Oleh Kho Thong Eng
4 November 2021, 20:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sesungguhnya Malaysia merupakan bumi bertuah.  Di sini, kita terdedah kepada kepelbagaian bahasa, termasuklah bahasa Melayu, bahasa Cina, bahasa Inggeris, bahasa Tamil dan bahasa Portugis. Sajian pelbagai bahasa di hadapan mata menjadikan banyak rakyat kita menjadi poliglot, iaitu orang yang menguasai pelbagai bahasa.

Menurut kata orang tua-tua, “Tak ada gading yang tak retak”.  Kehadiran pelbagai bahasa di Malaysia turut mendatangkan masalah dari segi penguasaan sesuatu bahasa. Selain masalah pertukaran bahasa (code switching) dan percampuran bahasa (code mixing), hal ini juga menimbulkan masalah gangguan bahasa atau interference dalam kalangan pengguna bahasa Melayu.

Masalah ini ada kalanya timbul kerana perbezaan budaya dan latar belakang hidup yang menyebabkan tidak ada padanan satu-lawan-satu dalam hal terjemahan bagi sesetengah perkara. Sebagai contoh, kata “rice” dalam bahasa Inggeris harus ditulis sebagai “padi”, “beras” atau “nasi” dalam bahasa Melayu, mengikut konteks penggunaan yang sesuai. Sila lihat contoh yang berikut:

BI: He plants rice.

BM: Dia menanam padi.

*Dia menanam beras.

*Dia menanam nasi.

 

BI: He buys 10 kilograms of rice.

BM: Dia membeli 10 kilogram beras.

*Dia membeli 10 kilogram padi.

*Dia membeli 10 kilogram nasi.

 

BI: He eats rice.

BM: Dia makan nasi.

*Dia makan padi.

*Dia makan beras.

Berdasarkan ayat contoh di atas, jelaslah bahawa penggunaan kata “padi”, “beras” dan “nasi” tidak boleh ditukar ganti sesuka hati. Jika tidak, ayat yang kita hasilkan bukan sahaja kabur maksudnya, malah mungkin menjadi bahan lelucon orang lain.

Kata “competition” dalam bahasa Inggeris bermaksud “pertandingan“ atau “persaingan” dalam bahasa Melayu. Sila lihat contoh yang berikut:

BI: I join the badminton competition.

BM: Saya menyertai pertandingan badminton.

*Saya menyertai persaingan badminton.

 

BI: I face stiff competition.

BM: Saya menghadapi persaingan sengit.

*Saya menghadapi pertandingan sengit.

 

Kata “children” dalam bahasa Inggeris bermaksud “kanak-kanak” atau “anak-anak” dalam bahasa Melayu. Sila lihat contoh yang berikut:

BI: There are children at the playground.

BM: Ada kanak-kanak di taman permainan.

*Ada anak-anak di taman permainan.

 

BI: His children are clever.

BM: Anak-anaknya cerdik.

*Kanak-kanaknya cerdik.

 

Ada kalanya gangguan bahasa timbul kerana pengguna bahasa Melayu cuba memadankan kata berimbuhan, sama seperti kata dasarnya. Sila lihat contoh yang berikut:

BI: benefit                              (kata nama)

BM: manfaat

 

BI: beneficial                          (kata adjektif)

BM: bermanfaat

 

BI: This benefit us.                 (kata kerja transitif)

BM: *Hal ini memanfaatkan kita.

Hal ini menguntungkan kita.

 

Dalam contoh di atas, walaupun benefit (kata nama) dan beneficial (kata adjektif) dapat dipadankan dengan kata “manfaat” dan “bermanfaat”, kata benefit sebagai kata kerja transitif tidak boleh dipadankan dengan kata “memanfaatkan”. Hal ini dikatakan demikian kerana kata “memanfaatkan” bererti “menggunakan sebaik-baiknya, mendapatkan faedah daripada sesuatu, menjadikan berfaedah” (Kamus Dewan Edisi Keempat). Oleh itu, kata yang sepatutnya digunakan ialah “menguntungkan” yang bermaksud “memberikan faedah, berguna atau bermanfaat kepada”.

Selain masalah dari segi pemilihan kosa kata atau istilah, terdapat juga gangguan dari segi tatabahasa. Sila lihat contoh yang berikut:

BI: He doesn’t know why his son is sick.

BM: *Dia tidak mengetahui mengapakah anaknya jatuh sakit.

Dia tidak mengetahui sebab anaknya jatuh sakit.

 

BI: This is because he made a mistake.

BM: *Ini kerana dia tersilap.

Hal ini berlaku kerana dia tersilap.

 

Berdasarkan contoh di atas, ayat bahasa Melayu tidak membenarkan kehadiran kata tanya “mengapakah” di tengah-tengah ayat penyata. Oleh itu, kata tersebut sepatutnya diganti dengan kata nama “sebab”. Bahasa Melayu juga menghendaki kata hubung keterangan musabab “kerana” menghubungkan klausa utama dengan klausa subordinat. Oleh itu, kata “ini” seharusnya diganti dengan klausa “hal ini berlaku”.

Pengguna bahasa Melayu yang biasa berbahasa Cina mungkin menggunakan kata atau gaya bahasa yang asing bagi bahasa Melayu. Sila lihat contoh yang berikut:

Salah: *Dia sudah balik ho?

Betul: Bukankah dia sudah balik?

 

Salah: *Aiyo, susahnya hidup saya!

Betul: Aduhai, susahnya hidup saya!

 

Salah: *Dia tidak hadir bo.

Betul: Tapi, dia tidak hadir.

 

Salah: *Jangan main/tangkap ular!

Betul: Jangan curi tulang/mengular!

 

Sesetengah pengguna berketurunan Cina juga sering menggantikan kata “berjumpa dengan” dengan “mencari” jika hendak meminta izin untuk menemui atau bercakap dengan seseorang untuk berbincang tentang sesuatu hal. Hal ini kurang tepat kerana kata “mencari” bererti “berusaha untuk mendapat sesuatu atau seseorang yang hilang”. Sila lihat contoh yang berikut:

Salah: *Bolehkah saya mencari Mary?

Betul:  Bolehkah saya berjumpa dengan Mary?

 

Ada kalanya jawapan kepada sesuatu soalan juga kurang tepat. Sila lihat contoh yang berikut:

 

Soalan: Adakah kamu faham?

Salah: *Ada.

Betul: Ya.

 

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi