18 November 2021, 12:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

IPOH − Kerangka Standard Bahasa Melayu (KSBM) merupakan acuan standard bahasa Melayu yang sedang diuar-uarkan ke seluruh negara merupakan satu keperluan bagi melihat atau meletakkan bahasa Melayu itu setanding dengan bahasa-bahasa besar lain di dunia. Tujuannya tidak lain tidak untuk mendukung dan memartabatkan bahasa Melayu dan merealisasikan penggunaannya di peringkat antarabangsa secara meluas.

Para panel jemputan ketika bersiaran secara langsung pada pagi tadi.

Menurut Dr. Azhar Md Sabil, Pensyarah dari Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia, jumlah penutur bahasa Melayu adalah antara yang terbanyak di dunia pada waktu ini. Oleh itu, semoga dengan adanya KSBM ini dapat menjadikannya sebagai kayu ukur oleh sesiapa sahaja bagi tujuan penyetaraan standard bahasa Melayu.

Ujarnya lagi, aspek bahasa Melayu juga dilihat penting dalam Perlembagaan Persekutuan. Untuk menjadi seorang warganegara mengikut Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 16, seseorang itu perlu mempunyai pengetahuan asas dalam bahasa Melayu. Perkara 19 pula memperuntukkan syarat bahawa seseorang itu perlu mempunyai pengetahuan memadai dalam bahasa Melayu.

Bahasa Melayu juga tetap diutamakan sebagai kriteria syarat lantikan pegawai dalam perkhidmatan awam. Antara syarat kelayakan lantikan yang terkandung dalam Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia ialah calon perlu melepasi syarat kelulusan Bahasa Melayu pada gred tertentu dan berkebolehan bertutur, membaca dan menulis dalam bahasa Melayu dengan memuaskan.

Pegawai perkhidmatan awam perlu diberi latihan khusus supaya menepati syarat asas tentang pengetahuan bahasa Melayu yang bertujuan untuk meningkatkan kemahiran berbahasa mereka. Mereka juga seharusnya perlu diberi latihan dan kursus kemahiran bercakap di khalayak umum secara santun berbahasa. Begitu juga ketika berurusan dengan pelanggan di kaunter-kaunter perkhidmatan awam.

Katanya lagi, lebih baik sekiranya Pusat Bahasa Melayu di luar negara yang ditubuhkan itu mengadakan Kursus Bahasa Melayu dan kegiatan kebahasaan yang aktif dalam usaha mempromosikan bahasa Melayu di luar negara khususnya kepada pelancong yang ingin melancong ke Malaysia.

Sekiranya kita ada satu acuan atau panduan yang standard (KSBM), maka tiada sesiapa boleh mempertikaikan tentang keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di peringkat antarabangsa. Semoga kerangka ini dapat diterima baik oleh semua masyarakat demi mengangkat bahasa Melayu di dalam dan luar negara.

Menurut Dr. Simah Mamat, Pensyarah Kanan dari Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya pula, sebagai pengantaraan KSBM, pengajian Bahasa Melayu ditawarkan di seluruh dunia oleh universiti terkemuka. Aspek kemahiran berbahasa Melayu seperti kemahiran mendengar, bertutur dan menulis pada peringkat universiti diterapkan di setiap universiti. Terdapat lebih daripada 13 buah universiti di seluruh dunia yang menawarkan Kursus  Bahasa Melayu.

Bagi Dr. Azaha Ibrahim dari Jabatan Pengajian Melayu, IPG Kampus Kota Bharu, Kelantan pula, dengan adanya KSBM ini diharapkan dapat mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa yang disegani di Malaysia dan seterusnya di dunia. KSBM juga bertujuan agar bahasa Melayu terus hidup subur dalam jiwa masyarakat pelbagai kaum dan sebagai satu “Keluarga Malaysia”. Bahasa Melayu juga bahasa perpaduan yang perlu diperjuangkan bagi mengangkat martabatnya ke mercu kegemilangan seperti zaman kegemilangannya ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka dahulu.

Demikianlah antara penerangan menarik daripada para panel jemputan dalam Webinar Kerangka Standard Bahasa Melayu, yang diadakan secara langsung menerusi platform Zoom dan YouTube pada pukul 9.00 pagi tadi. Webinar anjuran Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh ini diadakan menerusi dua sesi pembentangan, iaitu pada 17 November 2021 dan 18 November 2021. Yang turut hadir ialah Dr. Azman Rahman, Pensyarah Jabatan Pengajian Melayu, IPG Kampus Bahasa Melayu, selaku moderator.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi