Oleh Kho Thong Eng
23 November 2021, 16:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tatabahasa merupakan huraian yang abstrak tentang sistem sesuatu bahasa. Bagi bahasa Melayu, sejak dahulu lagi, banyak pengkaji asing dan tempatan sudah memerah otak dan menyumbangkan usaha untuk memantapkan huraian tentang tatabahasa bahasa Melayu. Pelbagai kajian tatabahasa telah dihasilkan sebagai rujukan untuk pengguna bahasa Melayu. Seterusnya, hasil kajian tersebut dimurnikan dan dikemaskinikan dari semasa ke semasa agar dapat memberikan huraian yang lebih mantap dan tepat tentang tatabahasa bahasa Melayu.

Sesetengah pengkaji bahasa menghuraikan tatabahasa secara deskriptif, iaitu menghuraikan perlakuan penggunaan bahasa oleh masyarakat seadanya, sama ada yang betul, yang kabur atau yang salah. Tatabahasa sedemikian bersifat luwes dan agak longgar. Walau bagaimanapun, apabila pengkaji bahasa berusaha menetapkan sejumlah rumus tatabahasa yang standard atau baku untuk dijadikan sandaran dalam situasi penggunaan yang rasmi, mereka telah menghasilkan tatabahasa preskriptif atau normatif.

Tatabahasa normatif atau preskriptif dijadikan rujukan penentuan betul-salah dalam hal peperiksaan, surat-menyurat rasmi, ucapan dan mesyuarat rasmi, serta wacana rasmi yang lain. Oleh itu, rumus tatabahasa tersebut harus digubal berdasarkan premis yang betul supaya dapat disokong dan dipertahankan dengan penghujahan yang logik dan bukti yang nyata. Hal ini penting kerana dapat menjauhi masalah yang berikut:

  • Buku teks ditulis dengan rumus tatabahasa yang salah.
  • Pengajaran-pembelajaran bahasa mengukuhkan bentuk yang salah.
  • Sistem pemarkahan bagi peperiksaan tidak menjamin keadilan.
  • Murid-murid terkeliru dan berfikiran buntu.
  • Perkembangan tatabahasa terbantut dan terjejas.

Usaha secara istiqamah untuk memurnikan tatabahasa bahasa Melayu dapat kita kesan dari semasa ke semasa. Contohnya termasuk yang berikut:

  1.  Kata “mengenai” yang pada mula-mulanya hanya dianggap sebagai kata kerja didapati kemudiannya dapat berfungsi sebagai kata sendi nama “tentang”.
  2. Kata “ramai” yang dikatakan sebagai adjektif yang bermaksud “meriah” dan tidak boleh digunakan untuk menunjukkan bilangan telah dibolehkan kemudian. Hal ini berlaku kerana kata “ramai” didapati juga merupakan kata bilangan ‘tak tentu.
  3. Kata “lihat” dan “libat” yang hanya ditambah imbuhan lazim “peng-…-an” sebagai “penglihatan” dan “penglibatan” telah menerima apitan “pe-…-an” sebagai “pelihatan” dan “pelibatan”.
  4. Selain kata “pembelajaran” (“belajar” ditambah “pem-…-an”), diterima juga kata “pemelajaran” (kata nama terbitan bagi kata kerja “mempelajari”)
  5. Imbuhan bagi kata kerja “peroleh” telah ditukar daripada “meN-…-i” kepada “meN-“.

Walaupun beberapa penambahbaikan sudah dibuat, kita tidak harus terus berpuas hati dan berhenti dalam usaha mendalami dan meneroka tatabahasa bahasa Melayu bagi mengesan apa-apa kelemahan yang wujud. Dengan usaha sedemikian, barulah bahasa Melayu akan semakin hebat dan tepat dalam mata semua pengguna bahasa Melayu.

Kini, terdapat beberapa perkara yang berkaitan dengan tatabahasa bahasa Melayu yang harus kita pertimbangkan semula dan mungkin harus juga kita betulkan seperti yang berikut:

1. Kata adverba dikatakan dapat menghuraikan kata nama, kata kerja, kata adjektif dan frasa sendi nama. Sebenarnya, kata adverba hanya menghuraikan kata kerja, kata adjektif dan frasa nama. Kata yang menghuraikan kata nama ialah penerang. Kata adverba pula ialah kata keterangan. Sila lihat contoh yang berikut.

a.  Persaingan hebat berlaku.

b.  Dia bekerja keras.

c.  Dia sering prihatin.

d.  Dia kerap ke sana.

Dalam ayat a, kata adjektif “hebat” berfungsi sebagai penerang yang menerangkan inti frasa nama “persaingan”. Dalam ayat b, kata adjektif “keras” berfungsi sebagai adverba yang menghuraikan kata kerja “bekerja”. Dalam ayat c, kata “sering” ialah adverba yang menghuraikan kata adjektif “prihatin”. Dalam ayat d, kata “kerap” ialah adverba yang menghuraikan frasa sendi nama “ke sana”.

2. Kata nama yang menandakan masa seperti esok, semalam, kelmarin, lusa, tulat, dahulu dan sekarang dianggap sebagai adverba jati. Sebenarnya, kata-kata tersebut ialah kata nama yang dapat berfungsi sebagai adverba.  Sila lihat contoh yang berikut:

a. Esok ialah cuti.

b. Dia akan sihat esok.

c.  Dia akan datang esok.

d.  Dia akan ke sana esok.

Dalam ayat a, kata “esok” ialah kata nama yang menjadi subjek ayat. Dalam ayat b, c dan d, kata nama “esok” berfungsi sebagai adverba untuk menghuraikan kata adjektif “sihat”, kata kerja “datang” dan frasa sendi nama “ke sana”. Oleh itu, hanya kata yang fungsi tunggalnya menghuraikan kata adjektif, kata kerja dan frasa sendi nama patut dianggap sebagai adverba jati. Contohnya ialah kata-kata yang berkaitan dengan kekerapan seperti sering, jarang-jarang, kerap, acap kali, sentiasa dan selalu.  Sila lihat contoh yang berikut:

a. Dia jarang-jarang marah.

b. Dia jarang-jarang berusaha.

c.  Dia jarang-jarang ke sana.

Dalam ayat a, b, dan c di atas, kata adverba jati “jarang-jarang” menghuraikan kata adjektif “marah”, kata kerja “berusaha” dan frasa sendi nama “ke sana”. Kata “jarang-jarang” tidak tercakup dalam golongan kata yang lain.

3.  Kata adjektif dikatakan dapat dikenal pasti jika sesuatu kata dapat didahului atau diikuti oleh kata penguat. Sebenarnya, sesetengah kata adjektif (kata yang menghuraikan kata nama) sememangnya tidak biasa atau tidak boleh disertakan dengan kata penguat. Contoh kata adjektif tersebut termasuk betul, salah, putih, ungu, lonjong, bujur, leper, kempis dan sebagainya.

4.  Pelengkap dikatakan sebagai keterangan yang wajib. Sila lihat contoh yang berikut:

a. Dia berpayungkan kertas.

b.  Dia berbuat jahat.

c.  Dia menetap di Ipoh.

Dalam ayat a, kata nama “kertas” ialah pelengkap wajib bagi kata kerja “berpayungkan”.  Dalam ayat b, kata adjektif “jahat” ialah pelengkap wajib bagi kata kerja “berbuat”.  Dalam ayat c, frasa sendi nama “di Ipoh” ialah pelengkap wajib bagi kata kerja “menetap”.

Walau bagaimanapun, pelengkap kata nama bagi kata kerja “bermain” dan “belajar” adalah tidak wajib.  Sila lihat contoh yang berikut:

a.  Dia belajar muzik.

b.  Dia belajar.

c.   Dia bermain bola.

d.  Dia bermain.

Dalam ayat di atas, kata nama “muzik” dan “bola” bukan penerang yang menerangkan inti frasa nama tetapi pelengkap tak wajib bagi kata kerja.

Bahasa ialah fenomena yang hidup dan akan terus berkembang. Dengan adanya dapatan ilmu baharu dan pemikiran baharu, huraian tatabahasa sesuatu bahasa akan menjadi semakin kompleks dan berselirat. Hal sedemikian merupakan ciri bahasa hebat yang dapat menyahut cabaran rencam dari zaman ke zaman.

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi