28 Oktober 2021, 15:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Indonesia −Bahasa dan budaya merupakan elemen penting untuk sesebuah negara mencapai pembangunan negara yang mapan. Bagi negara Indonesia, Malaysia dan Thailand, bahasa dan budaya Melayu merupakan wadah untuk menyatupadukan masyarakat. Secara empirikalnya, peranan bahasa dan budaya Melayu dapat dimantapkan bagi tujuan perpaduan kaum dan pembangunan negara yang memerlukan iltizam dan komitmen yang jitu daripada pelbagai pihak. Namun begitu, bagaimanakah hala tuju bahasa dan budaya Melayu dalam pascapandemik ini?

Satu perkara yang pasti, dengan amalan penjarakan fizikal, interaksi sesama manusia perlu dieratkan lagi melalui bahasa sebagai wahana komunikasi masyarakat. Hasilnya, tiada siapa yang menduga bahawa sejenis virus akan menjadi pemangkin dalam perubahan paradigma dan amalan dalam pengekalan jati diri bahasa dan budaya Melayu di ketiga-tiga buah negara tersebut.

Sehubungan dengan itu, atas kesedaran ini, Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU) telah menganjurkan Program Webinar Internasional Bahasa dan Budaya Lintas Ilmu dengan tema “Peran Bahasa dan Budaya Melayu untuk Pemertahanan Bangsa Pasca Pandemi”, yang menampilkan para pembicara dari Indonesia, Malaysia dan Thailand. Program tersebut membincangkan tentang arah tuju bahasa dan budaya Melayu dalam pascapandemik dan bersiaran secara langsung pada pukul 10.30 pagi tadi menerusi Virtual Meeting Zoom.

Para pembicara ketika bersiaran secara langsung pada pagi tadi.

Menurut Profesor Dr. Hasanuddin W.S.M. Hurm, dari Kepala Pusat Humaniara dan Guru Besar, Universitas Negeri Padang, sastera Indonesia ialah sastera yang menggunakan bahasa Indonesia yang asalnya ialah bahasa Melayu. Ketahanan diri dalam menghadapi pelbagai cabaran dalam pandemik akan dapat mempertahankan juga citra bahasa Melayu yang memiliki satu nilai yang dapat menyatukan bangsa.

Sastera di dunia ini sama, iaitu mempersoalkan tentang hal yang berkaitan dengan kemanusiaan. Maka itu, di dalamnya terdapat nilai moral, agama dan budaya yang disampaikan kepada masyarakat melalui perantaraan bahasa. Karya teks sastera Indonesia merangkumi semua jenis teks sastera dalam bahasa Indonesia sebagai mediumnya dan ditulis oleh warganegara Indonesia. Suatu teks Indonesia diciptakan bukan sekadar membincangkan tentang persoalan estetika semata-mata tetapi berkaitan juga dengan sosial, budaya dan politik semasa. Sastera juga mampu mengulas isu yang berkaitan dengan masalah kebangsaan, peradaban dan memberikan alternatif fikiran atas fenomena kebudayaan.

Sementara itu, Profesor Dr. Dadang S. Anshari, M.Si, Guru Besar Bidang Pendidikan, Wacana UPI Bandung pula berkata bahawa bahasa dapat ditinjau dari perspektif politik dalam pascapandemik.

Hubungan antara bahasa dengan politik amat erat. Politik bahasa berkait rapat dengan penyatuan masyarakat berbilang bangsa. Kecerdasan pendiri bahasa ini dibuktikan dengan usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai citra bahasa Indonesia. Para pencinta bahasa ini memilih bahasa yang tepat sebagai bahasa Indonesia dalam memasyarakatkan bangsa Indonesia kerana bahasa Melayu merupakan bahasa yang indah.

Profesor Madya Dr. Samsudin Suhaili, dari Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris Malaysia (UPSI) pula membincangkan tentang budaya Melayu dalam konteks kekinian di Malaysia dalam pascapandemik. Perubahan itu terjadi akibat perubahan struktur dan fungsi masyarakat serta hasil daripada hubungan sosial dalam masyarakat.

Santun bahasa dan nilai kesopanan kian luntur dan identiti bangsa tercalar akibat perubahan ini. Hal ini juga disebabkan oleh budaya material yang mengatasi minda merdeka dalam kalangan masyarakat Melayu khasnya dan masyarakat Malaysia umumnya. Kesan daripada virus Corona pula menyebabkan nilai kemanusiaan mempengaruhi akal budi dalam gaya hidup masyarakat. Hal ini menimbulkan kerisauan yang akan mempengaruhi generasi akan datang. Sehubungan dengan itu, masyarakat disarankan untuk mengembalikan citra sebenar masyarakat Melayu melalui nilai akal budi, imej dan maruah, kelangsungan hidup dan ekonomi serta mengembalikan semula identiti bangsa yang dibanggakan sebagai masyarakat Timur yang bercitra dan bermaruah tinggi.

Menurut Profesor Madya Dr. Suraiya Chapakiya, dari Pusat Kajian Tamadun Melayu Islam (PUSTANI), Universiti Fatoni Thailand, sesuai dengan keadaan semasa, perkembangan bahasa dan budaya Melayu di Thailand dapat dilihat dalam bidang pendidikan, ekonomi dan politik. Peranan bahasa Melayu sangat penting dalam institusi pendidikan. Berdasarkan analisis umum dan pemerhatian yang dilakukan, terdapat empat bentuk perkembangan bahasa dan budaya Melayu dalam pendidikan di Selatan Thailand, iaitu pendidikan pondok, sekolah Melayu, sekolah agama swasta dan institusi pengajian tinggi.

Selain itu, dalam bidang ekonomi, bahasa juga boleh dipandang sebagai pelaris perniagaan, iaitu merujuk kaedah penggunaan bahasa oleh para peniaga dalam usaha mereka mempengaruhi bakal pengguna atau pembeli untuk melariskan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan. Dalam bidang media massa pula, bahasa dan budaya Melayu memainkan peranan yang penting bagi masyarakat Thailand. Kini, stesen radio bahasa Melayu kerajaan hanya ada stesen Radio Thailand Yala bagi mewakili tiga wilayah, iaitu wilayah Yala, Narathiwat dan Pattani (siaran radio 24 jam dan siaran langsung melalui Facebook). Selain itu, terdapat juga Stesen Komuniti Sendirian Berhad sebanyak 20 stesen lebih di selatan Thailand.

Demikianlah antara penerangan menarik daripada para pembicara dari Indonesia, Malaysia dan Thailand, termasuklah panel dari Pusat Tarekat Naasyabaridiyyah, UMSU, iaitu Dr. Zikmal Fuad, M.A., yang membincangkan tentang peranan bahasa dalam menyampaikan maklumat yang berkaitan dengan keagamaan kepada masyarakat dalam pascapandemik.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.