.

14. Dia sering ponteng sekolah. Perbuatan itu merugikannya.

15. Ada orang menganggap kemahiran lebih penting daripada pengetahuan. Bahawa mereka beranggapan begitu tidak pelik.

Penanda leksikal melibatkan pengulangan kata dengan kata yang sama atau kata yang ada kaitan dalam wacana yang sama. Sila lihat contoh yang berikut:

16. Ali hadir. Ahmad juga hadir.

17. Bunga itu harum. Bau wanginya memikat hati orang.

18. Dia suka makan ikan, termasuk temenung, tenggiri, bawal dan tuna.

19. Dia handal dalam sukan renang. Dia mahir dalam gaya bebas, kuak dada, kuak kupu-kupu dan kuak lentang.

Dalam contoh 16, terdapat pengulangan kata yang sama dalam ayat kedua, iaitu hadir.

Dalam contoh 17, terdapat sinonim kata harum dalam ayat kedua, iaitu wangi.

Dalam contoh 18, terdapat pelbagai jenis ikan dalam ayat kedua.

Dalam ayat 19, terdapat pelbagai gaya renang dalam ayat kedua.

Penanda elipsis atau pengguguran melibatkan pengguguran kata atau frasa yang sudah disebut dalam wacana yang sama. Sila lihat contoh yang berikut:

20. Minggu lepas kelas itu melawat kilang-kilang. Guru-guru juga turut sama.

Penanda penghubung tidak menjadi subjek atau predikat ayat. Namun begitu, penanda rujukan, penanda penggantian, penanda leksikal dan penanda elipsis atau penanda pengguguran boleh menduduki gatra subjek atau predikat dalam ayat yang berkaitan, atau bahagian-bahagiannya. Sila lihat contoh yang berikut:

21. Dia membeli buku import. Buku itu mahal.

22. Gejala sosial semakin leluasa. Hal tersebut harus ditangani.

23. Dia handal dalam sukan renang. Dia mahir dalam gaya bebas, kuak dada, kuak kupu-kupu dan kuak lentang.

24. Minggu lepas kelas itu melawat kilang-kilang. Guru-guru juga turut sama.

Dalam ayat 21, penanda rujukan itu menjadi penentu bagi frasa nama subjek buku itu.

Dalam ayat 22, frasa hal tersebut menjadi subjek ayat.

Dalam ayat 23, frasa gaya bebas, kuak dada, kuak kupu-kupu dan kuak lentang menjadi sebahagian daripada predikat ayat.

Dalam ayat 24, frasa kerja turut sama menjadi predikat ayat.

Penanda wacana bukan sahaja dapat menghubungkan ayat, malahan penanda wacana dapat menghubungkan entiti yang lebih besar. Sila lihat contoh yang berikut:

25. Kalau perenggan pertama menjelaskan punca gejala sosial, perenggan ini akan menjelaskan kesannya.

26. Dalam bab pertama, kita telah berbincang tentang golongan kata. Dalam bab ini, kita akan berbincang tentang pembentukan kata.

27. Buku pertama menghuraikan aspek morfologi. Buku kedua pula menghuraikan aspek sintaksis.

 

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi